SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pemimpin Melayu/Islam sambut baik usaha sokong masyarakat hadapi dunia tidak menentu

Pemimpin Melayu/Islam sambut baik usaha sokong masyarakat hadapi dunia tidak menentu

Skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi, Jawatankuasa Daya Ekonomi dan program kepimpinan asatizah antara langkah jaminan pastikan tiada golongan tercicir
Apr 11, 2026 | 3:04 PM

Pemimpin Melayu/Islam sambut baik usaha sokong masyarakat hadapi dunia tidak menentu

Pemimpin Melayu/Islam setempat menegaskan bahawa masyarakat yang bersatu akan memberikan impak yang jauh lebih besar.

Dengan adanya bantuan diperkasa seperti peningkatan pada skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS), Jawatankuasa Daya Ekonomi baru yang dibentuk untuk membantu perniagaan dan pekerja Melayu/Islam merebut peluang ekonomi lebih baik, serta program kepimpinan bagi asatizah, ia sekali gus memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.

Pendekatan itu dilihat sebagai satu langkah jaminan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi dunia, menurut beberapa pemimpin masyarakat yang ditemui Berita Harian (BH) selepas majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay pada 10 April.

Ini antara lain pengumuman yang dibentangkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam ucapannya di acara tersebut.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kiri, belakang) bersama tetamu di Perjumpaan Hari Raya Menteri di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay pada 10 April.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kiri, belakang) bersama tetamu di Perjumpaan Hari Raya Menteri di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay pada 10 April. - Foto BH oleh KHALID BABA

Memberi pandangannya, Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, menyambut baik pengumuman Dr Faishal, terutamanya kenaikan had pendapatan per kapita (PCI) bagi TTFS.

Menegaskan bahawa pendidikan ialah asas bagi setiap perkara, Cik Mariam berkata:

“Perkara yang paling menggembirakan saya adalah penambahbaikan kepada TTFS kerana ia akan memberi manfaat kepada lebih ramai individu.

“Saya sentiasa percaya kita perlu melabur dalam masyarakat, terutamanya bagi golongan belia, kerana mereka adalah penentu masa depan kita,” katanya.

Had PCI akan dinaikkan kepada $1,700 berbanding $1,400 bagi tahap subsidi 100 peratus.

Had PCI bagi subsidi sebanyak 75 peratus pula dinaikkan kepada $2,000 berbanding $1,700 dan bagi tahap subsidi 50 peratus pula, had PCI dinaikkan kepada $2,200 berbanding $2,000.

Bagi menyokong keluarga berpendapatan pertengahan dengan PCI $2,001 hingga $2,400, tahap subsidi baru sebanyak 25 peratus akan diperkenal.

Cik Mariam menambah, dengan peningkatan itu, lebih ramai pelajar, termasuk daripada keluarga berpendapatan pertengahan juga akan dapat meraih manfaat daripadanya.

Dalam pada itu, AP GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha, pula berkata, dalam keadaan dunia dan ekonomi yang tidak menentu sekarang, mesej yang disampaikan Dr Faishal dilihat sebagai satu bentuk jaminan yang sangat penting bagi masyarakat.

“Beliau menekankan bahawa walaupun situasi dunia tidak menentu, sekiranya kita bekerjasama sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu, kita mampu mengatasi apa jua cabaran yang mendatang,” katanya.

Lantaran itu, beliau percaya bahawa Jawatankuasa Daya Ekonomi baru yang akan dibentuk adalah sangat penting untuk memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemahiran masyarakat untuk kekal relevan dalam ekonomi baru pada masa akan datang.

Jawatankuasa itu akan diterajui Dr Wan Rizal Wan Zakariah, Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC); bersama Encik Saktiandi Supaat, yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kewangan dan Perdagangan dan Perusahaan, yang juga Ketua Pakar Strategi Forex dan Ketua Penyelidikan Forex Pasaran Global Maybank.

Dr Faishal turut berkongsi beberapa perkembangan mengenai kerja naik taraf dan pembinaan masjid dalam ucapannya di majlis itu.

Antaranya, satu ruang solat sementara yang mampu menampung 500 anggota jemaah akan dibina bertentangan Masjid Al-Istighfar bagi menampung jumlah jemaah yang besar ketika solat Jumaat.

Encik Sharael mengalu-alukan perkembangan tersebut dengan menyatakan bahawa inisiatif seperti menambah ruang masjid, penubuhan kariah ketiga di Blok 555 Pasir Ris semasa Ramadan, serta penganjuran solat Hari Raya di Dewan Sukan Pasir Ris membuktikan kekuatan perpaduan masyarakat.

Ini di samping pelaksanaan ibadah korban secara langsung di Masjid Al-Istighfar dan menyalurkan bantuan kepada keluarga yang memerlukan sebagai bukti jelas bahawa impak yang lebih besar dapat dicapai apabila masyarakat bersatu padu, kata beliau.

Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha (kanan) mengambil gambar swafoto bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim di Perjumpaan Hari Raya Menteri di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay pada 10 April.
Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha (kanan) mengambil gambar swafoto bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim di Perjumpaan Hari Raya Menteri di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay pada 10 April. - Foto BH oleh KHALID BABA

Di samping mempertingkat ruang ibadah, Dr Faishal juga menekankan pentingnya melabur dalam kemahiran asatizah sebagai langkah memperkukuh kehidupan beragama di sini.

Antaranya adalah menerusi program kepimpinan baharu Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk memperkasa keupayaan kerjaya asatizah secara berterusan serta membimbing sektor agama Singapura dalam menelusuri cabaran serta peluang masa hadapan.

Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, berkongsi bahawa setakat ini, asatizah mempunyai kebolehan untuk memimpin.

Namun, terdapat segelintir daripada mereka yang masih mempunyai ruang untuk diperbaiki, terutamanya dalam aspek kemahiran tertentu yang mungkin belum pernah diperoleh melalui latihan secara berstruktur.

“Saya rasa ini adalah satu peluang yang sangat baik agar mereka dapat memberikan kesan yang baik bukan sahaja kepada masyarakat Islam, tetapi untuk masyarakat Singapura secara umumnya, itulah harapan saya,” ujarnya.

Bersependapat, Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, yang juga merupakan Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis, berkata bahawa selain daripada memiliki ilmu agama, asatizah juga perlu dilengkapi dengan ilmu-ilmu seperti ekonomi dan sosial.

“Program kepimpinan itu sangat relevan memandangkan asatizah kini tidak boleh lagi bergerak secara sendirian atau melihat isu keagamaan secara terasing daripada isu kemasyarakatan.

“Ini kerana asatizah perlu turun padang untuk membimbing masyarakat, bukan sahaja dalam aspek keagamaan dan keimanan, malah dalam menangani pelbagai hal ehwal sosial yang lain,” katanya.

Antara pengumuman Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah), di Perjumpaan Hari Raya Menteri di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay pada 10 April ialah program kepimpinan baru bagi asatizah. Beliau dilihat bersama Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir (kanan).
Antara pengumuman Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah), di Perjumpaan Hari Raya Menteri di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay pada 10 April ialah program kepimpinan baru bagi asatizah. Beliau dilihat bersama Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir (kanan). - Foto BH oleh KHALID BABA

Bagi Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim, pula, dengan adanya jaminan dan pertolongan yang disediakan bagi masyarakat, ia bukan sahaja akan membantu pada waktu yang mencabar, malah bagi jangka masa panjang.

Turut berkongsi sentimen yang sama ialah Presiden Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, yang berkata:

“Dengan adanya jaminan itu, tentu kita rasa lebih selamat dan kita akan bekerjasama untuk memastikan bahawa masa hadapan kita semua sebagai warga negara Singapura ini menjadi selamat.”

“Beliau (Dr Faishal) menekankan bahawa walaupun situasi dunia tidak menentu, sekiranya kita bekerjasama sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu, kita mampu mengatasi apa jua cabaran yang mendatang.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha.

“Perkara yang paling menggembirakan saya adalah penambahbaikan kepada TTFS kerana ia akan memberi manfaat kepada lebih ramai individu. Saya sentiasa percaya kita perlu melabur dalam masyarakat, terutamanya bagi golongan belia, kerana mereka adalah penentu masa depan kita.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.

“Program kepimpinan itu sangat relevan memandangkan asatizah kini tidak boleh lagi bergerak secara sendirian atau melihat isu keagamaan secara terasing daripada isu kemasyarakatan. Ini kerana asatizah perlu turun padang untuk membimbing masyarakat, bukan sahaja dalam aspek keagamaan dan keimanan, malah dalam menangani pelbagai hal ehwal sosial yang lain.”
Ustaz Fathurrahman Dawoed, Pengerusi AMP Singapura.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg