Tidak perlulah nak bebani fikiran dengan membaca satu per satu komen netizen di Instagram, YouTube atau TikTok.

Nanti anda akan sakit hati, bingit tidak tentu pasal atau tahu-tahu tergerak nak menjawab atau membalas komen yang dianggap tidak munasabah itu.

Pendek kata, diamkan sahaja golongan yang dipanggil ‘keyboard warriors’ atau jaguh siber ini meroyan sesuka hati mereka.

Demikian komen beberapa artis veteran apabila saya berkesempatan menemu bual mereka menerusi Zoom.

Antaranya, Datuk Seri Sheila Majid menjelaskan beberapa bulan lalu sebelum konsertnya di Esplanade: “Tak payah kita biarkan mereka ‘trigger’ (cetuskan rasa marah) perasaan kita. Semua orang ada pandangan masing-masing.

“Memang ada yang kejam dan tak beralas. Tapi biarkan sahaja asal tak menjejas nama baik kita atau membabitkan keluarga kita. Lama-lama, mereka akan diam.”

Secara peribadi, saya begitu tertarik dengan beberapa perkembangan dunia hiburan di Singapura dan Malaysia, yang dibanjiri komen melulu netizen yang kadangkala tak usul periksa dan setakat nak sedapkan hati sendiri apabila komen mereka mula mendapat perhatian.

Kami menyiarkan semula berita yang diterbitkan akhbar di seberang Tambak tentang pelakon, Nur Fazura Sharifuddin, yang meminta netizen agar tidak menggganggu ketenteraman fikirannya kerana kerap mengungkit kisah beliau dan bekas suami, pelakon Fattah Amin.

Berita itu menarik perhatian dan perdebatan netizen, dengan sebilangan juga menyatakan Fazura harus terima perhatian yang diberikan netizen kerana memilih untuk menjadi anak seni yang kehidupannya menjadi topik perbincangan umum. Yalah, artislah katakan... mesti kisah peribadinya orang sibuk nak tahu.

Ternyata artis masa kini bukan setakat menjalankan amanah sebagai penyanyi, pelakon atau pengacara.

Suka atau tidak, mereka perlu mengemudi kehidupan yang dipantau rapi netizen – baik dari segi pemilihan watak dan pasangan hidup, keputusan yang dibuat, kata-kata yang diluahkan atau hantaran yang dimuatnaikkan di media sosial.

Setiap perkara akan ‘dibedah siasat’ netizen, yang sebilangannya mudah mengecam dan ‘murah hati’ dengan cemuhan.

Kehadiran media sosial telah mengalihkan kuasa dinamik pencipta kandungan kepada netizen.

Artis bukan sahaja perlu berurusan dengan pengarah, penerbit atau label rakaman.

Mereka perlu menangani penilaian jutaan jaguh siber yang tidak diketahui identitinya.

Netizen mengharapkan kesempurnaan, keaslian dan nilai moral artis berada pada tahap tinggi, memandangkan mereka adalah suri teladan.

Lantas, ini mewujudkan sekitaran yang memberi tekanan buat sesetengah artis, khususnya yang muda, sehingga ada yang terdesak meninggalkan kerjaya seni mereka kerana tidak tahan dengan pemantauan netizen. Sampaikan kesejahteraan minda mereka pun terjejas.

Ada beberapa perkara yang boleh kita tinjau dalam membincangkan isu tekanan artis ini.

Mampukah kerja seni dipisah daripada peribadi artis?

Kerap kali kerana sejarah kontroversi seseorang artis, peluang untuknya berkarya tersekat sehingga menimbulkan pelbagai kesangsian dalam diri penerbit, penganjur mahupun orang awam.

Pemilihan penyanyi dan pelakon asal Singapura, Aliff Aziz, untuk menjayakan muzikal pertama Datuk M. Nasir, Mansur & Liu, mendapat kecaman sesetengah pihak yang menyifatkan bintang yang sebelum ini diulit kontroversi, tidak layak membawa watak utama sebagai Sultan Mansur Shah.

