Kisah peserta program realiti Barat yang disaluti rasa cemburu kepada pesaingnya sudah biasa kita dengar.

Mereka sanggup buat apa sahaja untuk memburukkan nama baik teman satu set yang kadangkala tidak menyangka diri mereka boleh menjadi mangsa fitnah dan tohmahan yang kejam.

Babak-babak peserta main ‘tikam belakang’ atau yang pastinya boleh berlaku di alam nyata ini cukup ketara jika saya menonton program realiti tular seperti, Love Island, Survivor, America’s Next Top Model dan The Bachelor.

Permainan mahupun manipulasi emosi dan psikologi, yang dipanggil ‘gaslighting’, di mana si pelaku membuatkan mangsa mempersoalkan ingatan, persepsi, atau kewarasan mereka sendiri, ini memang kejam, apa lagi jika ia ‘dibawa’ ke ruang tamu penonton, yang sebilangannya mungkin dalam kalangan generasi muda yang mudah terpengaruh dengan nilai toksik yang disangka ‘cool’ atau ikut trend.

Mujurlah, kelegaan dapat dirasakan apabila saya menonton program realiti di seberang Tambak, khususnya yang menjadi sebutan di bibir ramai seperti, Talk To My Manager dan Gegar Vaganza, kededuanya terbitan Astro.

Talk To My Manager yang masuk musim kedua kini mempunyai banyak nilai keluarga, yang boleh dijadikan teladan buat penonton.

Pertama, ia menekankan kepentingan untuk bersaing secara sihat dan tidak perlu membuang muka atau menyimpan hasad terhadap peserta lain, khususnya yang menampakkan peningkatan atau jauh lebih berbakat atau mempunyai ramai peminat.

Sewaktu menonton episod yang disiarkan pada 24 Mei lalu, mencurah-curah air mata saya tatkala mendengar kata-kata terakhir anak jurutari, Linda Jasmine, iaitu Tengku Ratu Haidar Tengku Iskhan Shah, 17 tahun, yang tersingkir kerana mendapat markah paling rendah.

“Saya rasa sebak sebab perlu meninggalkan peserta di sini, yang saya sudah anggap seperti rakan karib saya.

“Kepada Amarra, Azeva, Viviana, Cik B dan Baby Anggrek...terima kasih kerana ada di saat suka duka saya bertanding dalam peraduan ini.

“Kepada pengurus-pengurus yang menganggap saya seperti anak mereka sendiri, budi baik dan keprihatinan anda takkan saya lupa,” ujar Ratu, yang kemudian satu per satu didakap mesra oleh peserta dan pengurus wanita lain.

Ukhuwah dan persahabatan yang terjalin itu, sedikit sebanyak menjadi penggerak semangat bagi peserta, yang rata-rata berada di pentas nyanyian gah buat julung-julung kalinya, berbekal bakat terpendam yang mereka miliki.

Kerap juga lihat Ratu dan peserta wanita lain muncul dalam TikTok untuk menjana kandungan hiburan bersama.

Peraduan realiti ini juga menyatukan ibu ayah beberapa peserta yang sudah berpisah untuk sama-sama memberi dorongan kepada anak mereka.

Kita lihat penyanyi rok legenda, Ameng Spring, membuat persembahan bersama anaknya, Azeva, dengan beliau sendiri akur ia detik melupakan segala pertelingkahan yang terjadi antara dirinya dengan bekas isterinya, penerbit Datuk A. Aida, yang bertindak selaku pengurus Azeva.

Penyanyi ‘boyband’ Kool, Hairee Kool, juga tampil sebagai penonton untuk memberi semangat buat anaknya, Kim Khairi, yang memberi persembahan memukau, dibimbing oleh bekas isteri Hairee, pelakon dan penyanyi, Safura.

Bagi mereka, peribahasa ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’ itu begitu nyata, di mana hubungan mereka terjalin semula sebagai ibu bapa (walau sudah berpisah) yang akan jadi pembakar semangat anak-anak yang baru bertatih dalam industri seni.

Persahabatan yang dibina dalam program realiti tidak terhenti di situ sahaja.

Kita lihat kerjasama antara peserta membawa mereka untuk merakam lagu bersama, sebagaimana peserta Gegar Vaganza 9 (GV9), Dina Nadzir dan finalis GV9 asal Singapura, Hazrul Nizam.

Kededuanya muncul dengan lagu, Berat Hati, sejurus peraduan melabuhkan tirai.

Lebih menyentuh perasaan adalah usaha dua peserta GV8, naib juara, Nikki Palikat, dan pemenang tempat ketiga, Suki Low, untuk membersihkan kubur ‘Kak Long’ mereka, Allahyarhamha Adibah Noor, yang meninggal dunia pada 18 Jun 2022, kerana barah ovari tahap lanjutan.

Di ambang sambutan Aidilfitri pada Mac lalu, Nikki dan Suki, membuktikan kelainan agama dan bangsa bukan penghalang untuk mereka terus mengenang dan menabur bakti buat rakan seni mereka.

Menurut Nikki kepada media seberang, beliau dan Suki biasanya akan melawat kubur Allahyarhamha Adibah di Tanah Perkuburan Islam Keramat Permai, Taman Keramat, setiap Ramadan.

Menurutnya, mereka sememangnya mengajak peserta lain turut serta namun, tidak mahu menyusahkan peserta Muslim lain, memandangkan mereka sedang berpuasa.

“Sebab kita pergi pun waktu panas, berpeluh. Lepas itu kita buat kerja pembersihan itu pun memakan masa agak lama jugalah,” jelas Nikki.

Menurutnya, memandangkan Allahyarhamha Adibah adalah seorang insan yang baik, beliau dan Suki terdorong ke kubur untuk mengingatinya.

“Semua agama menyeru, mengingati mereka yang sudah pergi sebab ia perkara penting dan perlu dilakukan oleh mereka yang masih hidup” kongsi Nikki.

Semangat setiakawan sebeginilah yang kita ingin lihat.

Di pentas pertandingan realiti, masing-masing ingin buat yang lebih baik, tetapi mereka tetap kekalkan semangat saling memberi satu sama lain kekuatan untuk teruskan perjuangan.

Peraduan realiti mampu mencetuskan sesuatu yang baik, penuh inspirasi dan motivasi untuk renungan bersama penonton.

Memang kalau kita lihat peraduan realiti Barat sarat dengan unsur kontroversi, sensasi dan faktor yang menularkan program itu di media sosial.

Definisi hiburan lebih condong pada sesuatu yang boleh menaikkan ‘rating’ meski ketara sifat pentingkan diri sendiri demi kemenangan, yang dianggap sebagai strategi yang sah dan adil.

Di Barat, rancangan realiti tidak dilihat sebagai dokumentari kehidupan sebenar, tetapi persis satu unsur sabotaj terancang demi hiburan.

Iri hati dan manipulasi bak ‘minyak’ yang menggerakkan enjin ‘rating’ program realiti mereka.

Namun, walau apa pun sebabnya, budaya Timur atau Asia lebih menekankan keharmonian suasana dan sikap menghormati orang lain

Pada akhirnya, kita inginkan program realiti yang benar-benar dapat diteladani selain menghiburkan dan meninggalkan kesan positif yang berbekas di minda dan jiwa.