SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Keluar beli buku sekolah, bapa tiga anak maut dilanggar pemandu mabuk

Keluar beli buku sekolah, bapa tiga anak maut dilanggar pemandu mabuk

Apr 1, 2026 | 2:23 PM

Keluar beli buku sekolah, bapa tiga anak maut dilanggar pemandu mabuk

Allahyarham Amirul Hafiz Omar meninggal dunia setelah dilanggar pemandu mabuk.
Allahyarham Amirul Hafiz Omar meninggal dunia setelah dilanggar pemandu mabuk. - Foto SIRAPLIMAU

Kuala Lumpur: Seorang penunggang motosikal berusia 33 tahun maut dalam kemalangan di Jalan Raya Barat di Klang pada 29 Mac selepas dirempuh seorang lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan positif dadah.

Isteri kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, Cik Nor Nadia Abdul Majid berkata beliau dan seluruh keluarga amat mengharapkan hukuman lebih tegas dikenakan terhadap pemandu mabuk bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Undang-undang yang ada sekarang belum cukup bagi mengganti nyawa suami,” katanya ditemui di Kampung Repoh, Batu Kurau, pada 30 Mac.

Cik Nor Nadia berkata beliau kini perlu tabah membesarkan tiga anak berusia dua hingga sembilan tahun yang masih belum memahami kehilangan bapa mereka, lapor Harian Metro.

“Anak saya ingat ayah sakit, mereka tak faham lagi.

“Saya kena kuat demi mereka,” katanya.

Menceritakan kembali kejadian itu, Cik Nor Nadia berkata suaminya dalam perjalanan membeli buku sekolah anak mereka.

Beliau berkata arwah keluar rumah kira-kira jam 10 pagi ke Seksyen 19, Shah Alam bagi membeli buku Matematik anak sulung yang memulakan sesi persekolahan.

“Beliau cakap nak pergi beli buku Matematik untuk anak sebab memang dah beberapa hari beliau rancang nak beli untuk anak guna masa sekolah nanti.

“Kali terakhir kami berhubung beberapa minit sebelum jam 11 pagi apabila beliau menghantar mesej bertanyakan mengenai beberapa dokumen.

“Pada jam 11 pagi beliau mesej kata ada barang sampai dan selepas itu saya tak dapat hubungi beliau lagi,” katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian beliau menerima panggilan daripada polis trafik yang memaklumkan suaminya terbabit dalam kemalangan.

“Saya ingatkan panggilan itu scam, tapi bila beliau sebut nama suami, saya terus rasa tak sedap hati.

“Beliau beritahu suami saya sudah tiada dan masa itu memang saya tak boleh terima, remuk hati saya,” katanya sebak.

Jenazah Allahyarham Amirul Hafiz selamat dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan Kampung Repoh.

Sementara itu, wakil Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan pihaknya akan membantu keluarga mangsa daripada segi kebajikan dan sokongan diperlukan.

Pada 1 April, suspek tiba di Mahkamah Klang dengan kawalan ketat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Suspek dibawa ke mahkamah sehari sebelum tempoh reman empat harinya tamat iaitu 2 April.

Suspek dijangka didakwa mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.40 pagi 29 Mac, mangsa maut di tempat kejadian selepas dirempuh kereta dipandu suspek yang dipercayai bergerak laju menuju ke arah bandar Klang dari Jalan Raya Barat.

Pemandu itu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal mangsa.

Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke sebuah kereta Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg