Topic followed successfully
Go to BHkuJaringan Melayu/Islam di Qatar, UAE tonggak kekuatan dalam masa sukar
Jaringan Melayu/Islam di Qatar, UAE tonggak kekuatan dalam masa sukar
Jaringan Melayu/Islam di Qatar, UAE tonggak kekuatan dalam masa sukar
Di kala masa sukar ketika konflik antara Israel/Amerika dengan Iran tercetus pada akhir Februari, sokongan daripada masyarakat Singapura yang terus memperkukuhkan masyarakat Melayu/Islam di Timur Tengah.
Mereka akan sentiasa berhubung antara satu sama lain, menghantar mesej terkini daripada pemerintah dan Kementerian Ehwal Luar (MFA), serta memberi perkembangan mengenai situasi semasa.
Tambahan itu, sokongan daripada kerajaan Qatar seperti sering memberi perkembangan terkini – mengenai serangan – kepada penduduknya melalui mesej amaran, pasar raya beroperasi 24 jam dan jaminan bahawa bekalan makanan sentiasa mencukupi turut membantu.
Ini antara pengalaman yang dilalui warga Singapura yang menginap di Doha, Qatar, Cik Yusmawati Ahmat Yusop, yang secara tidak langsung memberi ketenangan buatnya di sana.
Bercakap kepada Berita Minggu (BM), Cik Yusmawati, berkata:
“Sokongan yang diterima dalam kalangan ekspatriat sewaktu tempoh sukar ini amat bermakna, di mana masing-masing sedia hulurkan bantuan.
“Ketika kami berada di luar negara, kawan-kawan seangkatan sebeginilah menjadi golongan paling penting.”
Kini, penduduk di Doha sedang menikmati tempoh tenang, tanpa sebarang serangan susulan selepas peluru berpandu Iran menyerang hab utama industri tenaga Qatar yang juga menempatkan loji eksport gas asli cecair terbesar di dunia, Ras Laffan, pada 19 Mac.
Walaupun demikian, penduduk di sana tetap menerapkan langkah berjaga-jaga terutama sekali ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Cik Yusmawati, 43 tahun, berkata berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya di mana sambutan hari raya lebih meriah, kini, masyarakat di sana mengadakan rumah terbuka secara kecil-kecilan sebagai langkah berjaga-jaga.
Ia diadakan dalam kalangan teman-teman mereka sahaja, dan bukan di bawah Kumpulan Melayu-Islam Singapura Qatar, Usrah SG @ Qatar, tambahnya yang sudah menginap di sana sejak 2014.
Namun, mereka telah mencapai persefahaman bersama agar tiada pihak yang berkecil hati sekiranya tidak dijemput, memandangkan keadaan semasa yang memerlukan mereka lebih berwaspada.
“Kami ingin ambil langkah berjaga-jaga, dan jika pemindahan keluar perlu dilakukan secara tiba-tiba, pergerakannya akan sukar jika ramai orang berada di satu tempat.
“Memandangkan keadaan yang berlarutan, keutamaan kami adalah untuk memastikan keselamatan setiap individu terjaga dan bertindak secara bertanggungjawab,” tambahnya yang merupakan antara sekitar 200 Melayu/Islam Singapura di sana.
Beliau, yang juga wakil daripada Usrah SG @ Qatar, menambah bahawa apabila letupan kedengaran di negara itu, mereka akan segera memantau keadaan satu sama lain dan memberitahu di mana mereka mendengarnya.
Ini supaya mereka dapat menjadi sistem sokongan pada waktu sukar.
Di tengah-tengah konflik itu, suaminya, Encik Roswadi Kamis, 48 tahun, juga mengingatkan anggota kumpulan WhatsApp masyarakat Melayu/Islam Singapura di sana agar tidak berkongsi maklumat atau foto sensitif di media sosial bagi mengelakkan panik.
Ini selaras dengan arahan kerajaan tempatan untuk mengekalkan suasana tenang memandangkan rutin harian mereka masih berjalan seperti biasa tanpa sebarang huru-hara.
