Dunia Hollywood sejak sekian lama sememangnya gemar mengangkat kisah legenda muzik ke layar perak menerusi filem biopik berskala besar.

Antara yang paling mendapat perhatian termasuk filem, Bohemian Rhapsody, yang mengangkat perjalanan hidup Freddie Mercury, serta Back to Black, yang menelusuri sisi rapuh dan kehidupan penuh gejolak Amy Winehouse.

Hollywood turut menghasilkan karya seperti Elvis tentang Elvis Presley, Rocketman, mengenai perjalanan hidup Elton John, selain Whitney Houston: I Wanna Dance with Somebody, yang mengangkat kisah suka duka Whitney Houston.

Dengan itu, saya fikir filem biopik meninggalkan kesan melebihi setakat meraikan kemasyhuran ikon muzik ini semata-mata.

Sebaliknya, ia berani menyingkap sisi paling rapuh di sebalik kemasyhuran seorang artis, termasuk tekanan, kesunyian dan pengorbanan yang datang bersama kehidupan di puncak kegemilangan kerjaya mereka.

Kebelakangan ini, nama Michael Jackson kembali hangat diperkatakan dalam kalangan netizen.

Sejak filem biopiknya mula menemui penonton di pawagam, media sosial dipenuhi semula dengan video persembahan ikonik, rakaman wawancara lama serta pelbagai perbincangan mengenai sisi hidup Raja Pop dunia itu.

Meskipun saya hadir sebagai pengamat Generasi Z, pengaruhnya tetap terasa besar, malah namanya seolah-olah merentasi zaman dan generasi.

Jangankan pengaruh, muziknya pun melangkaui bangsa, bahasa dan negara.

Bahkan, beliau juga antara seniman yang mempunyai banyak tanda dagangnya.

Antaranya merupakan ‘ad-lib’ atau lenggok vokal spontan berbunyi, ‘Hee-hee!’, yang sering digunakan Jackson dalam lagu serta persembahannya.

Tidak lupa juga gerakan ikonik ‘moonwalk’, yang memperlihatkan seakan-akan dirinya bergerak ke hadapan, sedangkan tubuh sebenarnya sedang meluncur ke belakang.

Namun begitu, yang ketara bagi saya adalah semakin besar seorang tokoh itu dibentuk oleh dunia, semakin kecil ruang yang tinggal untuk dirinya menjadi manusia biasa.

Walau bagaimanapun, pada pandangan saya, masih terdapat beberapa lapisan penting dalam filem biopik terbabit yang tidak diterokai secara mendalam.

Secara ringkas, dari sudut penceritaan, filem ini menyajikan apa yang diharapkan penonton daripada sebuah biopik legenda muzik.

Jackson ketika usia mudanya (lakonan Juliano Krue Valdi), digambarkan terpaksa menjalani latihan dan membuat persembahan di bawah disiplin ketat bapanya, Joe Jackson (Colman Domingo), bersama empat adik-beradiknya dalam kumpulan popular pada era 1970-an, Jackson 5.

Namun begitu, hubungan Jackson (lakonan Jaafar Jackson) bersama anggota Jackson 5, hanya disentuh secara ringkas sedangkan fasa itulah yang dilihat banyak membentuk emosi, trauma dan cara beliau melihat dirinya sendiri apabila dewasa.

Penonton sememangnya diperlihatkan dengan ketegasan Joe dalam mendidik anak-anaknya.

Namun filem itu tidak benar-benar menyelami bagaimana ketakutan dan tekanan yang dialami Jackson sejak kecil akhirnya membentuk sifat ‘perfectionist’ (mementingkan kesempurnaan) yang begitu kuat dalam dirinya.

Jika dilihat dalam banyak wawancara lama dan dokumentari, Jackson sendiri pernah menyifatkan zaman kanak-kanaknya sebagai sesuatu yang sunyi dan menakutkan.

