SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Raya perantauan di Mesir peluang erat silaturahim, semai nilai syukur

Raya perantauan di Mesir peluang erat silaturahim, semai nilai syukur

Sambutan Lebaran serlah keindahan tradisi, nilai kebersamaan meski jauh dari keluarga
Mar 29, 2026 | 5:30 AM

Raya perantauan di Mesir peluang erat silaturahim, semai nilai syukur

nafiis osman, hari raya, mesir
Pelajar Sarjana Tahun 1 daripada Universiti Al-Azhar, Encik Muhammad Nafiis Osman (barisan hadapan, dua dari kiri), bersama pelajar Singapura di Mesir yang lain di rumah Pegawai Perhubungan Pelajar (SLO) Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 22 Mac. - Foto ihsan MUHAMMAD NAFIIS OSMAN

Ibn Rajab Al-Hanbali berkata: “Bukanlah dinamakan Hari Raya dengan baju Rayanya yang terkini, namun hakikat Hari Raya adalah bagi yang bertambah ketaatannya.”

Begitulah ulama mendidik kita tatkala menjelangnya awal Syawal dan setelah berlalunya sebulan Ramadan, bulan yang penuh limpahan rahmat.

Bulan itu mengajarkan kita takwa dan sifat insaniah perlu kita teruskan dalam ketaatan dan kelakuan baik, apatah lagi bersama keluarga, jiran dan kawan.

Sikap manusiawi dan tolak ansur antara satu sama lain perlu diterapkan sebagai sambungan dalam bulan-bulan yang datang selepas Ramadan.

Alhamdulillah, syukur buat tahun kelima berturut-turut saya beraya amat berjauhan dari kota Singapura, di tanah para nabi di Kahirah, Mesir. Inilah Raya saya, Raya perantauan.

Suasana yang mengajarkan erti kemanisan bersilaturahim, pentingnya talian kekeluargaan dan hakikat maaf zahir dan batin dalam ucapan Hari Raya kita iaitu untuk sentiasa mendoakan dan memaafkan antara satu sama lain.

Apabila berjauhan, barulah kita sedar dan menghargai Hari Raya Aidilfitri.

Keluarga yang saya beraya dengan adalah bersama kawan-kawan saya.

Saudara-mara yang saya ziarahi pula adalah guru–guru serta teman-teman yang menemani saya sepanjang perjalanan menuntut ilmu.

Penulis, Encik Muhammad Nafiis Osman (dua dari kanan), bersama teman-temannya selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Salih Al-Ja’fari, Darassah, Kahirah, pada 20 Mac.
Penulis, Encik Muhammad Nafiis Osman (dua dari kanan), bersama teman-temannya selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Salih Al-Ja’fari, Darassah, Kahirah, pada 20 Mac. - Foto ihsan MUHAMMAD NAFIIS OSMAN

Sebagai sambungan adat dan tradisi, kami berkumpul di Perhimpunan Kebajikan Mahasiswa Singapura di Mesir (Perkemas) pada malam Raya, 19 Mac, untuk berbuka puasa buat kali terakhir dan meneruskan dengan acara takbir Raya berjemaah.

Di sebalik lantunan takbir dan maksud daripada lafaz yang kami ucapkan, ia membuat saya terkenang dengan takbir Raya yang biasanya disambut dengan keluarga pada malam Raya.

Terkenang juga dengan arwah yayi dan nyai saya.

Pada keesokan harinya, sejurus selepas solat subuh, saya bergegas ke Masjid Al-Salih Al-Ja’fari yang terletak tidak jauh daripada tempat kediaman untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Kemudian diadakan majlis ‘Awwadh iaitu majlis perjumpaan hari Raya yang diisikan dengan adat ulama iaitu periwayatan Hadis Musalsal Bi Yawm al-’Eid atau hadis yang diriwayatkan secara bersambung dengan satu ciri khas – setiap guru menyampaikannya kepada murid pada hari raya seperti Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha.

Keistimewaannya bukan hanya pada teks hadis, tetapi pada cara dan waktu penyampaian yang diwarisi dari generasi ke generasi, sebagai tanda kesinambungan sanad dan tradisi ilmu dalam Islam.

Ia turut diiringi dengan dendangan qasidah dan nasihat daripada guru kami iaitu al-Habib Ahmad al-Maqdi dan al-Shaykh Abdul Karim Basharahil.

Beberapa pelajar Asean termasuk Singapura semasa di Majlis ‘Awwadh di Sahah Yamaniyah bersama al-Habib Ahmad Bin Abdurrahman al-Maqdi dan al-Shaykh Abdul Karim Basharahil pada 20 Mac.
Beberapa pelajar Asean termasuk Singapura semasa di Majlis ‘Awwadh di Sahah Yamaniyah bersama al-Habib Ahmad Bin Abdurrahman al-Maqdi dan al-Shaykh Abdul Karim Basharahil pada 20 Mac. - Foto MUHAMMAD NAFIIS OSMAN

Semangat Hari Raya diteruskan dengan persiapan bagi acara seterusnya iaitu perjumpaan Hari Raya bersama keluarga Singapura di Mesir.

Hanya pada perjumpaan Raya ini, kami dapat menikmati lauk-pauk Raya yang telah menjadi adat kami bergotong-royong.

Kuah lodeh, sambal goreng dan rendang disajikan serta disiapkan dengan penuh rasa rindu terhadap masakan air tangan keluarga kami.

Acara hari Raya diisi dengan sketsa oleh pelajar yang berjaya membawa senyuman serta pengajaran daripada lakonan mereka.

Pada 2026, erti keluarga dan tinggi nilainya ilmu diterapkan sepanjang jalan cerita yang dibawa.

Selain itu, permainan yang disediakan juga berjaya mengeratkan silaturahim, baik antara yang baru mahupun yang sudah lama di Mesir.

Majlis diakhiri dengan persembahan dikir barat yang dinanti-nantikan, di mana bait-bait liriknya berjaya menarik perhatian saya.

“Sekampung di perantauan

beraya tanpa keluarga

demi ilmu yang dikejar

‘tuk’ membimbing yang di sana

hari demi hari penat lelah

perjalanan tidak mudah

usah resah jangan bimbang

kita harungi bersama.”

Persembahan dikir barat oleh pelajar Singapura di Mesir.
Persembahan dikir barat oleh pelajar Singapura di Mesir. - Foto MUHAMMAD NAFIIS OSMAN

Benar, apabila berjauhan dengan keluarga, ada masa kita senang, ada masa kita susah, dan kita alaminya bersama.

Di sini, barulah kita belajar erti bermasyarakat dan pentingnya menghormati antara satu sama lain.

Beginilah saya menyambut Hari Raya.

Sungguh meriah dan istimewa kerana Raya tidak akan lengkap tanpa kehadiran teman-teman sekampung dari Singapura di Mesir.

Biarlah rasa rindu kepada keluarga di tanah air menjadi sumber kekuatan kami untuk terus menuntut ilmu.

Biarlah suasana beraya di perantauan menjadi saksi indahnya dan pentingnya erti belajar, bersatu dan berbakti.

Hari Raya bukan untuk kita mengejar duit Raya atau siapa yang paling menawan.

Hari Raya membawa maksud kesyukuran, semangat dalam ketaatan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.

Penulis ialah pelajar Sarjana Tahun 1 dari Singapura yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg