Topik diikuti
Pergi ke BHkuNahas jalan raya angkara pemandu disyaki mabuk ragut nyawa suami isteri di KL
Nahas jalan raya angkara pemandu disyaki mabuk ragut nyawa suami isteri di KL
Nahas jalan raya angkara pemandu disyaki mabuk ragut nyawa suami isteri di KL
KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta yang hilang kawalan dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk di Jalan Ampang, berhampiran Menara Great Eastern, di Kuala Lumpur.
Dalam kejadian pada 5.34 pagi, 2 Mei itu, penunggang motosikal berusia 61 tahun dan isterinya berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Mohd Zamzuri Mohd Isa, pada 3 Mei berkata kemalangan membabitkan motosikal dinaiki pasangan itu dan kereta dipandu lelaki berkenaan yang disyaki mabuk.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu lelaki berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan, lalu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa.
“Akibat pelanggaran berkenaan, pasangan suami isteri itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta dan dua penumpang lelaki berusia 23 tahun dan 24 tahun cedera,” katanya dalam kenyataan pada 3 Mei, lapor Harian Metro.
Encik Mohd Zamzuri berkata pemandu dan penumpang hadapan (berusia 23 tahun) cedera di kepala dan masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur, sementara penumpang belakang yang luka di bahagian bibir dan lidah sudah dibenarkan pulang.
“Pemandu berkenaan disyaki mabuk, namun memandangkan dia masih menerima rawatan di HKL, polis sudah mengambil sampel darah dan air kencing untuk dihantar ke Jabatan Kimia.
“Rakannya yang duduk di tempat duduk belakang sudah membuat laporan polis serta diambil keterangan pada hari kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk agak kerap berlaku di Malaysia kebelakangan ini dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Sebelum ini, pada 30 April lalu, seorang kapten tentera, Jad Faid Arhan, 31 tahun, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, atas tuduhan membunuh seorang pempengaruh warga Bangladesh, Muzahid Millad, 22 tahun, pada 5.30 pagi, 23 April lalu, dalam kemalangan di lebuh raya Maju Expressway (MEX).
Dia dituduh memandu secara merbahaya di bawah pengaruh minuman memabukkan sehingga menyebabkan kemalangan maut, selain kecederaan kepada dua yang lain termasuk isteri kepada lelaki Bangladesh itu.
Terdahulu pada 1 April, seorang pembantu makmal didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Klang, Selangor, kerana memandu dalam keadaan mabuk dan khayal hingga meragut nyawa seorang penunggang motosikal pada 29 Mac.
Tertuduh, R Saktygaanapathy, 28 tahun, didakwa menyebabkan kematian seorang bapa tiga anak, Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33 tahun, di Jalan Raya Barat di Klang pada 11.47 pagi, 29 Mac lalu.
Tragedi itu mendapat perhatian meluas masyarakat yang menuntut hukuman lebih berat untuk pemandu mabuk.
