Topic followed successfully
Go to BHkuHukuman lebih tegas didesak susulan kes penunggang motosikal maut dirempuh pemandu mabuk di Selangor
Hukuman lebih tegas didesak susulan kes penunggang motosikal maut dirempuh pemandu mabuk di Selangor
Hukuman lebih tegas didesak susulan kes penunggang motosikal maut dirempuh pemandu mabuk di Selangor
Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh pemandu mabuk dalam nahas di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor pada 29 Mac, sekali gus menghangatkan semula desakan supaya undang-undang lebih tegas dikenakan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian dalam nahas jalan raya.
Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi 29 Mac itu, mangsa, Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33 tahun, maut di tempat kejadian, akibat terpelanting selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh kereta yang dipandu seorang lelaki berusia dalam lingkungan usia 20-an tahun.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Penolong Pesuruhjaya Lim Jit Huey, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berkenaan bergerak dari Jalan Raya Barat menuju ke bandar Klang secara melulu dan pada kelajuan tinggi.
“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan pada 30 Mac.
Lebih menyayat hati, Allahyarham Amirul Hafiz, yang dikenali sebagai ketua keluarga yang kuat bekerja, dengan Harian Metro melaporkan rakan mangsa, Encik Illyasa Saipuzzaman, berkata Allahyarham bekerja di gudang pada sebelah siang dan menjadi penghantar sambilan pada sebelah malam.
Malah, semasa kejadian Allahyarham dilaporkan sedang bekerja mencari rezeki untuk menyara tiga anak berusia sembilan, tujuh dan dua tahun.
Kejadian menimpa Allahyarham mencetuskan kemarahan ramai dengan banyak pihak termasuk pemimpin kerajaan, pembangkang dan pakar, menggesa kerajaan melaksanakan hukuman lebih tegas serta memperbaiki kelemahan dalam pelaksanaan undang-undang bagi mengekang kes seumpama itu daripada terus berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Encik V Papparaidu, dalam kenyataan di Facebook, mendesak hukuman tegas dikenakan termasuk penjara maksimum dan mempertimbangkan hukuman sebatan, bagi menangani kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol serta dadah yang kian membimbangkan.
“Ini bukan lagi kes terpencil kerana terlalu banyak tragedi seumpamanya telah berlaku. Nyawa rakyat tidak seharusnya menjadi taruhan kepada sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak.
“Jalan raya mesti selamat untuk semua… cukup-cukuplah tragedi seperti ini berulang! Tindakan tegas mesti menjadi keutamaan demi keselamatan semua!,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang (Kelantan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata blok pembangkang memandang serius nahas tragik itu dan menuntut kerajaan segera mengkaji semula pelaksanaan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.
“Kejadian ini bukan sekadar satu kemalangan, tetapi satu bentuk kecuaian melampau yang seharusnya dianggap sebagai jenayah berat terhadap masyarakat.
“Hukuman sedia ada masih gagal memberi kesan pencegahan yang mencukupi,” katanya di Facebook.
Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Tei Hua, berkata tahap penguatkuasaan undang-undang terhadap pemandu mabuk yang masih rendah telah dikenal pasti antara faktor yang menyumbang pada kes nahas jalan raya membabitkan pemandu mabuk yang berterusan di Malaysia.
Beliau berkata walaupun undang-undang berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol di Malaysia telah tersedia, penguatkuasannya dilihat belum cukup baik untuk memberi kesan pencegahan berkesan.
“Penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara konsisten. Jika terdapat kelompongan, keseluruhan sistem akan terjejas,” katanya kepada Berita Harian, mengulas desakan supaya undang-undang membabitkan kesalahan pemandu mabuk yang mengakibatkan kemalangan jalan raya hingga maut diperketatkan.
Beliau turut menekankan aspek keterlihatan penguatkuasaan di lapangan memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku pengguna jalan raya.
Menurutnya, terdapat persepsi dalam kalangan segelintir pemandu mereka mampu mengawal keadaan walaupun berada di bawah pengaruh alkohol.
“Ada yang beranggapan mereka masih mampu memandu dengan baik. Selain itu, ada juga yang berasa mereka boleh terlepas daripada tindakan kerana jarang melihat kehadiran penguat kuasa di jalan raya,” katanya lagi.
Justeru, Dr Law berpandangan isu pemandu mabuk tidak boleh ditangani melalui undang-undang semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan sistem yang lebih menyeluruh.
“Ini bukan hanya soal undang-undang, tetapi bagaimana sistem itu dilaksanakan. Jika kita masih menggunakan pendekatan lama, ia mungkin tidak lagi berkesan kerana keadaan sudah berubah,” katanya.
Beliau memberi contoh dalam bidang pendidikan, di mana kaedah pendidikan lama tidak lagi sesuai untuk generasi muda masa kini, sekali gus menunjukkan keperluan kepada perubahan pendekatan dalam penguatkuasaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar penilaian semula dilakukan terhadap sistem sedia ada bagi memastikan langkah pencegahan lebih berkesan dalam menangani isu pemandu mabuk.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan berkata pindaan undang-undang dengan hukuman lebih berat terhadap pesalah yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah telah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020.
Menurut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta denda antara RM50,000 ($16,000) dengan RM100,000, jika disabitkan kesalahan.
Dalam satu kenyataan, MOT berkata bagi kesalahan berulang, hukuman adalah lebih berat, iaitu penjara tidak kurang 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun, serta denda antara RM100,000 dengan RM150,000.

