Di sebalik cabaran pergolakan geopolitik dan kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI), Singapura harus mengorak langkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dan merebut peluang baru bagi memperkukuh kedudukannya di persada dunia, dan pemerintah akan membantu rakyat Singapura dalam usaha ini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Menyampaikan ucaptama di Rapat Hari Pekerja pada 1 Mei, Encik Wong menyifatkan AI sebagai “teknologi yang menentukan zaman kita” yang kini sedang mengubah industri dan pekerjaan, selain membentuk semula ekonomi global.

Namun, beliau turut mengakui kebimbangan pekerja mengenai jaminan kerja di tengah-tengah revolusi AI ini, sambil menekankan bahawa pemerintah komited melindungi kedua-dua pekerja dan pekerjaan melalui pelbagai usaha.

Ini termasuk gabungan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan SkillsFuture Singapura (SSG) untuk membentuk Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) yang baru, dan langkah memperkukuh gerakan SkillsFuture untuk memperkasa rakyat meraih kemahiran masa depan dan merebut peluang kerja.

“Singapura mesti mempersiapkan diri untuk berjaya dalam persekitaran baru ini.

“Itulah sebabnya kita telah menubuhkan Majlis AI Kebangsaan – untuk menyelaraskan usaha peringkat kebangsaan kita.

“Matlamat kita adalah jelas: untuk membina keupayaan AI yang mendalam; memacu penggunaan AI di seluruh ekonomi kita; dan menjadikan Singapura sebuah hab bagi inovasi AI.

“Namun pada dasarnya, objektif utama kami adalah untuk memastikan AI memberi manfaat kepada setiap pekerja – dengan pekerjaan yang lebih baik dan peluang yang lebih luas,” kata beliau.

Lebih 1,600 pemimpin kesatuan, rakan tiga pihak dan tetamu hadir di Rapat Hari Pekerja Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) itu, yang diadakan di D’Marquee di Downtown East.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, yang menyampaikan ucapan pembukaan, dan Presiden NTUC, Cik K Thanaletchimi.

Sedang pemerintah terus menarik lebih banyak pelaburan dan mengembangkan ekosistem AI, impaknya ke atas tempat kerja akan jadi lebih luas dan Encik Wong berkata beliau tidak boleh jamin yang gangguan tidak akan berlaku.

Namun, pemerintah akan mewujudkan pekerjaan baru dan lebih baik sedang ekonomi berubah.

“Kami mungkin tidak dapat melindungi setiap pekerjaan. Namun, kami akan melindungi setiap pekerja,” kata Encik Wong.

“Pemerintah akan menyediakan kelengkapan, laluan, dan sokongan. Namun, kami juga memerlukan rakyat Singapura untuk tampil ke hadapan.

“Jangan biarkan kebimbangan atau ketidakpastian menghalang anda daripada mempelajari dan menggunakan AI. AI akan terus kekal di sini – oleh itu, dakapinya, pelajarinya, gunakannya, dan kuasainya.

“Syarikat yang melakukan demikian akan kekal berdaya saing. Pekerja yang membina kemahiran AI akan mempunyai peluang dan prospek yang lebih baik,” tambah beliau.

Dengan model kerjasama tiga pihak unik Singapura – antara pemerintah, kesatuan dengan majikan – Encik Wong berkata negara ini dapat membuat peralihan di tengah-tengah perubahan dengan lancar, melalui Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) yang membantu mengenal pasti kemahiran yang diperlukan bagi transformasi dan melaksanakan rancangan untuk mempertingkat pekerja.

Sebuah Majlis Pekerjaan Tiga Pihak (TJC) juga telah diumumkan pada 30 April dengan tujuan memberi sokongan kepada pekerja dan perniagaan agar mereka dapat memanfaatkan transformasi yang dipacu AI.

Sementara itu, dengan krisis tenaga yang sedang berlaku di tengah-tengah situasi Timur Tengah, Encik Wong berkata negara ini harus bersiap sedia menghadapi tempoh yang lebih mencabar di hadapan.

Namun, beliau menambah bahawa Singapura berada dalam kedudukan yang jauh lebih kukuh dalam menghadapi cabaran hari ini, berbanding masa lalu, hasil daripada perancangan jangka panjang yang teliti.

Ini termasuk membangunkan Pulau Jurong dan industri penapisan dan petrokimia, yang menjadikan Singapura sebuah pusat utama dalam aliran tenaga global yang terhubung kepada pelbagai rangkaian bekalan di seluruh dunia.

Dalam membantu rakyat Singapura mengharungi tempoh mencabar ini, pemerintah telah mengumumkan pakej sokongan bernilai hampir $1 bilion untuk membantu perniagaan dan isi rumah menguruskan kos tenaga yang meningkat.

Ini termasuk tambahan sebanyak $200 bagi Bayaran Khas Kos Sara Hidup untuk sekitar 2.4 juta rakyat Singapura yang layak, selain pengagihan Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) $500 lebih awal pada Jun 2026, berbanding Januari 2027.

Encik Wong berkata pemerintah menjangkakan situasi yang lebih mencabar sepanjang tahun ini, dan “sekiranya itu berlaku, kami akan melakukan lebih lagi untuk membantu”.

Secara berasingan, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng, dalam ucapannya mengumumkan peruntukan sekitar $37 juta pada 2026 untuk menyediakan bantuan praktikal kepada pekerja dan keluarga mereka bagi keperluan harian.

Dalam membantu pekerja mempersiapkan diri bagi AI, Encik Ng berkata TJC akan menyediakan lebih banyak bimbingan yang disesuaikan, manakala CTC akan diperkukuh untuk memacu transformasi AI.

“Marilah kita mengambil tindakan kolektif melalui TJC dengan keupayaan kolektif diperkukuh, komitmen kolektif yang tidak tergoyahkan, untuk memastikan gerakan pekerja akan terus mempertingkat kehidupan dan mata pencarian dalam pendekatan tiga pihak unik kita,” kata beliau.