Satu majlis tiga pihak akan ditubuhkan untuk memberi sokongan kepada pekerja dan perniagaan agar mereka dapat memanfaatkan transformasi yang dipacu kecerdasan buatan (AI).

Majlis Pekerjaan Tiga Pihak (TJC) diumumkan oleh Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng, pada 30 April, menjelang Rapat Hari Pekerja pada 1 Mei.

TJC, yang diterajui oleh NTUC, bertujuan membantu pekerja dan perniagaan melalui tiga pendekatan tiga pihak utama – sokongan terselaras seiring dengan penggunaan AI, latihan menyeluruh dan sektoral untuk pekerja, serta tingkatkan kesedaran awam tentang AI dan menggalak penyertaan dalam inisiatif yang disediakan.

Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, dan Presiden Snef, Encik Tan Hee Teck, menambah bahawa TJC dapat membantu pekerja dari semua kategori termasuk golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) serta belia.

Ini di samping memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan dan pekerjaan yang baik untuk pekerja, tambah Encik Chee dan Encik Tan ketika ditemui media di bangunan NTUC di One Marina Boulevard.

TJC juga melengkapkan usaha pemerintah di bawah Majlis AI Kebangsaan untuk memacu agenda AI Singapura.

Majlis AI Kebangsaan yang dipengerusikan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, pertama kali diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2026.

Ia memberi tumpuan kepada empat sektor – perkilangan lanjutan, ketersambungan, kewangan dan penjagaan kesihatan.

“Sedang AI terus membentuk semula industri dan mentakrifkan semula peranan pekerjaan, kami menyedari bahawa terdapat ramai pekerja dan perniagaan yang merasa bimbang dan tidak pasti tentang apa yang menanti pada masa hadapan.

“Terdapat kerisauan yang berasas mengenai keselamatan pekerjaan, kerelevanan kemahiran, kebimbangan terhadap kepupusan kemahiran, dan rentak perubahan yang semakin pesat dan memecut.

“Ini adalah kebimbangan yang nyata, dan kami memandangnya dengan sangat serius.

“Oleh itu gerakan buruh NTUC, MOM bersama SNEF telah bersatu untuk membentuk Majlis Pekerjaan Tiga Pihak ini,” kongsi Dr Tan.

Encik Chee berkongsi maklum balas yang melibatkan beberapa golongan termasuk belia dan pekerja matang.

Antara lain, golongan belia meluahkan kebimbangan bahawa kelayakan akademik semata-mata tidak lagi menjamin kerjaya, manakala pekerja matang merasa cemas terhadap keselamatan pekerjaan dan risiko kepupusan kemahiran akibat peredaran zaman yang diburukkan lagi oleh teknologi AI.

Walaupun ramai yang sudah mula bereksperimen dengan alat seperti ChatGPT untuk kegunaan peribadi, masih wujud jurang kesedaran tentang bagaimana AI boleh diterjemahkan secara berkesan kepada hasil kerja profesional.

Justeru, Encik Chee berkata TJC dapat memainkan peranan penting untuk membimbing mereka.

Secara berasingan, Encik Tan berkongsi bahawa berbanding dengan syarikat besar yang mana kadar penggunaan AI telah melebihi 60 peratus, syarikat kecil dan sederhana (SME) masih jauh ketinggalan.

“Jika trend ini berterusan, jurang ini akan semakin melebar, bukan sahaja antara SME dengan syarikat besar, malah dalam kalangan pekerja juga,” ujar Encik Lee.

Menurutnya, banyak syarikat masih berada di peringkat awal penggunaan AI, yang lazimnya terhad kepada penggunaan alat siap pakai dan bukannya transformasi mendalam terhadap aliran kerja, peranan pekerjaan, dan model perniagaan.

Meskipun majikan mengiktiraf potensi AI untuk meningkatkan produktiviti, memacu inovasi, dan kekal kompetitif, namun banyak syarikat, terutamanya SME, menghadapi cabaran yang sangat praktikal seperti kos pengeluaran, jurang kemahiran, dan kekurangan kepakaran dalaman, tambah Encik Tan.

Sebagai langkah permulaan bagi menggalak SME mengguna pakai AI, Encik Tan berkata konsep ‘Queen Bee’ dapat memainkan peranan yang penting.

‘Queen Bee’ merujuk kepada syarikat pemimpin industri yang boleh menarik dan mempengaruhi syarikat lain untuk mempertingkat usaha pembangunan kemahiran dan membantu memperluas pendekatan gerakan SkillsFuture.