Topik diikuti
Pergi ke BHkuNTUC bakal bentang rancangan hadapi AI, MOE semak isu buli di Parlimen
NTUC bakal bentang rancangan hadapi AI, MOE semak isu buli di Parlimen
NTUC bakal bentang rancangan hadapi AI, MOE semak isu buli di Parlimen
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, akan meminta Parlimen mengiktiraf bahawa pertumbuhan Singapura boleh dicapai tanpa mengorbankan pekerjaan, walaupun di tengah-tengah gangguan kecerdasan buatan (AI).
Beliau akan mengetengahkan rancangan NTUC untuk membantu pekerja mengharungi perubahan itu.
Usul tersebut dijadual dibentangkan pada sidang Parlimen mulai 5 Mei.
Selain itu, Kementerian Pendidikan (MOE) akan menyemak isu buli di sekolah, dengan 23 soalan diajukan Anggota Parlimen (AP).
Cadangan MOE pada April merangkumi penambahan sumber, penambahbaikan saluran aduan, dan langkah disiplin yang lebih ketat dan seragam, termasuk hukuman rotan bagi kes berat.
Beberapa AP, termasuk Encik Louis Chua (Sengkang GRC) dan Encik Xie Yao Quan (Jurong Central), ingin tahu bagaimana usulan itu akan dipantau serta petunjuk ukurannya.
Usul Encik Ng, ‘Peralihan AI dengan Pertumbuhan Tanpa Menjejas Pekerjaan’, meminta Parlimen mengesahkan bahawa kemajuan ekonomi mesti bersifat menyeluruh, serta menyokong pekerja dan perusahaan untuk “merebut peluang baru dan maju bersama”.
Ia disokong AP Cik Yeo Wan Ling (Punggol GRC), Encik Saktiandi Supaat (Bishan-Toa Payoh GRC), yang mempengerusikan Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Kewangan serta Perdagangan dan Perusahaan; serta Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Encik Mark Lee, seorang pemimpin perniagaan.
Usul itu juga menyeru Parlimen mengiktiraf potensi transformatif teknologi baru, khususnya AI, dalam memacu pembangunan ekonomi Singapura, di samping memperjuangkan pendekatan berasas keadilan, daya tahan, dan peluang untuk semua.
Ini susulan Rapat Hari Pekerja pada 1 Mei, di mana Encik Ng dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menggariskan komitmen kukuh untuk membantu pekerja berdepan gangguan.
Encik Wong menyatakan bahawa meskipun AI menggoncang seluruh industri, pemerintah mungkin tidak mampu menyelamatkan setiap pekerjaan, tetapi berjanji akan melindungi setiap pekerja.
Beliau menambah bahawa Encik Ng akan membentangkan rancangan NTUC untuk membantu pekerja di Parlimen minggu ini, dan pemerintah “akan menyokong usaha penting ini”.
Sementara itu, Encik Ng, yang juga AP Jalan Kayu, dalam ucapan terdahulu berkata anggota kesatuan akan mendapat sokongan pembiayaan bagi langganan alat AI untuk percubaan di tempat kerja.
Beliau menambah, Majlis Pekerjaan Tiga Pihak (TJC) yang baru akan menyatukan usaha pelbagai agensi untuk menawarkan panduan lebih terperinci kepada pekerja.
Majlis tersebut diumumkan pada 30 April sebelum rapat itu, dan ia terdiri daripada NTUC, Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef).
Enam Rang Undang-Undang juga akan dibentangkan, termasuk penggabungan dua agensi pemerintah yang mengendalikan pembangunan kemahiran.
Parlimen juga akan membahaskan satu Rang Undang-Undang yang membolehkan pemilik saham diskaun khas Singtel – yang dibeli melalui Tabung Simpanan Pekerja (CPF) di bawah skim 1990-an untuk meningkatkan pegangan rakyat Singapura dalam pertumbuhan ekonomi – menguruskannya secara langsung.
