SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Muis perkenal program baru, gilap potensi asatizah sebagai pemimpin masyarakat

Muis perkenal program baru, gilap potensi asatizah sebagai pemimpin masyarakat

Lulusan Pengajian Islam terpilih di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah Peringkat 1 akan diasah dalam pemikiran strategik, penglibatan masyarakat
Apr 10, 2026 | 8:30 PM

Muis perkenal program baru, gilap potensi asatizah sebagai pemimpin masyarakat

Skim Pengiktirafan Asatizah, ARS, Muis, asatizah, pemimpin masyarakat
Asatizah yang berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Peringkat 1 terdiri daripada mereka yang memiliki ijazah dalam Pengajian Islam dan dibenarkan mengajar di semua institusi, termasuk ruang awam. - Foto fail

Asatizah yang menunjukkan potensi untuk menjadi pemimpin utama masyarakat dan berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Peringkat 1, bakal dilengkapi dengan kemahiran kepimpinan bagi memperkukuh keupayaan kerjaya mereka secara berterusan.

Di bawah program kepimpinan baharu yang diusahakan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), mereka akan digilap dalam aspek seperti pemikiran strategik dan penglibatan masyarakat.

Asatizah Peringkat 1 ini terdiri daripada mereka yang memiliki ijazah dalam Pengajian Islam dan dibenarkan mengajar di semua institusi, termasuk ruang awam.

Menerusi kemahiran tersebut, asatizah dapat membimbing sektor agama Singapura dalam menelusuri cabaran serta peluang masa hadapan, terutamanya dalam dunia yang kian kompleks.

Program tersebut diumumkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa berucap pada acara Perjumpaan Hari Raya Menteri di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay pada 10 April.

Mengulas lanjut mengenai usaha ini, beliau berkata:

“Inisiatif ini bukan sahaja akan membolehkan asatizah membina keilmuan agama yang mendalam, malah membangunkan kemahiran pertubuhan yang mantap, kebolehan mendampingi masyarakat, serta mutu kepimpinan adaptif (mampu menyesuaikan diri) bagi menangani cabaran masa kini.”

Dr Faishal menambah, bagi melahirkan generasi pelapis pemimpin agama, bakal asatizah serta asatizah sedia ada perlu terus diberikan sokongan sewajarnya.

Katanya lagi, usaha menggilap potensi asatizah ini secara tidak langsung akan memperkukuh kehidupan beragama dalam sesebuah masyarakat.

“Memperkukuh kehidupan beragama bukan sekadar membangunkan ruang fizikal, malah merangkumi usaha menggilap modal insan.

“Melangkah ke hadapan, kita harus terus melahirkan generasi baharu pemimpin agama yang berteraskan keilmuan Islam, yakin dalam mendepani masyarakat Singapura yang berbilang kaum, serta mampu membimbing masyarakat dengan penuh hikmah dan kasih sayang,” katanya.

Dr Faishal juga menggesa pelajar madrasah dan asatizah agar berani mengejar cita-cita serta meluaskan pengalaman demi menyumbang kepada masyarakat melebihi satu cara.

Menerusi kenyataan Muis pada 10 April, perkembangan lanjut program itu akan diumumkan pada lewat 2026.

Muis pula berkata program itu menzahirkan komitmen mereka dalam memastikan adanya bekalan pemimpin agama yang berwibawa bagi masa hadapan.

“Memandangkan masyarakat terus berkembang, Muis menyedari kepentingan melabur dalam keupayaan kepimpinan agama untuk memperkukuh mutu kepimpinan dan mempersiapkan generasi seterusnya, di samping menyokong pemimpin sedia ada dalam meluaskan kemahiran mereka.

“Program ini memastikan para pemimpin agama dilengkapi bukan sahaja dengan ilmu agama, malah dengan keupayaan kepimpinan yang diperlukan untuk membimbing serta memberi inspirasi kepada masyarakat dalam dunia yang kian kompleks,” kata Muis.

Muis menambah bahawa program itu direka khas bagi asatizah terpilih yang menunjukkan potensi serta komitmen untuk menjadi pemimpin utama dalam masyarakat Islam.

Program itu terbuka kepada asatizah yang terpilih dan tersenarai di bawah ARS Peringkat 1.

ARS ditubuhkan untuk meningkatkan kedudukan asatizah sebagai rujukan masyarakat Islam yang berwibawa.

Ia merangkumi dua peringkat; iaitu Peringkat 1 bagi pemegang ijazah Pengajian Islam dan Peringkat 2 bagi guru Al-Quran.

Berkongsi lanjut mengenai program itu, Muis berkata: “Program ini memberi tumpuan khusus kepada pembangunan keupayaan kepimpinan, termasuk pemikiran strategik, penglibatan masyarakat, serta kemahiran yang diperlukan untuk membimbing sektor agama Singapura dalam mendepani cabaran dan peluang masa hadapan,” kata Muis.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg