Kemenangan anak sulung penyanyi Adira Suhaimi, Anggrek, pada peringkat akhir rancangan realiti, Talk To My Manager (Musim Kedua), mendapat pelbagai reaksi penonton di media sosial.

Sedang ramai yang kagum dengan prestasi membanggakan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu ketika berganding bahu dengan penyanyi ‘in’ masa kini, Aisha Retno, dalam lagu Sutera, ada juga netizen yang menyifatkan Anggrek yang comel itu tidak layak bergelar juara atau bersaing dengan peserta lebih dewasa daripadanya.

“Dia masih kecil lagi. Masukkan dalam peraduan untuk peserta sebaya dengannya. Mengapa mesti bersaing dengan peserta remaja atau lebih dewasa?

“Mungkin orang pilih dia kerana dia budak dan comel! Ada yang kasihan kalau Anggrek kalah,” tulis seorang netizen yang menggunakan nama Rose Power di salah satu platform media sosial berita hiburan di seberang Tambak.

Kalau ditanya pandangan peribadi saya, saya akan kata Anggrek layak bergelar juara walaupun suaranya tidak sehebat peserta lain seperti Hussain atau Azeva Natasha.

Nyala rasanya dalam bidang hiburan begitu kelihatan. Dia menari penuh bersemangat. Dia bertenaga dan nampak ‘steady’ sahaja berlari ke sana sini sebab anak kecil memang banyak stamina.

Dari awal lagi, Anggrek bak penghibur profesional dan bekerja keras.

Di luar pentas, dia seperti anak kecil yang ingin dimanjakan ibunya, Adira, dan peserta lain, malahan dipanggil ‘baby’ sebab merupakan peserta yang paling muda.

Bagaimanapun, personaliti dan potensinya sebagai bintang kecil menyerlah sejurus kakinya melangkah di atas pentas sebagai peserta.

Bagi saya, tidak mudah dan mungkin lebih memberi tekanan buat si kecil jika bersaing dengan abang atau kakak yang lebih berpengalaman mahupun memiliki suara matang dan daya persembahan mantap.

Justeru, kita harus puji semangat Anggrek, yang dipupuk ibunya, Adira, agar berdisiplin, mendengar kata, suntik kreativiti dan identiti sendiri serta penuh tenaga positif.

Bagaimanapun, saya cuba menyelongkar psikologi di sebalik menyertakan anak kecil dalam program realiti, yang rata-rata mengetengahkan peserta dewasa.

Pada pandangan pakar psikologi hiburan, Dr Jude Adams, dalam satu rencana tentang memahami usaha mengetengahkan peserta cilik dalam sesuatu program realiti, ada unsur mengasihani atau kebimbangan jika si kecil payah menerima dirinya tersingkir daripada pertandingan.

“Orang dewasa boleh menerima penyingkiran dengan berlapang dada. Bayangkan kalau si kecil tak mara ke pusingan selanjutnya. Pasti dia bersedih hati dan perlu dipujuk.

“Maka, panel juri pun terdorong menjaga hati si kecil dengan memilihnya sebagai juara,” ujar Dr Adams.

Beliau juga menyatakan peserta lebih dewasa kadangkala diminta memberi laluan buat si kecil menjulang piala juara.

Namun, dalam hal Anggrek, peserta dewasa yang ada dalam Talk To My Manager 2 itu sebenarnya mengalami masalah yang ketara untuk dinobatkan sebagai juara.

Ada yang kaku di pentas. Ada yang suara ‘terkucil’ atau ‘ke laut’.

Jadi, terimalah Anggrek sebagai juara yang layak kerana semangat juangnya itu.

Cuma sekarang ini, Adira pastinya perlu memikirkan masa depan anaknya jika Anggrek ingin bergelar artis.

Kalau kita lihat pelakon atau penyanyi cilik di pasaran, tidak ramai yang bertahan sebagai artis yang laris atau ‘ada nama’ sejurus meniti usia remaja dan melayari alam 20-an tahun, yang lebih mencabar.

Dia bukan lagi bintang kecil yang dianggap penyeri. Dia bukan lagi si comel yang diizinkan untuk buat silap di set penggambaran.

Penilaian terhadap kewibawaannya dan kelakonannya boleh menimbulkan pertikaian media atau pengamat artis.

Mia Sara Nasuha dan Putri Balqis, misalnya, merupakan pelakon cilik yang bukan calang-calang.

Bagaimanapun, apabila mereka dewasa, nama mereka lebih dikaitkan dengan kontroversi dan perselisihan faham sesama sendiri.

Putri Balqis pernah mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik (Watak Utama) bagi Anugerah Televisyen Asia di Singapura pada 2014.

Umurnya baru tujuh tahun ketika itu tetapi dia menewaskan pelakon serantau yang jauh lebih dewasa kerana peranan pelakon air mata yang dibawanya dalam drama arahan Erma Fatima, Balqis.

Di Barat, dua pelakon cilik pernah mencipta sejarah kerana memenangi Anugerah Academy bagi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Tatum O’Neil, yang ketika itu berusia 10 tahun, diiktiraf dalam filem Paper Moon yang dihasilkan pada 1973.

Pesaingnya, Linda Blair, Candy Clark, Madeline Kahn dan Sylvia Sydney, yang jauh lebih dewasa.

Anna Paquin yang berusia 11 tahun pula menang dalam kategori sama pada 1994, bagi filem The Piano.

Bagaimanapun, tidak semua bintang cilik ini berjaya seperti Leonardo DiCaprio, yang juga bermula sebagai pelakon cilik dan dianggap pelakon hebat hingga ke usia dewasa.

O’Neal, kini 62 tahun, mengalami banyak masalah ketagihan dan kemurungan apabila dewasa sehingga menjejas kesihatan mental dan fizikalnya.

Bagi Paquin, 43 tahun, bukan beliau tidak laku lagi, tetapi dirinya memilih untuk memberi lebih tumpuan kepada perkahwinannya dengan pelakon British, Stephen Moyer.

Apabila dewasa, Paquin turut dilamar dalam projek skala besar seperti francais filem X-Men dan siri drama True Blood.

Beliau dan suami mempunyai anak kembar yang kini berusia 14 tahun.

Menjadi bintang cilik yang ingin terus kekal dalam industri hiburan tidak semudah mana.

Perancangan kerjaya amat mustahak jika si kecil ingin terus diasah bakatnya bagi memenuhi tuntutan kerjaya sebagai pelakon atau penyanyi dewasa.

Sebagai penonton, kita juga perlu menggunakan ukuran penilaian berbeza dalam kita meninjau kerja seni mereka.

Beri mereka ruang meneroka dan terus berikan mereka galakan, sedang mereka juga perlu mengemudi dunia hiburan yang berbeza.

Pastikan mereka tidak dibelenggu kemurungan dek terpinggir atau kesulitan mendapatkan tawaran kerja yang berpatutan dengan kemahiran dan kebolehan mereka kini sebagai artis dewasa.