Kerajaan memandang serius dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang berkongsi maklumat tidak tepat mengenai konflik itu.
Ini jelas dapat dilihat dengan kerajaan di sana bertindak pantas dan teratur dalam menyalurkan panduan keselamatan atau mesej amaran harian melalui media sosial dan SMS.
Ini termasuk peringatan supaya sentiasa peka dengan pintu keluar kecemasan serta segera menuju ke lokasi selamat bagi mengelakkan risiko serpihan bangunan yang jatuh.
Berkongsi lanjut, Cik Yusmawati memberitahu bahawa pada 4 Mac, ketika konflik sedang memuncak, beliau sekeluarga dibantu untuk dipindahkan dari rumah mereka ke satu kediaman khas kerana ketika itu, mereka menginap hanya satu kilometer dari Kedutaan Amerika Syarikat.
“Segalanya sangat teratur, pihak kerajaan telah menjalankan tugas dengan amat baik dalam memastikan keselamatan para penduduk,” ujar beliau.
Bagi seorang lagi warga Singapura di sana, Cik Azlinda Mohamed Alias, 47 tahun, beliau amat bersyukur dengan sokongan kuat kumpulan Singapura di sana.
Beliau sekeluarga baru sahaja tiba di Doha pada Oktober lepas dan setakat ini, amat menghargai bantuan yang dihulurkan.
Terutama sekali apabila mereka melalui beberapa tempoh mencemaskan pada hari-hari pertama konflik.
Bunyi letupan yang kuat dapat didengar dan tingkap rumah turut bergegar, membuatkan kedua-dua anaknya yang berusia 12 dan 15 tahun ketakutan, katanya.
“Tonggak sokongan kami di sini ialah kekuatan masyarakat Singapura.
“Kami semua berada dalam satu kumpulan WhatsApp; jadi jika ada sebarang maklumat terkini atau amaran, pasti akan ada yang menghantar pesanan... mereka semua sangat proaktif,” katanya yang bertugas sebagai Pengurus Eksekutif bagi Pelaburan di sebuah syarikat di sana.
Hal yang sama turut disaksikan masyarakat Melayu/Islam di Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Cik Salena Abdul Ghani, berkata sebahagian besar masyarakat Melayu di sana sudah pulang ke tanah air untuk menyambut raya dan cuti sekolah.
Lantas, beliau dan suaminya, Encik Muhammed Ridzuan Zainal Abidin, 44 tahun, yang telah menginap di sana sejak 2014, mengorak langkah untuk memantau keadaan mereka yang tidak pulang.
Antaranya, mereka yang belum berkahwin, warga emas, dan ibu bapa tunggal yang mempunyai anak-anak.
Setakat ini apa yang beliau ketahui, terdapat sekitar 10 keluarga Melayu/Islam Singapura yang sedang berada di sana.
Manakala mereka yang pulang ke tanah air untuk sambutan raya akan kembali ke UAE tidak lama lagi.
Memandangkan kami berada di sini, kami akan membantu menyebarkan maklumat serta menyatukan masyarakat Singapura di UAE, khususnya mereka yang baru tiba, supaya mereka segera disalurkan ke dalam rangkaian komunikasi dan tidak terasing daripada perkembangan semasa,” ujar suri rumah berusia 41 tahun itu.
Menurut Cik Salena, semangat kekeluargaan itu terus diperkukuh pada hari raya pertama dengan tradisi menziarahi diadakan serta membuka pintu rumahnya pada malam raya untuk majlis takbir bagi mengubati kerinduan terhadap suasana di Singapura.
Menurutnya, dengan melakukan demikian dan sering menanyakan perkembangan, mereka dapat berhubung dengan mereka yang baru tiba di UAE buat kali pertama.
“Usaha berterusan ini dilakukan demi memastikan setiap rakyat Singapura tetap merasa sebahagian daripada masyarakat yang erat walau berada jauh di perantauan,” kongsi beliau.

