Topic followed successfully
Go to BHkuZaqy: Usah biarkan soal kos hambat aspirasi lanjut pengajian
Zaqy: Usah biarkan soal kos hambat aspirasi lanjut pengajian
Peringkat subsidi 25 peratus yang baru diperkenal khusus bagi keluarga berpendapatan pertengahan; selain TTFS, Mendaki tawar biasiswa, pinjaman sokong pelajar Melayu
Zaqy: Usah biarkan soal kos hambat aspirasi lanjut pengajian
Anak Melayu tidak harus khuatir tidak dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi semata-mata kerana soal kos.
Ini kerana terdapat pelbagai sumber sokongan yang disediakan, tekan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.
Sumber sokongan itu termasuk melalui skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) di bawah Yayasan Mendaki, dengan kriteria kelayakan pendapatan isi rumahnya akan dipertingkat bagi semua tahap subsidi.
Di samping itu, satu tahap subsidi akan diperkenal supaya anak daripada isi rumah berpendapatan pertengahan juga boleh mendapat sokongan daripada skim tersebut.
Selain TTFS, terdapat juga sokongan lain yang disediakan Mendaki, termasuk biasiswa, dermasiswa serta program pinjaman untuk pelajar.
“Anak kita tidak harus khuatir akan kos pendidikan kerana kita sentiasa membantu, termasuk bantuan daripada pemerintah, daripada Mendaki, daripada usaha badan Melayu kita, untuk melihat anak kita semua berjaya di universiti dan politeknik,” kata Encik Zaqy yang juga pengerusi Yayasan Mendaki.
Encik Zaqy berkata demikian ketika ditemui media pada 10 April di majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri yang diadakan di hotel Parkroyal Collection Marina Bay.
Di majlis itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mengumumkan bahawa struktur skim TTFS akan diubah supaya lebih ramai pelajar Melayu boleh mendapatkan sokongan tambahan untuk melanjutkan pengajian di peringkat politeknik dan universiti tempatan.
Kriteria kelayakan pendapatan isi rumah bagi semua peringkat subsidi di bawah TTFS akan dipertingkat.
Bagi memperolehi subsidi 100 peratus, had pendapatan per kapita dinaikkan kepada $1,700; subsidi 75 peratus dinaikkan kepada $2,000; dan subsidi 50 peratus dinaikkan kepada $2,200.
Sementara itu, peringkat subsidi 25 peratus baru akan diperkenalkan bagi isi rumah dengan pendapatan per kapita sehingga $2,400.
Skim yang disemak semula itu akan berkuat kuasa mulai Tahun Akademik 2026/2027.
Secara purata, sekitar 10,000 pelajar Melayu disokong oleh skim TTFS setiap tahun sepanjang lima tahun lalu.
Dengan peringkat subsidi 25 peratus yang baru itu, Encik Zaqy menambah, lebih ramai anak muda boleh mendapatkan sokongan untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi, termasuk mereka daripada keluarga berpendapatan pertengahan.
Selain TTFS, Encik Zaqy berkata pelajar yang ingin melanjutkan pengajian tetapi tidak berkemampuan boleh memanfaatkan program pinjaman untuk pelajar yang ditadbir Mendaki.
Program pinjaman itu meliputi 100 peratus kos pendidikan pelajar.
Dalam pada itu, Mendaki turut memberikan lebih daripada 30 biasiswa dan dermasiswa kepada anak yang memerlukan.
“Saya berharap ini memberi jaminan kepada ibu bapa, terutamanya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah dan juga pertengahan, bahawa kami terus berusaha sedaya upaya untuk memberikan sokongan kepada mereka,” tambah beliau.
“
“Anak kita tidak harus khuatir akan kos pendidikan kerana kita sentiasa membantu, termasuk bantuan daripada pemerintah, daripada Mendaki, daripada usaha badan Melayu kita, untuk melihat anak kita semua berjaya di universiti dan politeknik... Saya berharap ini memberi jaminan kepada ibu bapa, terutamanya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah dan juga pertengahan, bahawa kami terus berusaha sedaya upaya untuk memberikan sokongan kepada mereka.”
