SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Skim TTFS dipertingkat, bantu lebih ramai pelajar Melayu lanjutkan pengajian tinggi

Skim TTFS dipertingkat, bantu lebih ramai pelajar Melayu lanjutkan pengajian tinggi

Faishal turut umum: Pembentukan Jawatankuasa Daya Ekonomi baru perkukuh daya tahan ekonomi masyarakat; Program kepimpinan baru bagi asatizah peringkat 1 ARS; Ruang solat sementara dekat Masjid Al-Istighfar
Apr 10, 2026 | 8:30 PM

Skim TTFS dipertingkat, bantu lebih ramai pelajar Melayu lanjutkan pengajian tinggi

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (lima dari kanan), bersama para Anggota Parlimen Melayu/Islam yang hadir di majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri pada 10 April. Bersama beliau ialah (dari kiri) Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Changi); Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast); Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh); Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang); Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; Cik Nadia Samdin (GRC Ang Mo Kio) dan Dr Hamid Razak (GRC West Coast-Jurong West).
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (lima dari kanan), bersama para Anggota Parlimen Melayu/Islam yang hadir di majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri pada 10 April. Bersama beliau ialah (dari kiri) Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Changi); Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast); Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh); Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang); Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; Cik Nadia Samdin (GRC Ang Mo Kio) dan Dr Hamid Razak (GRC West Coast-Jurong West). - Foto BH oleh KHALID BABA

Kriteria kelayakan pendapatan bagi skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) akan dinaikkan dan tahap subsidi baru akan diperkenalkan bagi menyokong lebih ramai pelajar Melayu daripada isi rumah berpendapatan rendah hingga pertengahan melanjutkan pengajian di politeknik dan universiti tempatan.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata had pendapatan per kapita (PCI) akan dinaikkan kepada $1,700 berbanding $1,400 bagi tahap subsidi 100 peratus.

Kriteria pendapatan bagi subsidi kewangan sebanyak 75 peratus pula, dinaikkan kepada $2,000 berbanding $1,700 dan $2,200 berbanding $2,000 bagi tahap subsidi 50 peratus.

Bagi menyokong keluarga berpendapatan pertengahan dengan PCI $2,001 hingga $2,400, tahap subsidi baru sebanyak 25 peratus akan diperkenalkan.

Skim yang disemak semula ini akan berkuat kuasa mulai Tahun Akademik 2026/2027, kata Dr Faishal semasa menyampaikan ucapannya di majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay pada 10 April.

Ini adalah majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri yang pertama buat beliau sejak memegang jawatan itu.

Dr Faishal menjelaskan, peningkatan skim itu bertujuan memberi sokongan lebih baik kepada pelajar Melayu yang melanjutkan pengajian di politeknik dan universiti tempatan selain membantu keluarga mereka menanggung yuran pengajian.

Beliau menyifatkan pendidikan di institusi pengajian tinggi sebagai pendorong kemajuan paling kukuh dalam jangka masa panjang bagi memacu masyarakat Melayu/Islam.

“Persediaan untuk ekonomi masa hadapan bermula dengan proses melabur dalam golongan muda kita. Dalam hal ini, pendidikan tinggi merupakan salah satu pendorong kemajuan paling kukuh dalam jangka masa panjang.

“Ia membuka laluan kerjaya baru dan meningkatkan prospek pekerjaan. Kami ingin menggalakkan seramai mungkin pelajar kita untuk melanjutkan pelajaran (di peringkat tinggi),” ujar Dr Faishal.

Menurut perangkaan Yayasan Mendaki, skim TTFS telah menyokong secara purata sekitar 10,000 pelajar setiap tahun sejak lima tahun lalu.

“Peningkatan skim TTFS hanyalah permulaan. Matlamat yang lebih luas adalah untuk membantu lebih ramai pelajar Melayu mencapai kelayakan pengajian tinggi di Singapura, terutamanya melayakkan diri ke universiti.

“Pada tahun-tahun akan datang, tumpuan kami adalah untuk membantu pelajar Melayu, terutamanya mereka dari keluarga berpendapatan rendah, membuat persediaan dan meletakkan diri mereka di kedudukan yang lebih baik untuk memasuki pengajian tinggi,” kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).

Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan) yang juga pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, berkata peningkatan kriteria kelayakan pendapatan bakal memanfaatkan lebih ramai penerima.

“Ini bermakna lebih ramai anak-anak muda dapat memanfaatkan skim TTFS ini. Kita akan melihat lebih ramai yang dapat memanfaatkan skim pemerintah untuk membantu pendidikan mereka di politeknik dan universiti kita,” ujar beliau semasa ditemui Berita Harian (BH).

Dr Faishal juga mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Daya Ekonomi bagi memperkukuhkan daya tahan ekonomi masyarakat Melayu/Islam dan mempersiapkan masyarakat untuk ekonomi masa hadapan.

Beliau berkata jawatankuasa baru itu akan diketuai Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) Kewangan merangkap Perdagangan dan Perusahaan yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat serta AP gerakan pekerja yang juga AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Dr Faishal turut mengumumkan satu program pembangunan kepimpinan baru untuk golongan asatizah dalam Peringkat 1 Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) manakala satu ruang solat sementara akan dibina bertentangan dengan Masjid Al-Istighfar.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg