SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Warga S’pura di UAE, Qatar kongsi detik cemas di tengah konflik

Warga S’pura di UAE, Qatar kongsi detik cemas di tengah konflik

Keadaan kini reda, lalui kehidupan seperti biasa namun tetap ambil langkah berjaga-jaga
Mar 29, 2026 | 5:30 AM

Warga S’pura di UAE, Qatar kongsi detik cemas di tengah konflik

Warga S’pura, UAE, Qatar, konflik, timur tengah
Sebuah projektil yang berjaya dipintas jatuh ke dalam laut berhampiran kepulauan Palm Jumeirah di Dubai pada 1 Mac. - Foto AFP

Rutin harian menuju ke pejabat bertukar menjadi pengalaman yang tidak boleh dilupakan buat seorang penduduk Singapura di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Encik Ahmad (bukan nama sebenar).

Dalam perjalanan ke tempat kerja, bunyi deruman seakan enjin motosikal ‘kapcai’ menarik perhatiannya.

Beliau menjangkakan motosikal itu berada di atas jalan raya, namun bunyi itu datang dari langit dan apabila beliau mendongak ke atas, Encik Ahmad dapat melihat dron melintas lalu.

Pengalaman itu ditambah pula dengan bunyi pemintas dron yang berlangsung hampir setiap hari.

Ini merupakan antara pengalaman mengerikan buat beberapa warga Singapura yang menetap di sana sejak konflik antara Israel/Amerika dengan Iran meledak pada akhir Februari.

Apabila dihubungi Berita Minggu (BM), Encik Ahmad, menambah:

“Jantung saya berdebar juga tetapi sejak itu, saya tidak nampak perkara sedemikian lagi.

“Selepas melalui beberapa minggu konflik di sini, kami sedang melalui kehidupan seperti biasa dan selamat, namun tetap ambil langkah berjaga-jaga.”

Salah seorang warga Singapura yang juga menginap di UAE, Cik Salena Abdul Ghani, berkongsi bahawa selain menerima mesej amaran daripada kerajaan UAE mengenai kemungkinan berlakunya serangan, beliau juga pernah melihat dron yang dipintas di langit ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pada waktu malam.

“Serangan biasanya berlaku selepas tengah malam, dan ketika itu, saya dapat melihat dari jauh bak percikan bebola api di langit selama 10 minit,” ujar suri rumah berusia 41 tahun itu.

Namun, beliau yakin keselamatan mereka masih lagi terjaga di sana.

“Alhamdulillah, kami semua masih dalam keadaan selamat, kerana serangan tersebut berjaya dipintas jauh dari kawasan penduduk dan di ruang udara laut.

“Walau demikian, kami perlu sentiasa berhati-hati, mematuhi arahan, dan peka terhadap bunyi amaran,” tambahnya.

Beliau berkongsi, pesanan amaran akan dihantar dari kerajaan UAE bagi mengarahkan penduduk kekal berada di dalam bangunan, manakala notifikasi susulan akan menyusul sebaik sahaja keadaan disahkan selamat.

Langkah berjaga-jaga turut diambil semasa solat sunat Aidilfitri apabila pihak berkuasa tidak membenarkan ia dilaksanakan di kawasan terbuka, sebaliknya mengehadkan jemaah di ruang tertutup di masjid sahaja, ujar Cik Salena.

Menurut kedua-dua individu itu, keadaan di UAE kini selamat dan rakyat Singapura di sana mengamalkan disiplin dalam menjaga keselamatan mereka.

Namun, cabaran utama buat masa ini adalah menghadapi cuaca buruk dan hujan lebat yang melanda negara itu.

UAE merupakan antara wilayah yang jarang menerima taburan hujan tinggi.

Maka, apabila ia berlaku, risiko banjir sering meningkat akibat kekangan sistem perparitan yang tidak direka untuk menampung jumlah air yang luar biasa.

Ini merupakan amaran kecemasan yang dihantar ke telefon bimbit di Dubai bagi memberi peringatan tentang potensi ancaman,
Ini merupakan amaran kecemasan yang dihantar ke telefon bimbit di Dubai bagi memberi peringatan tentang potensi ancaman, - Foto fail

Sementara itu, penduduk di Doha, Qatar pula berkongsi bahawa mereka sering mendengar bunyi letupan serta dron.

Pengalaman sedemikian cukup meninggalkan trauma yang mendalam buat penduduk di sana.

Pada hari-hari pertama serangan peluru berpandu antara Israel/Amerika dengan Iran berlaku, ketiga-tiga anak Cik Selena Alkaff diselubungi ketakutan, terutama anak sulungnya, 16 tahun, yang mempunyai autisme.

Menurut Cik Selena, anaknya itu takut jika serpihan peluru berpandu itu menimpa kediaman mereka sekeluarga di Doha.

Trauma itu benar-benar dirasai, sehingga mereka sekeluarga memilih untuk bersama di dalam satu bilik yang sama.

Bercakap kepada BM, Cik Selena berkata:

“Ketika itu sebagai ibu, saya rasa tidak tahu bagaimana ingin menenangkan anak sulung saya, kerana saya tidak pasti, adakah letupan itu hanya sekali atau akan berulang lagi.”

Meskipun Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Ras Laffan – hab tenaga utama dan loji eksport gas asli cecair terbesar di dunia – pada awal pagi 19 Mac, penduduk Qatar mula menikmati tempoh tenang, tanpa sebarang serangan susulan selepas itu sehingga 27 Mac.

Tempoh tenang itu bermula sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara berkenaan.

