Topic followed successfully
Go to BHkuPemandu mabuk dituduh bunuh penunggang motosikal di Selangor
Pemandu mabuk dituduh bunuh penunggang motosikal di Selangor
Pemandu mabuk dituduh bunuh penunggang motosikal di Selangor
KLANG: Seorang pembantu makmal didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Klang, Selangor, pada 1 April, kerana memandu dalam keadaan mabuk dan khayal hingga meragut nyawa seorang penunggang motosikal pada 29 Mac.
Tertuduh, R Saktygaanapathy, 28 tahun, didakwa menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33 tahun, di Jalan Raya Barat di Klang pada 11.47 pagi, 29 Mac lalu.
Pertuduhan ini dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, sekiranya sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Khartiyayini kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Kosmo!.
Bagi pertuduhan berasingan di mahkamah sama, Saktygaanapathy mengaku bersalah memasukkan dadah jenis Benzo dan THC ke dalam badannya di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada 3.30 petang, 29 Mac lepas.
Jika sabit kesalahan dadah itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 ($1,598) dan perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, tidak menawarkan sebarang ikat jamin dan memohon tarikh baharu bagi penyerahan dokumen bagi laporan bedah siasat, patologi dan forensik.
Tertuduh hadir tanpa peguam.
Prosiding itu turut disaksikan isteri Allahyarham Amirul Hafiz, Cik Nurul Nadia Abdul Majid, 32 tahun, yang diwakili peguam pemerhati, Encik Mohd Faizi Che Abu.
Kes akan disebut semula pada 3 Jun depan.
Allahyarham Amirul Hafiz menemui ajal dalam tragedi menyayat hati apabila jasadnya melambung sebelum tercampak atas kenderaan lain setelah dilanggar kereta yang dipandu Saktygaanapathy.
Lebih meruntun jiwa, tragedi itu berlaku ketika Allahyarham keluar untuk membelikan buku matematik anak sulungnya.
Siasatan awal mendapati kereta dipandu tertuduh dipercayai memotong beberapa kenderaan lain sebelum merempuh motosikal mangsa.
Ujian saringan air kencing mendapati Saktygaanapathy positif dadah, selain memandu dalam keadaan mabuk.
Sementara itu, Harian Metro melaporkan Cik Nurul Nadia meluahkan kelegaan setelah tertuduh didakwa atas tuduhan membunuh, yang sedikit sebanyak meredakan lara di hatinya.
“Syukur alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah. Lega sedikit perasaan saya Ya Allah. Satu perkara yang saya ingin tegaskan, nyawa dibalas nyawa.
“Selebihnya saya serahkan kepada peguam (untuk mengendalikan kes ini),” luahnya.
Dalam perkembangan lain, Encik Mohd Faizi memaklumkan keluarga Amirul Hafiz merancang menuntut pampasan lebih RM1 juta, bagi keadilan demi isteri dan tiga cahaya mata mereka.
“(Dianggarkan lebih RM1 juta) Mungkin dalam lingkungan jumlah itu. Insya-Allah,” ujarnya.

