Topik diikuti
Pergi ke BHkuFilem Indonesia kembali bermaya dengan isu dekat di hati Gen Z
Filem Indonesia kembali bermaya dengan isu dekat di hati Gen Z
Kebangkitan luar biasa karya pelbagai genre boleh jadi cetusan kreatif karyawan filem di S’pura
Filem Indonesia kembali bermaya dengan isu dekat di hati Gen Z
Seorang teman dari Jakarta menceritakan kepada saya bagaimana dua anak remajanya kini begitu terpaut menonton filem Indonesia yang membanjiri pasaran, baik di pawagam mahupun menerusi wadah penstriman.
Mereka kurang condong menonton filem Hollywood ataupun Korea, seperti kebiasaan penonton Asia Tenggara termasuk di Singapura sendiri.
Menurutnya, keadaan itu berbeza dari zaman remaja era 1980-an atau 1990-an (merujuk kepada dirinya sendiri), tatkala filem Barat seperti Back to The Future. Good Morning Vietnam, Forrest Gump dan Rambo, menguasai pasaran ‘box-office’.
Kemudian, timbul pula rasa teruja menyaksikan filem Korea, Shiri, Christmas in August, Two Cops dan General’s Son, di layar pawagam.
Tercetus di jiwa, “Mengapa tiada filem Melayu atau Indonesia sehebat filem Hollywood dan K-wood ini?”
Bagaimanapun, daripada perbualan bersama teman saya ini dan juga ketika membaca beberapa rencana dari media Indonesia, dapat dikesan kandungan yang dijana penerbit Indonesia mula mendapat perhatian penonton negara itu sendiri, khususnya Generasi Z dan Alpha.
Malahan, kutipan ‘box-office’ bagi filem Indonesia membentuk 65 peratus daripada keseluruhan hasil pendapatan pawagam yang dipanggil ‘bioskop’ di negara tersebut, lapor laman web, Antara News.
Seramai 80 juta penonton juga dikatakan membanjiri pawagam bagi menyaksikan filem Indonesia pada 2025.
Antara faktor yang menyebabkan anak muda lebih suka menonton filem Indonesia masa kini termasuk mutu kerja seni anak watan yang setara atau dianggap lebih baik daripada karya antarabangsa.
Persoalan yang dibangkitkan dalam filem tempatan ini juga seiringan dengan kebudayaan Indonesia atau isu yang dihadapi generasi muda yang berdepan dengan cabaran dunia tidak menentu.
Ada juga karya yang mengupas khazanah dongeng dahulukala, yang masih menambat hati ramai kerana nilai yang tersirat.
“Kalau dahulu, generasi kita akan tonton filem seram seperti Sundel Bolong dan Penangkal Ilmu Teluh yang 100 peratus seram, tapi generasi anak-anak suka tengok filem seram komedi, Agak Laen: Menyala Pantiku!” jelas teman saya itu.
Filem ini mengisahkan tentang empat sahabat, Boris, Jegel, Bene, dan Oki, yang mengelola rumah hantu sepi di pasar malam.
Projek mereka berubah secara mendadak setelah seorang pengunjung meninggal akibat serangan jantung ketika berada di rumah hantu itu.
Apabila mereka dibelenggu rasa panik, mereka menguburkan mayat tersebut di satu sudut sehingga rumah hantu itu menjadi tular dalam kalangan netizen dan benar-benar berhantu.
Aksi lucu empat sahabat ini menjadikan filem itu seronok ditonton. Dalam cuba mengawal rasa takut di pawagam, anda disajikan dengan babak lucu sehingga tak henti-henti ketawa meski bulu roma berdiri.
Kalau filem Barat penuh dengan aksi adiwira, filem Indonesia pula membuatkan ramai terpegun dengan siri aksi di platform Vidio seperti Pertaruhan The Series 3, yang berjaya menarik lebih 22 juta tontonan dalam tempoh kurang dua minggu.
Watak Elzan (lakonan Jefri Nichol) berusaha memulakan hidup yang tenang tetapi takdir mengembalikannya pada dunia kelam, di mana dia bekerja untuk bos besar sindiket jenayah, Tony (Ferry Salim).
Elzan kemudian dituduh membunuh bos itu sehingga menjadi buruan polis dan anggota sindiket lain.
Dia kemudian bersembunyi di desa terpencil bernama Cikawe yang menjadi pusat penghasilan barang tiruan.
Siri aksi ini berkesan di hati penonton, bukan sahaja kerana jalan ceritanya yang pantas dan padat dengan aksi tetapi dek persoalan kemiskinan penduduk bandar, penyelewengan wang dan penakatan anak-anak jalanan, sesuatu yang dekat di hati penonton Indonesia.
Dalam pada itu, filem ikonik lama turut memberi ruang bagi karyawan kreatif menghasilkan filem muzikal mahupun pementasan yang mampu memancing generasi anak muda atau Gen Z, diulit nostalgia kisah yang mungkin menjadi tontonan ibu bapa mereka dahulu.
Sebagai contoh, filem, Rangga & Cinta pada 2025, merupakan pembikinan semula filem 2002, Ada Apa Dengan Cinta?
Ia menyorot kisah Cinta (lakonan Leya Princy), mahasiswi terkenal di kampus yang jatuh hati pada jejaka misteri yang suka menyendiri, Rangga (El Putra Sarira).
Bezanya, filem terbaharu ini merupakan versi muzikal yang memikat hati dan sempat merantau ke beberapa pesta filem Eropah kerana daya tarikan budaya popnya.
Kemudian ada pula pementasan, Perahu Kertas, yang merupakan padanan daripada novel tulisan Dewi Lestari pada 2009.
Karya tentang pasang surut hubungan dua insan ini kemudian menjadi filem arahan Hanung Bramantyo pada 2012.
Apa yang menjadi tarikan anak muda Indonesia adalah perihal persahabatan, usaha mencari jati diri dan percintaan dua insan yang berbeza bak langit dengan bumi, disingkap dalam karya ini.
Malahan, wadah penstriman seperti Netflix kian condong menyajikan filem Indonesia bermutu termasuk yang berani mengetengahkan isu larangan secara terbuka.
Menurut Netflix, 30 peratus penonton Indonesia menyaksikan kandungan filem Indonesia di wadah penstriman ini, sama seperti peratusan bagi filem Korea.
Satu petanda baik bagi penerbit dan sutradara Indonesia adalah filem Indonesia kini kembali mendapat tempat di hati penonton muda di negara itu.
Apa kesan perkembangan ini kepada penggemar filem atau pengusaha filem di Singapura?
Sebagai penonton, kita juga lebih teruja ingin tahu apakah daya tarikan filem Indonesia era 2020-an.
Netflix menjadi tumpuan bagi mencari filem sebegini.
Pada masa sama, kehadiran filem yang tahu persoalan untuk dibentangkan adalah dorongan untuk karyawan filem atau drama Singapura untuk meneroka isi hati penonton atau isu yang dekat di hati warga Singapura.
Tak semestinya filem antarabangsa sahaja papar mutu dan jalan cerita bernas. Filem tempatan pun mampu memancing perhatian.
“
“Antara faktor yang menyebabkan anak muda lebih suka menonton filem Indonesia masa kini termasuk mutu kerja seni anak watan yang setara atau dianggap lebih baik daripada karya antarabangsa. Persoalan yang dibangkitkan dalam filem tempatan ini juga seiringan dengan kebudayaan Indonesia atau isu yang dihadapi generasi muda yang berdepan dengan cabaran dunia tidak menentu.”