Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan memperuntukkan sejumlah $37 juta pada 2026 bagi menyediakan bantuan praktikal kepada pekerja dan keluarga mereka untuk keperluan harian.

Mengumumkan demikian pada Rapat Hari Pekerja pada 1 Mei, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata ia merangkumi pelancaran Dana Masyarakat NTUC yang baru.

Dalam ucapannya di Rapat Hari Pekerja yang diadakan di D’Marquee, Downtown East, dan dihadiri sekitar 1,600 tetamu, Encik Ng memberi amaran bahawa Singapura berdepan dua perubahan struktur, iaitu gangguan kecerdasan buatan (AI) dan masyarakat yang semakin menua.

Menurutnya lagi, cabaran ini ditambah pula dengan perpecahan geopolitik dan tekanan kos yang semakin meningkat.

“Walaupun ekonomi kita kekal berdaya tahan, terdapat beberapa petanda cabaran pada masa depan.

“Beberapa graduan muda menghadapi kesukaran cari kerja selepas tamat pengajian.

“Pemberhentian kerja, khususnya dalam kalangan PMET (karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen), semakin meningkat,” kata beliau.

Sebagai sokongan praktikal, Encik Ng berkongsi bahawa NTUC dan FairPrice Group menawarkan penjimatan sebanyak $5 juta bagi barangan keperluan harian.

“Kami juga telah melancarkan Dana Masyarakat NTUC dengan sasaran mengumpul $500 juta bagi menyokong kanak-kanak dan warga emas dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Yang paling penting, pendekatan keprihatinan bermakna kami sentiasa bersama pekerja dalam era AI, sama ada kolar biru atau putih, dan memastikan tiada pekerja yang menghadapi perjalanan ini bersendirian,” katanya.

Menurut Encik Ng, tinjauan NTUC mendapati hampir seorang daripada lima pekerja menyatakan keselamatan pekerjaan sebagai kebimbangan utama mereka.

Justeru, beliau menjelaskan bahawa gangguan AI bukanlah bersifat jangka singkat atau sementara.

“Ia akan mengubah pekerjaan dalam setiap sektor, termasuk golongan karyawan seperti doktor, peguam dan akauntan.

“Dan ia berisiko ‘mengosongkan’ tangga pertama kerjaya, sekali gus menjejaskan bukan sahaja pekerjaan, bahkan peluang bagi pekerja muda membina kemahiran asas untuk melancarkan kerjaya mereka.

“Ditambah dengan ketidaktentuan global, pekerja dari semua peringkat berdepan tekanan berganda, iaitu keselamatan pekerjaan yang lebih rendah dan kos sara hidup yang lebih tinggi,” jelasnya.

Mengakui ketidaktentuan dan cabaran yang bakal dihadapi, Encik Ng menegaskan komitmen NTUC untuk terus bersama pekerja bagi mengatasinya dan merebut peluang baru.

Bagi menangani gangguan yang bakal dihadapi, beliau mencadangkan agar kerjasama tiga pihak diperkukuh berasaskan empat tunggak – Komitmen, Keupayaan, Tindakan Kolektif dan Keprihatinan.

Di bawah ‘Komitmen’, Encik Ng berkata Majlis Pekerjaan Tiga Pihak (TJC) yang baru diumumkan pada 30 April bertujuan menyatukan sumber pemerintah, majikan dan gerakan buruh bagi memperluas sokongan untuk pekerja.

Di bawah ‘Keupayaan’, beliau berkata Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) NTUC akan diperluas bagi menyokong golongan karyawan, termasuk membantu doktor umum (GP) dan akauntan memanfaatkan teknologi AI untuk meningkatkan produktiviti.

Encik Ng menambah bahawa Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) telah memperkukuh perkhidmatannya dengan bimbingan kerjaya berasaskan AI serta padanan pekerjaan yang diperibadikan.

Dalam pada itu, beliau berkata Tenaga Kerja Singapura (WSG) menyediakan pelbagai program sokongan peralihan kerjaya untuk membantu pekerja, manakala Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) membantu pekerja beralih ke peranan baru melalui Program Penukaran Kerjaya.

Bagi ‘Tindakan Kolektif’, Encik Ng menegaskan bahawa Majlis Pekerjaan Tiga Pihak (TJC) akan menghubungkan graduan muda dengan peluang kerja sebenar, membimbing golongan PMET pertengahan kerjaya dalam peralihan kerjaya, serta memastikan gaji pekerja meningkat seiring produktiviti.

Untuk ‘Keprihatinan’ pula, beliau menekankan pentingnya menyediakan sokongan tambahan kepada mereka yang memerlukan dan memastikan tiada pekerja yang menghadapi perjalanan ini bersendirian.

“Walaupun ekonomi kita kekal berdaya tahan, terdapat beberapa petanda cabaran pada masa depan. Beberapa graduan muda menghadapi kesukaran cari kerja selepas tamat pengajian. Pemberhentian kerja, khususnya dalam kalangan PMET (karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen), semakin meningkat.”
Encik Ng Chee Meng, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).