Hab utama industri tenaga Qatar, Ras Laffan, diserang pada 19 Mac.
Hab utama industri tenaga Qatar, Ras Laffan, diserang pada 19 Mac. - Foto AFP

Bagi suri rumah berusia 43 tahun itu, ia merupakan detik yang amat disyukuri selepas mengharungi fasa mencabar pada awal bulan tersebut.

Ketenangan itu sekaligus membawa sinar harapan kepada mereka di sana dalam musim perayaan ini.

Beliau berkata: “Sambutan Raya kali ini benar-benar luar biasa, sepatutnya suasana terasa sayu atau mungkin lebih kepada suram, namun sebaliknya ia penuh dengan harapan.”

Cik Selena menambah: “Tahun ini, kebanyakan daripada kami memilih untuk tidak pulang ke tanah air kerana bimbang suami mungkin kehilangan pekerjaan, atau tiket untuk kembali ke sini tidak ada, lapangan terbang boleh ditutup pada bila-bila masa atau penerbangan dibatalkan secara tiba-tiba.

“Jadi, kebanyakan ibu dan isteri di sini memutuskan untuk kekal bersama anak-anak dalam mengharungi tempoh yang sukar ini... Insya-Allah, segalanya akan baik-baik sahaja. Kami berpaut pada harapan yang besar,” kata beliau.

Malah, menurut Cik Selena, anak-anaknya bakal kembali ke sekolah pada 29 Mac selepas melalui persekolahan dari rumah.

Di samping itu, beliau memuji kecekapan serta kepantasan kerajaan Qatar dalam menjamin keselamatan dan kebajikan penduduk sepanjang tempoh krisis.

Ini termasuk penyaluran maklumat rasmi secara telus, pemantauan ketat terhadap bekalan makanan yang mencukupi di pasar raya, dan penganjuran sidang media berkala bagi mengelakkan sebarang panik dalam kalangan masyarakat.

Amaran kecemasan yang dihantar ke telefon bimbit di Doha bagi memberi peringatan ancaman sudah dapat diatasi dan penduduk boleh meneruskan aktiviti mereka.
Amaran kecemasan yang dihantar ke telefon bimbit di Doha bagi memberi peringatan ancaman sudah dapat diatasi dan penduduk boleh meneruskan aktiviti mereka. - Foto SELENA ALKAFF

Kumpulan Melayu Muslim Singapura (SMG) di Qatar dan Dubai juga berfungsi sebagai tonggak sokongan bagi masyarakat itu.

Wakil daripada Usrah SG @ Qatar, Cik Yusmawati Ahmat Yusop, 43 tahun, berkata mereka sentiasa bertanya khabar antara satu sama lain, dan setiap kali berlakunya letupan, mereka akan saling menghubungi.

Mereka juga mempunyai satu kumpulan WhatsApp untuk berkongsi maklumat terkini, dan turut melahirkan kesyukuran bahawa mereka kini dapat menikmati ketenangan selepas tempoh sukar.

“Saya akan bertanya khabar secara individu dan selalu ingatkan mereka, ‘kami hanya sejauh satu panggilan telefon sahaja.’

“Yang penting, mereka tahu untuk mendapatkan pertolongan,” katanya.

Selain itu, Presiden Kumpulan Melayu/Islam Singapura di UAE, Encik Zahari Ismail, 53 tahun, turut menambah bahawa mereka juga menggunakan wadah WhatsApp untuk berkongsi maklumat penting.

“Setiap maklumat daripada kedutaan atau Konsulat Jeneral akan kami sebarkan dengan pantas melalui wadah itu.

“Ini di samping maklumat mengenai syarikat penerbangan seperti jika Emirates membatalkan penerbangan, kami akan segera maklumkan kepada semua,” ujar beliau yang menambah terdapat satu kumpulan WhatsApp khas turut diadakan bagi menyelaraskan komunikasi dalam kalangan mereka yang tidak pulang ke Singapura.

Encik Zahari pulang ke tanah air seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri untuk menyambut raya di sini, menaiki penerbangan komersial.

Beliau turut mengorak langkah untuk tetap berhubung dengan mereka di sana seperti mengirim ucapan Selamat Hari Raya untuk pastikan mereka tetap selamat.

Sebelum ini, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata dalam satu kenyataan pada 7 Mac bahawa rakyat Singapura dinasihati agar menangguhkan semua perjalanan ke Timur Tengah.

Mereka yang sedang berada di Timur Tengah digalakkan untuk mendaftar secara elektronik dengan MFA di https://eregister.mfa.gov.sg/ supaya mereka boleh dihubungi jika diperlukan.

Sesuai dengan itu, beberapa pelajar Singapura yang menuntut di Jordan, antara kawasan yang turut terjejas dek konflik itu, dibawa pulang.

Pelajar yang menuntut di Universiti Jordan, Encik Solihin Zainal, 20 tahun, berkata peluang dapat menyambut raya di sini menggamit kenangan berjumpa sanak saudara dan menikmati juadah raya.

Berkongsi kepada BM, setakat ini, Persatuan Pelajar Singapura di Jordan (Siraj) merancang untuk menganjurkan bengkel dan program pembangunan buat pelajar agar dapat mengisi waktu mereka di sini.

Encik Solihin menambah, penggal persekolahan mereka akan berakhir pada Jun ini, namun setakat ini mereka masih lagi menunggu pengesahan bagi status pengajian mereka.

Meletakkan keyakinan yang tinggi, beliau berkata:

“Pelajar Singapura di Jordan menuntut di dua universiti utama, iaitu Universiti Yarmouk dan Universiti Jordan.

“Pihak Universiti Yarmouk telah pun membenarkan pembelajaran secara dalam talian, manakala bagi Universiti Jordan, kami masih menunggu jawapan daripada mereka.” – Laporan tambahan oleh SYED MUHAMMAD FIRDAUS

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg