Topic followed successfully
Go to BHkuJawatankuasa ditubuh bantu Melayu/Islam rebut peluang ekon baru
Jawatankuasa ditubuh bantu Melayu/Islam rebut peluang ekon baru
Bakal kaji saranan strategi nasional, perkasa syarikat serta pekerja raih pendapatan lebih baik
Jawatankuasa ditubuh bantu Melayu/Islam rebut peluang ekon baru
Sebuah Jawatankuasa Daya Ekonomi baru akan dibentuk untuk mengkaji saranan semakan strategi ekonomi nasional, dan membantu perniagaan dan pekerja Melayu/Islam merebut pekerjaan lebih baik, peluang lebih luas dan pendapatan lebih tinggi.
Jawatankuasa itu akan diterajui Dr Wan Rizal Wan Zakariah, Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC); bersama Encik Saktiandi Supaat, yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kewangan dan Perdagangan dan Perusahaan, yang juga Ketua Pakar Strategi Forex dan Ketua Penyelidikan Forex Pasaran Global Maybank.
Jawatankuasa itu akan merangkumi pemimpin korporat dan pakar industri merentas pelbagai segmen masyarakat.
Mengumumkannya semasa majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri pada 10 April, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata masyarakat Melayu/Islam berkongsi keprihatinan dan aspirasi yang sama seperti masyarakat lebih luas Singapura.
Ramai yang bimbang tentang bagaimana mereka boleh memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan cara mengharungi landskap kerja yang lebih berdaya saing.
Pada masa yang sama, syarikat Melayu/Islam juga berminat untuk meneroka peluang antarabangsa, termasuk di rantau ini dan Timur Tengah.
Terdapat juga ramai usahawan yang dinamik dan inovatif, serta pekerja yang bersemangat untuk mempertingkatkan diri bagi meningkatkan produktiviti mereka, membangunkan keupayaan baru, dan melakukan pekerjaan dengan nilai lebih tinggi.
Justeru, jawatankuasa baru itu akan dibentuk bagi membantu perniagaan, pekerja, karyawan, usahawan dan golongan muda merebut peluang baru dan lebih luas.
“Saya gembira masyarakat kita telah mengambil bahagian dalam perbincangan nasional mengenai masa depan ekonomi Singapura.
“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk memperkukuh pautan dengan saranan Semakan Strategi Ekonomi (ESR), mencari cara ketara untuk menjamin pekerjaan dan prospek pertumbuhan yang baik bagi masyarakat kita, serta menyampaikannya melalui rangkaian M Kuasa Tiga+ (M³+).
“Ini termasuk membantu pekerja memperoleh kemahiran baru untuk bertindak dan menyesuaikan diri dengan perubahan sepanjang kerjaya mereka, menyokong perniagaan Melayu/Islam untuk memanfaatkan kuasa transformatif AI, dan membawa syarikat kecil dan sederhana (SME) ke luar negara untuk berhubung dengan rakan kongsi yang berpotensi,” kata beliau.
M³+ merujuk kepada kerjasama antara Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra), serta rangkaian lebih luas badan-badan Melayu/Islam (MMO) dan India/Islam (IMO).
“Ini penting kerana kita mahu masyarakat kita memanfaatkan ilmu, membangunkan keupayaan, merebut peluang, dan menyumbang secara bermakna untuk berjaya dalam ekonomi yang berubah-ubah.
“Dengan cara ini, masyarakat kita juga dapat menyumbang kepada daya tahan keseluruhan ekonomi kita di tengah-tengah ketidaktentuan global,” tambah beliau.
Pada Ogos 2025, pemerintah melancarkan semakan strategi ekonomi, dengan usaha itu diterajui lima jawatankuasa yang bertujuan menetapkan strategi bagi hala tuju jangka panjang ekonomi negara dan mewujudkan peluang pekerjaan yang baik untuk rakyat.
Jawatankuasa tersebut melaporkan diri pada Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), yang diterajui Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Jawatankuasa ESR itu telah memberikan kemas kini pertengahan penggal pada Januari 2026 dan laporan penuh akan diterbitkan pada pertengahan tahun ini untuk menetapkan semula, memikirkan semula, dan menyegarkan cabaran ekonomi Singapura.
“Saya berterima kasih kerana Dr Wan Rizal dan Encik Saktiandi Supaat akan membantu menerajui jawatankuasa ini, dan saya menantikan pandangan berharga yang akan dibawakan oleh wakil masyarakat kita,” kata Dr Faishal.
Ditemui Berita Harian (BH), Encik Saktiandi yang juga Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh berkata jawatankuasa baru itu akan memberikan tumpuan kepada tiga bidang utama.
Ini termasuk mengenal pasti sektor-sektor utama dan bidang pertumbuhan baru; dan memberikan sokongan kepada segmen masyarakat termasuk golongan belia dan lulusan baru, pekerja pertengahan kerjaya dan para usahawan.
Selain itu, jawatankuasa itu akan membangunkan haluan yang boleh dilaksanakan, terutamanya dalam bidang seperti kemahiran, pekerjaan dan pembangunan perusahaan selaras dengan keutamaan ESR.
“Ini amat penting sekali.
“Kami mahu usaha ini membuahkan manfaat yang nyata buat masyarakat supaya masyarakat Melayu/Islam dapat terus maju dengan penuh keyakinan dan menyumbang secara bermakna kepada ekonomi Singapura,” kata beliau.
Menjawab pertanyaan BH, Dr Wan Rizal, yang tidak dapat hadir dalam majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri berkata jawatankuasa itu memberi peluang untuk mendekati pekerja dan memahami keprihatinan serta aspirasi mereka, dan selanjutnya membantu mereka merebut peluang baru.
“Titik permulaan saya amat praktikal: Di manakah peluang masa depan, apakah sokongan yang diperlukan kumpulan berbeza, dan bagaimana kami membantu menterjemahkan strategi ekonomi menjadi hasil nyata bagi rakyat.
“Ini termasuk laluan lebih baik dalam kemahiran, pekerjaan dan pembangunan perusahaan, terutamanya untuk belia, lulusan baru, pekerja pertengahan kerjaya dan usahawan,” kata beliau, yang juga AP GRC Jalan Besar.

