Topic followed successfully
Go to BHkuMeski masyarakat kecil, siswa S’pura di Jordan gotong-royong hidup suasana Lebaran
Meski masyarakat kecil, siswa S’pura di Jordan gotong-royong hidup suasana Lebaran
Meski masyarakat kecil, siswa S’pura di Jordan gotong-royong hidup suasana Lebaran
Kami terima hakikatnya – sepanjang empat tahun pengajian di Jordan – kami terpaksa menyambut Hari Raya di perantauan.
Perayaan di sini sangat berbeza berbanding tanah air tercinta di Singapura.
Kami beraya tanpa kehadiran ibu bapa atau sanak saudara di sisi, hanya kawan-kawan yang berada bersama meraikan hari kemenangan pada Syawal yang berbahagia.
Rasa pilu pada pagi Raya tidak akan pudar walaupun sudah bertahun bergelar anak perantauan.
Cara mengubati rindu adalah dengan menghubungi keluarga melalui panggilan video dan memohon maaf menerusi layar komputer riba atau iPad.
Kebiasaannya, siswa di Jordan akan bergotong-royong pada malam Raya untuk memasak, mengemas dan menyiapkan rumah untuk keesokan hari.
Pelajar di sini akan memasak lauk-pauk Raya seperti rendang, ayam masak merah dan lain-lain untuk menangkap feel Raya di tanah air sendiri.
Selepas bertakbir dan solat Raya, kami akan bertukar baju dan mula menziarahi rumah kawan-kawan kami.
Walaupun berada ribuan kilometer dari Singapura, rancangan Sinar Lebaran akan tetap kami tonton sambil meluangkan masa bersama.
Pelajar lelaki akan berkunjung ke rumah rakan lelaki, manakala pelajar wanita akan berkunjung ke rumah rakan wanita.
Badan pelajar Singapura di Jordan (Siraj) juga akan menjemput semua pelajar di kota Irbid mahupun di Amman ke acara ‘Perjumpaan Hari Raya’ atau PHR, yang diadakan setiap tahun.
Segala hiasan, makanan dan persembahan adalah daripada titik peluh pelajar sendiri yang disiapkan beberapa minggu sebelum perayaan tersebut.
Satu perkara istimewa di Jordan ialah kemeriahan suasana Raya.
Lampu ‘lap-lip’ menghiasi jalan raya, kedai, rumah dan lantunan takbir Raya berkumandang sepanjang malam.
Warga Jordan juga sering beramah mesra dengan kami dan menjemput kami ke rumah mereka walaupun baru berkenalan.
Namun, keadaan di Jordan pada 2026 lain daripada lain.
Sesetengah pelajar di sini telah memilih untuk pulang ke pangkuan keluarga, manakala yang lain meneruskan pelajaran seperti biasa.
Perkara sedemikian berlaku kerana pemerintah Singapura telah menggalakkan pelajar yang berada di Timur Tengah untuk pulang disebabkan ketegangan di daerah ini.
Memandangkan jumlah kami di Jordan sekarang ini tidak ramai, kami tidak membuat rumah terbuka khusus tetapi memilih untuk berkumpul di salah sebuah rumah pelajar untuk bergotong-royong memasak lauk Raya bersama.
Bagi acara PHR pula, siswa di Irbid dan Amman mengusahakan acara mereka di kota masing-masing untuk menjaga keselamatan.
Beraya sebagai anak perantauan ialah satu perjuangan dan pengorbanan demi agama, ilmu dan ibu bapa tercinta.
Walaupun kami memilih untuk tidak pulang dengan kawan-kawan yang lain, kami sentiasa berdoa dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat dan sejahtera.
Kami yang sedang berada di Jordan ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin kepada semua!
Penulis ialah pelajar Tahun 4 dari Singapura yang menuntut di Universiti Yarmouk, Jordan, dalam jurusan Fiqah.