Nasir, yang juga legenda asal Singapura, secara berseloroh menyatakan Aliff dipilih bagi menggalas watak Mansur kerana beliau adalah pelakon kedua paling tampan di Malaysia, selain memiliki pakej kemahiran berlakon dan menyanyi dengan baik.

Ramai yang sinis dengan pujian Nasir tentang Aliff. Benda kecil jadi besar sampai terbabit isu Nasir pastinya memberi laluan kepada artis senegara.

Jarang sekali netizen memberi peluang kedua atau ketiga untuk artis seperti Aliff membuktikan bakatnya tidak akan dipersia-siakan dan beliau mampu menggalas peranan sebagai Sultan Mansur dengan baik.

Aliff juga perlu bekerja keras, berkali-kali ganda, setelah kemelut hidupnya menjadi sorotan di media sosial.

Beliau memikul beban jangkaan penonton yang akan bersikap kritikal, dengan ada yang menunggu sahaja kekurangan atau kelemahannya terbentang dalam muzikal di Istana Budaya, antara 10 dengan 20 September ini.

Filem kecerdasan buatan (AI) pertama Singapura: Adakah wujud rasa takut pada inovasi, keresahan kesan teknologi?

Kritikan turut menjangkau peralihan kreatif dalam industri seni perfileman, di mana penonton dan karyawan seni tradisional sukar menerima perubahan dan penggunaan AI dalam kerja seni.

Filem cereka sains Singapura yang pertama memanfaatkan teknologi AI, Trace Project, yang ditayangkan sempena Hari Kebangsaan, 9 Ogos lalu, teruk dikecam dalam talian.

Netizen dan pembikin filem melabel filem ini sebagai ‘kandungan sampah janaan AI’ atau AI Slop.

Filem berlatarbelakangkan era 2030-an dan mengisahkan tentang misi membina peradaban baharu di planet Mars itu juga dikatakan sebagai satu penghinaan kepada sutradara filem setempat dan industri kreatif.

Masalahnya, ramai yang kini bertindak sebagai ‘pengawas seni’ dan masih tak mampu menerima teknologi baharu seperti AI yang pesat berkembang.

Karyawan kreatif pula berdepan dengan tekanan menerapkan inovasi canggih kerana menggantikan pelakon atau penyanyi sebenar (manusia) dengan watak AI dianggap topik sensitif yang mengancam periuk nasi pelakon atau penyanyi.

Maka, kerana bimbangkan reaksi negatif netizen yang bertubi-tubi, penjana kandungan berfikir dua kali dalam menggunakan AI bagi kerja seni mereka.

Susah puaskan hati semua, khusus yang terperangkap dengan nostalgia

Hampir setiap tahun, lagu tema Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) menjadi bahan perdebatan,

Sebagai contoh, lagu 2023, Shine Your Light, dikecam teruk netizen pada 2026, kerana dirasakan ibarat lagu nyanyian gereja dan bukannya lagu bertema kebangsaan yang menyatukan penduduk.

Terperangkap dengan nostalgia lagu klasik NDP seperti Home atau Count on Me, Singapore), ramai yang meletakkan jangkaan tinggi tanpa mengira pertukaran zaman. Samalah macam lagu Hari Raya – yang lama lebih sedap didengar daripada yang baharu.

Suasana klaustrofobia kreatif nampaknya sudah melanda. Karyawan seni yang ditugaskan menyiapkan karya seni nasional dibelenggu dengan amanah besar memuaskan hati hampir enam juta pengkritik (anggaran jumlah penduduk Singapura) sekali gus

Mereka perlu pastikan setiap aspek lagu itu, dari lirik, visual video muzik hingga kesan yang ia bawa pada jiwa mereka yang mendengar harus menepati cita rasa. Tak ke stres nanti?

Sewajarnya, karyawan seni harus diberi ruang dan peluang untuk mencuba dan bereksperimen dengan kaedah atau teknologi baharu.

Jangan kerana takutkan reaksi netizen, maka kreativiti tersekat, eksperimen terhenti dan ekosistem yang terbina dalam industri kreatif ini menjadi sarat dengan ketakutan “apa orang kata”.