KUALA LUMPUR: Seorang kapten tentera telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 30 April, atas tuduhan membunuh seorang pempengaruh warga Bangladesh dalam kemalangan di lebuh raya Maju Expressway (MEX).

Jad Faid Arhan, 31 tahun, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ili Marisqa Khalizan.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian Muzahid Millad, 22 tahun, di Kilometer 1.9 MEX arah Salak Selatan menghala ke arah Jalan Tun Razak, pada 5.30 pagi, 23 April.

Dakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 754) yang memperuntuk hukuman mati, atau penjara antara 30 dengan 40 tahun, serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan, lapor MalaysiaGazette.

Sementara itu, di hadapan Majistret Tg Syazwany Yasmin Tuan Roslan, tertuduh juga didakwa atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan hingga tidak berdaya mengawal kenderaan.

Perbuatannya itu, berdasarkan pertuduhan, menyebabkan kecederaan parah kepada pemandu kereta sewa privet, Encik Jailani Sapih, 41 tahun, dan penumpangnya, Cik Nafisa Tabassum Adiba, 20 tahun, isteri kepada Muzahid, di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda tidak kurang RM30,000 ($9,689) dan tidak lebih RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nordin Ismail, bersama Timbalan Pendakwa Raya, Encik Izzat Amir.

Tertuduh diwakili peguam, Encik Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah.

Kedua-dua mahkamah kemudian tidak membenarkan ikat jamin kerana ia kesalahan bunuh, dan menetapkan 21 Julai bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pempengaruh video terkenal Advance Gaming maut selepas kenderaan sewa privet yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan pada 23 April.

Nahas itu turut menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan seorang lagi penumpang yang juga isteri kepada lelaki Bangladesh itu, yang kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Difahamkan pasangan berkenaan yang berasal dari Habiganj, Bangladesh, dilaporkan baru tiba di Malaysia untuk bercuti selama seminggu di Kuala Lumpur.