Topik diikuti
Pergi ke BHkuTeknologi AI permudah kerja di Depoh SMRT
Teknologi AI permudah kerja di Depoh SMRT
Dimaanfaat dalam kerja teknikal dan pentadbiran seperti pemantauan rekod kerja, tugasan harian
Teknologi AI permudah kerja di Depoh SMRT
Depoh SMRT kini menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam beberapa aspek operasi, termasuk kerja teknikal dan pentadbiran.
Menurut pegawai teknikal kanan di Depoh Tuas SMRT, Encik Yahya Karthi, penggunaan teknologi itu mula memudahkan tugas beliau, khususnya dalam pengurusan rekod kerja dan pemantauan tugasan harian.
Encik Yahya, 62 tahun, merupakan salah seorang individu yang telah disebut oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapannya pada Rapat Hari Pekerja pada 1 Mei.
Dalam ucapannya, Encik Wong memetik bagaimana pembaikan berterusan di SMRT menjadikan para pekerjanya bukan sahaja lebih produktif, tetapi juga memberi lebih kepuasan.
Sebelum pelaksanaan AI, Encik Yahya yang ditemui Berita Harian (BH) berkata beliau dan rakan kerjanya perlu merekodkan secara manual semua rekod kerja selepas menyelesaikan tugasan mereka.
Di bawah sistem baharu, proses ini dilakukan secara automatik.
“Sebaik sahaja kami ‘clock in’ dan menamatkan sesuatu kerja, sistem akan mengemas kini rekod kerja secara automatik untuk disemak pihak pengurusan.
“Ini menghapuskan sepenuhnya keperluan untuk kerja kertas manual jadi kami tak perlu ingat ‘eh aku dah buat perkara tu ke belum?’” jelas beliau, yang sudah berkhidmat di SMRT sejak 1992.
Menurutnya, pihak pengurusan turut memanfaatkan AI untuk mengagihkan tugasan kerja harian kepada kakitangan.
Dari segi teknikal pula, Encik Yahya, yang bertanggungjawab memeriksa bahagian kereta api dan mengenal pasti kerosakan, berkata AI membantu pasukannya melalui sistem ‘smart torque’ atau tork pintar.
Tork adalah ukuran daya putaran yang dikenakan pada sesuatu objek.
Apabila mengetatkan beberapa nat dan bolt di bahagian mesin, beliau berkata sistem tersebut memastikan setiap bolt diketatkan secara seragam mengikut julat tekanan tertentu.
Encik Yahya berkata teknologi itu dapat mengesan sama ada bolt telah diketatkan dengan sempurna dan akan memberi isyarat kepada pekerja apabila keseluruhan set telah siap dipasang dengan selamat.
“Ini mengurangkan risiko kesilapan manusia dengan ketara, kerana ia mengelakkan kemungkinan pekerja terlepas pandang mana-mana bolt, seperti yang boleh berlaku sebelum ini,” ujar beliau.
