Selepas seharian bekerja, saya kerap meluangkan masa menonton filem bersama keluarga sebagai cara merehatkan minda.

Kerap kali, genre yang menjadi pilihan merupakan filem komedi romantik yang mencuit hati.

Jalan ceritanya yang santai dan mudah difahami tidak akan membuat saya rasa ‘tertekan’ atau geram, berbanding naskhah saspens dan melodrama yang kadangkala bermain dengan perasaan penonton. 

Sebaliknya, filem komedi romantik seakan membawa penonton ke dunia fantasi yang indah dan sempurna, dengan watak utama dalam jalan cerita itu pasti bertemu dengan cinta sejati. 

Bagi saya, ia turut menyuntik semangat positif dan keceriaan kepada penonton lebih-lebih lagi bagi mereka yang ingin melarikan diri seketika daripada hiruk-pikuk kehidupan.

Namun, apabila ingin menonton filem dengan genre itu dalam bahasa Melayu, saya sering kembali kepada karya yang dihasilkan pada era 2000-an hingga awal 2010-an.

Tempoh tersebut melihat kebangkitan pelbagai filem komedi romantik yang meraih kejayaan meluas dan kekal ikonik hingga kini. 

Antaranya termasuk Laila Isabella (2003), Bintang Hati (2004), Kuliah Cinta (2004), Lady Boss (2005), Gol & Gincu (2005), Pisau Cukur (2009), Cun! (2011), Istanbul Aku Datang! (2012) dan Manisnya Cinta di Cappadocia (2014). 

Ia berbeza dengan keadaan hari ini di mana terdapat kekurangan filem komedi romantik yang dihasilkan. 

Genre tersebut seakan pupus dalam dunia perfileman Melayu, dengan kurang daripada lima filem dihasilkan sejak 2020. 

Syarikat penerbitan Melayu kini lebih cenderung menghasilkan karya berunsur aksi, saspens dan seram, yang dijangka dapat menarik penonton ke pawagam sehingga menghasilkan kutipan pecah panggung. 

Mungkin juga terdapat perubahan dalam cita rasa penonton yang tertarik dengan karya lebih menyegarkan sambil mengupas isu semasa yang menjadi tular. 

Bagi saya, para pengarah dan penerbit filem boleh memikirkan lebih daripada sekadar potensi sesebuah naskhah meraih kejayaan komersial segera, atau kedudukan pecah panggung di pawagam.  

Sejujurnya, filem komedi romantik yang diingati ramai dan masih ditonton berulang kali selalunya merupakan karya yang berjaya meninggalkan kesan buat jangka masa lama.  

Sebagai contoh, jika kita mengimbau kembali nostalgia filem hitam putih Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang tidak lapuk dek zaman, terdapat banyak karyanya yang tergolong dalam kategori komedi romantik. 

Misalnya, filem ikonik Bujang Lapok (1957), memaparkan kehidupan tiga lelaki bujang yang berkongsi satu bilik sewa dan masing-masing bertemu dengan cinta hati mereka.  

Tidak dapat dilupakan juga gelagat lucu watak Sha’ari Suleiman dan Norkiah Hanum dalam Masam Masam Manis (1965), yang merupakan jiran rumah sewa dan sering bertengkar sehingga akhirnya jatuh cinta. 

Berbeza pula keadaannya dalam dunia Hollywood. 

Karya komedi romantik masih dihasilkan hingga kini dengan ada yang diterbitkan khas buat wadah penstriman.

Namun, ramai netizen memberi pendapat ia tidak memberi kesan serupa, dengan karya dihasilkan pada lewat 1990-an dan awal 2000-an.

Dalam era itu, genre sebegitu berjaya mencipta satu fenomena seperti filem Notting Hill (1999) dengan hasil kutipan AS$363.8 juta ($470.4); siri popular, Bridget Jones’s Diary (2001) dengan AS$282 juta; dan My Big Fat Greek Wedding (2003) dengan AS$368.7 juta.

Ungkapan bahasa Inggeris ‘they don’t make them like they used to’, yang membawa maksud ‘mereka tidak menghasilkannya sebaik dahulu’ sering kali dikatakan oleh netizen.  

Di wadah media sosial seperti Threads dan TikTok, terdapat perbincangan meluas yang menyenaraikan pelbagai faktor filem dengan genre itu kini kurang menyerlah dan tidak dapat menawan hati penonton.   

Antara sebab yang disenaraikan termasuk bagaimana jalan ceritanya kurang berkait rapat dengan generasi kini, pemilihan dan keserasian pelakon, keseimbangan unsur jenaka dan cinta serta aksi pelakon yang kurang bersahaja. 

Bagi pelakon Amerika yang dikenali menerusi filem, How to Lose a Guy in 10 Days, Kate Hudson, beliau berpandangan penulisan skrip dan penceritaan yang baik merupakan kunci utama, yang boleh membuat sesebuah filem itu ditonton hingga kini oleh pelbagai lapisan masyarakat. 

Semasa muncul dalam rancangan bual bicara, The View, Hudson, yang juga antara pelakon yang mendapat gelaran ‘Ratu Komedi Romantik’ berkata, sukar mencari penulis yang berbakat seperti Nora Ephron, yang merupakan peneraju utama filem ikonik seperti, When Harry Met Sally… (1989); Sleepless in Seattle (1993); dan You’ve Got Mail (1998). 

Memasuki pertengahan 2026, kelihatan seperti ada harapan genre tersebut masih diteroka penggiat seni bagi kededua dunia perfileman Melayu dan Inggeris. 

Di Hollywood, terdapat filem The Drama (lakonan Zendaya dan Robert Pattinson), yang meraih kejayaan antarabangsa dengan hasil kutipan AS$132 juta. 

Manakala di Malaysia pula, netizen menyuarakan pendapat agar pawagam tempatan memanjangkan tayangan filem, Kata Hati (lakonan Nia Atasha dan Yusof Hashim), di semua cawangan seluruh Malaysia.

Ini disebabkan filem arahan Nadia Hamzah, yang mendapat maklum balas positif itu hanya ditayangkan di beberapa cawangan pawagam buat masa singkat. 

Bagi peminat setia genre tersebut, berita positif ini memberi seakan satu jaminan bahawa naskhah santai penenang jiwa itu masih ada tempatnya dalam kalangan penonton.

Tentunya, saya turut berharap lebih ramai penulis dan pengarah filem terbuka mencuba genre komedi romantik agar ia dapat mewarnai industri perfileman.

Bagi saya, para pengarah dan penerbit filem boleh memikirkan lebih daripada sekadar potensi sesebuah naskhah meraih kejayaan komersial segera, atau kedudukan pecah panggung di pawagam. Sejujurnya, filem komedi romantik yang diingati ramai dan masih ditonton berulang kali selalunya merupakan karya yang berjaya meninggalkan kesan buat jangka masa lama.  
Penulis.