Usaha akan dilaksanakan untuk menyesuaikan sokongan bagi memperkasa masyarakat Melayu/Islam membina pengetahuan dan menjalani latihan kemahiran kecerdasan buatan (AI), serta merebut peluang baru di tengah-tengah kemajuan pesat teknologi.

Ini akan dilakukan melalui Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan juga Jawatankuasa Daya Ekonomi baru dibentuk di bawah M Kuasa Tiga+ (M³+), kata Dr Wan Rizal Wan Zakariah, Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i).

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di akhir Rapat Hari Pekerja NTUC yang diadakan di D’Marquee di Downtown East pada 1 Mei.

Jawatankuasa Daya Ekonomi itu – diumumkan semasa majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri pada 10 April – diterajui bersama oleh Dr Wan Rizal dan Encik Saktiandi Supaat, pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kewangan dan Perdagangan dan Perusahaan, yang juga Ketua Pakar Strategi Forex dan Ketua Penyelidikan Forex Pasaran Global Maybank.

“Kami akur bahawa ia (AI) adalah satu teknologi baru dan seperti apa saja alat baru di luar sana, tentu sekali kita perlu belajar untuk meningkatkan kemahiran kita.

“NTUC bersama dengan jawatankuasa yang telah dilakarkan itu akan bersama untuk mengadakan pelbagai sesi untuk para pekerja kita meningkatkan kemahiran bukan saja melalui kursus, malah menerusi rangkaian yang kita akan adakan, termasuk rangkaian pementoran dan rangkaian pekerjaan,” kata Dr Wan Rizal.

Sempena Hari Pekerja, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucaptamanya di rapat itu telah, antara lain, menyentuh tentang revolusi AI dan pelbagai usaha pemerintah untuk membantu perniagaan dan pekerja memanfaatkan AI dan merebut peluang baru.

Ini termasuk pembentukan Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) baru – hasil gabungan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan SkillsFuture Singapura (SSG) – dan juga sebuah Majlis Pekerjaan Tiga Pihak (TJC) untuk memberi sokongan kepada pekerja dan perniagaan memanfaatkan transformasi yang dipacu AI.

Mengulas, Dr Wan Rizal berkata inisiatif seperti TJC itu adalah satu usaha positif yang akan membantu menangani cabaran dan kekhuatiran pekerja mengenai pekerjaan.

“Cabaran pertama adalah kita perlu memahami apakah AI itu sebenarnya dan kalau kita tidak tahu apakah AI itu sebenarnya, tentu sekali kita tidak boleh menggunakannya sebagai satu alat untuk pekerjaan kita.

“Kedua, dengan adanya ilmu tentang AI barulah kita tahu bagaimana ia boleh menolong kita dalam pekerjaan.

“Dari situ, kita juga mesti fahami bahawa AI bukan sekadar alat untuk mencari maklumat di Internet, tetapi boleh membantu dalam pekerjaan kita, sekali gus meningkatkan produktiviti dan nilai diri kita dalam syarikat,” kata beliau.

Sementara itu, Naib Presiden NTUC, Encik Abdul Samad Abdul Wahab, pula berkata pekerja harus yakin dan tidak segan untuk menguasai kemahiran AI bagi meningkatkan nilai diri supaya kekal berdaya saing.

Langkah ini penting bagi memastikan pekerja mampu meraih peluang kerjaya yang lebih baik, bergaji mantap, dan menyumbang kepada ekonomi.

“Apabila pekerja dapat pastikan kemahiran dan kebolehan mereka akan sentiasa dicari, majikan akan mencari kita dan bukan kita yang mencari majikan.

“Dengan adanya AI… kita perlu belajar tentang AI, belajar cara AI dapat meningkatkan diri kita dan dengan itu, menjadikan diri kita lebih berdaya saing,” kata beliau.

“NTUC bersama dengan jawatankuasa yang telah dilakarkan itu akan bersama untuk mengadakan pelbagai sesi untuk para pekerja kita meningkatkan kemahiran bukan saja melalui kursus, malah menerusi rangkaian yang kita akan adakan, termasuk rangkaian pementoran dan rangkaian pekerjaan.”
Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

“Apabila pekerja dapat pastikan kemahiran dan kebolehan mereka akan sentiasa dicari, majikan akan mencari kita dan bukan kita yang mencari majikan. Dengan adanya AI (kecerdasan buatan)… kita perlu belajar tentang AI, belajar cara AI dapat meningkatkan diri kita dan dengan itu, menjadikan diri kita lebih berdaya saing.” 
Encik Abdul Samad Abdul Wahab, Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).