Jackson pernah berkongsi mengenai ketakutannya yang begitu mendalam terhadap bapanya sehingga adakalanya berasa loya dan muntah hanya dengan melihat atau teringat akan bapanya itu.

Ada ketika beliau menangis apabila ditanya tentang Joe dalam wawancara televisyen.

Filem ini juga menyentuh tentang penyakit sopak atau vitiligo yang dihadapi Jackson, selain perubahan pada bentuk hidungnya menerusi pembedahan kosmetik.

Namun, semuanya terasa sekadar sepintas lalu, tanpa benar-benar menyelami bagaimana perubahan fizikal Jackson akhirnya menjadi sasaran pemerhatian dan kritikan media tatkala itu.

Malah, peristiwa iklan Pepsi pada 1984, yang menyebabkan kulit kepalanya terbakar sepatutnya boleh diberikan ruang lebih besar dalam filem ini.

Ramai percaya tragedi itu menjadi titik awal kepada kesakitan kronik dan kebergantungan terhadap ubat tahan sakit yang kemudian memberi kesan besar terhadap kehidupannya.

Bagaimanapun, filem ini dilihat terlalu cepat kembali meraikan kejayaan pentas Jackson tanpa benar-benar menyelami kesan fizikal dan emosinya selepas tragedi tersebut.

Barangkali, itulah cabaran terbesar dalam menghasilkan biopik figura sebesar dirinya.

Pembikin filem bukan sahaja perlu menjaga penghormatan terhadap legasi seni yang ditinggalkan, malah turut berdepan cabaran mengendalikan pelbagai kontroversi yang masih dikaitkan dengan namanya sehingga hari ini.

Lebih menarik lagi, selepas menonton filem ini, saya terfikir tentang industri hiburan Melayu sendiri.

Persoalannya, mengapakah kita masih kurang menghasilkan biopik berskala besar tentang tokoh seni tempatan, sedangkan kita juga mempunyai figura yang kisah hidupnya cukup kuat untuk diangkat secara sinematik?

Industri hiburan Melayu juga pernah beberapa kali cuba mengangkat legasi seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, menerusi filem dan dokumentari.

Sebelum ini, ada juga ura-ura mengenai pembikinan filem biopik seniman agung, Tan Sri P Ramlee, iaitu P. Ramlee – Jeritan Batinku, hasil kerjasama syarikat Inkhouse Media Pte Ltd (Singapura) dan Inkhouse Pictures Sdn Bhd (Malaysia).

Namun begitu, setahu saya, belum ada lagi yang benar-benar tampil dengan sebuah biopik moden berskala besar seperti yang sering dihasilkan Hollywood.

Pada pandangan saya, isu ini bukan semata-mata soal kewangan, malah, juga keberanian industri dalam melihat biopik sebagai karya budaya besar dan bukan sekadar bahan nostalgia.

Hollywood memahami biopik bukan hanya tentang mengulang sejarah, malah, mencipta pengalaman emosi bagi generasi baharu.

Sebab itu, filem seperti Michael, Bohemian Rhapsody atau Elvis, dipasarkan sebagai satu fenomena budaya, lengkap dengan promosi besar-besaran dan pendekatan sinematik yang membuat penonton muda turut berasa dekat dengan legenda lama.

Sebaliknya, banyak karya tempatan masih terlalu selamat dan kurang agresif dari sudut pemasaran sehingga gagal mencipta keterujaan budaya yang mampu menarik perhatian generasi baharu secara lebih meluas.

Sedangkan, kisah tokoh seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad atau, Allahyarhamha Datuk Sharifah Aini, sebenarnya mempunyai kekuatan emosi dan perjalanan hidup yang tidak kurang hebatnya untuk diangkat ke layar perak.

Bagaimanapun, saya percaya industri hiburan Melayu juga mampu melahirkan karya biopik yang setanding dari segi skala, emosi dan kesannya, sekiranya diberikan keberanian, visi serta sokongan yang tepat.