Topic followed successfully
Go to BHkuWarga S’pura di Kuwait kekal tradisi Aidilfitri di tengah konflik
Warga S’pura di Kuwait kekal tradisi Aidilfitri di tengah konflik
Warga S’pura di Kuwait kekal tradisi Aidilfitri di tengah konflik
Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kuwait pada 2026 terasa sangat berbeza.
Selalunya, kami dapat berhimpun di Kedutaan Malaysia atau berkumpul di satu masjid Indonesia selepas solat.
Namun, disebabkan konflik yang semakin tegang, perhimpunan awam dihadkan, maka suasana terasa jauh lebih sunyi.
Malah, ketika kami sedang menunaikan solat pun, bunyi siren kedengaran di latar.
Ia menjadi peringatan penting tentang kedudukan kami, tetapi pada masa yang sama, ia membangkitkan kembali ‘semangat kampung’ dalam diri kami.
Walaupun berwaspada, kami tetap berusaha memeriahkan suasana perayaan.
Kami membuat kuih-muih, kunjung-mengunjung dan menghidupkan semangat Hari Raya dengan cara yang tersendiri.
Apa yang istimewa di sini ialah kejayaan kami mempertahankan tradisi Singapura, seolah-olah kami berada di tanah air sendiri.
Oleh kerana masyarakat kami di Kuwait amat kecil, kami menjadi sangat akrab – lebih dari sekadar kenalan, kami sudah seperti keluarga.
Pada petang Raya, kami akan berkumpul untuk beramah mesra dan mendengar kisah-kisah dari tanah air, disampaikan oleh warga Singapura yang menetap di sini.
Mereka terdiri daripada tukang masak, pengurus syarikat penerbangan dan kakitangan bank.
Ada juga di antara kami yang sudah lama menetap di sini, sehinggakan kami menganggap mereka sebagai ibu bapa kedua.
Ikatan kekeluargaan ini memang tiada bandingannya.
Apakah erti Hari Raya tanpa hidangan istimewa?
Walaupun jauh di Timur Tengah, kami masih beruntung dapat menikmati juadah lengkap seperti lontong, rendang, dan sambal goreng pengantin.
Kuih tart nanas dan honey cornflakes yang terhidang di meja benar-benar membangkitkan nostalgia Singapura.
Semua ini disediakan oleh keluarga Singapura yang turut berada di sini.
Kami sentiasa terhutang budi kepada keluarga tuan rumah yang saban tahun bertungkus-lumus menyediakannya.
Raya kali ini mengajar kami bahawa tidak kira betapa jauhnya kita dari tanah air atau apa pun situasi di luar sana, budaya kita kekal mengalir dalam diri.
Selagi kita mempunyai satu sama lain dan dapat menikmati hidangan harian bersama, kita akan sentiasa baik-baik saja.
Penulis ialah pelajar Tahun 4 dari Singapura yang sedang menuntut di Universiti Kuwait dalam jurusan Shariah.

