Topic followed successfully
Go to BHkuLagu Raya buat Dayang Nurfaizah hargai kehadiran ibu bapa
Lagu Raya buat Dayang Nurfaizah hargai kehadiran ibu bapa
Video muzik ‘Senyum Gugur Di Penghujung Doa’ jadi ruang pendengar kongsi kisah kehilangan insan tercinta
Lagu Raya buat Dayang Nurfaizah hargai kehadiran ibu bapa
Bagi individu yang menyambut Lebaran pada 2026 tanpa kehadiran insan tersayang kerana telah menyahut panggilan Ilahi, mendengar lagu Raya, Senyum Gugur Di Penghujung Doa, oleh penyanyi Malaysia, Dayang Nurfaizah, seperti menggambarkan perasaan sebak di dada.
Mereka pasti dapat mengait rapat pengalaman sedih kehilangan anggota keluarga atau sahabat handai dengan mesej yang ingin disampaikan dalam lagu balada itu.
Namun bagi Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44 tahun, menyanyikan lagu itu membawa erti berbeza.
Ia membuat penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu lebih menghargai kehadiran kededua ibu bapanya yang menetap dengannya di Kuala Lumpur.
“Semakin meningkat usia, pastinya kita semua pernah melalui detik kita kehilangan saudara atau kenalan.
“Namun, bagi saya sendiri, saya tidak pernah mengalami kehilangan insan yang amat rapat.
“Saya amat bersyukur kerana ibu bapa saya tinggal bersama saya. Apabila ingin merakam lagu ini, saya tidak boleh bayangkan kehilangan mereka.
“Lantas, interpretasi dan emosi Dayang lebih kepada mengenang pengorbanan dan kasih sayang yang sentiasa diberikan mereka.
“Ia turut membuat saya terfikir bagaimana saya belum bersedia kehilangan insan tercinta,” kongsi Dayang yang ditemui Berita Harian (BH) di hotel Royal Plaza on Scotts, baru-baru ini.
Dengan jadual kerjaya yang padat, Dayang mengakui terdapat ketika dirinya leka untuk menghargai kehadiran ibu bapanya.
“Tidak dapat dinafikan, ada ketika saya terlepas pandang dengan perkara harian yang mereka lakukan untuk saya.
“Ibu kadangkala masak dan mengajak saya untuk makan masakannya, namun, saya menolak kerana terlalu penat selepas seharian bekerja.
“Perkara kecil seperti itulah yang perlu dihargai kerana mereka tidak akan bersama saya selamanya,” ujar Dayang yang mempunyai tiga adik-beradik.
Ibu bapanya, Cik Nona Nahrawi, 75 tahun, dan Encik Awang Dowty Awang Fauzi, 78 tahun, merupakan antara individu yang memberi Dayang semangat untuk berkecimpung dalam bidang seni selepas memenangi pertandingan realiti nyanyian, Golden Teen Search, pada 1997.
Menceritakan tentang sambutan lagu Raya terkininya, Dayang tidak menyangka lagu itu menjadi titik tolak bagi ramai pendengar mengongsi pengalaman pilu kehilangan insan yang dikasihi.
“Mungkin saya tidak dapat memahami rasa sedih yang dilalui setiap pendengar, kerana saya tidak mengalaminya.
“Namun saya bersyukur melihat ramai yang menggunakan lagu saya sebagai wadah untuk meluahkan perasaan mereka tidak kira yang kehilangan anggota keluarga, sahabat atau haiwan peliharaan.
“Kadangkala kita perlu meluahkan apa yang dirasai supaya kita dapat meraih semangat baru untuk meneruskan kehidupan,” jelas Dayang.
Lagu hasil ciptaan, Hael Husaini dan Iqie Hugh itu, dilancarkan pada 5 Mac lalu dan telah meraih lebih 1.6 juta tontonan di YouTube dengan lebih 2,488 komen yang mengongsi kisah peribadi mereka.
Mengulas mengenai video muziknya yang turut dibintangi pelakon veteran, Wan Maimunah, Dayang mengakui konsepnya yang ringkas dan memberi tumpuan kepada inti pati lagu tersebut turut memberi kesan kepada para penonton.
Menurutnya, keputusan untuk mengeluarkan lagu Raya pada 2026 merupakan sesuatu yang tidak dirancang dan hanya dilakukan pada saat-saat akhir menjelang Ramadan.
“Sebenarnya saya tidak merancangkan untuk mengeluarkan lagu Raya pada tahun ini (2026). Semuanya berlaku secara kebetulan.
“Selepas mendengar beberapa rangkap pertama bagi lagu ini, tanpa rasa ragu-ragu, saya terus berkata ‘ya’ kerana tertarik dengan iramanya.
“Alhamdulillah, semua seperti tersusun dengan baik kerana ia kurang dari seminggu menjelang Ramadan apabila saya dapat tawaran bagi lagu ini,” tambah Dayang yang sebelum ini pernah mengeluarkan lagu Raya rentak rancak, Raya Terbaik, bersama Hannah Delisha dan Sophia Liana, pada 2022.
Berkongsi mengenai lauk wajib semasa Hari Raya, Dayang berkata dirinya meminati ayam masak merah, kuah kacang dan nasi impit yang dimasak ibunya.
“Lauk ayam masak merah sesuatu yang sering dimasak namun apabila ia dimakan pada pagi Raya, terasa berbeza. Susah untuk saya gambarkan dengan kata-kata.
“Mungkin kerana ibu masak pada malam sebelumnya dan pada pagi Raya, ia rasa lebih istimewa,” ceritanya yang dikenali dengan lagu popular, Seandainya Masih Ada Cinta, Di Pintu Syurga dan Pintaku Yang Terakhir.
Menyentuh mengenai lagu-lagunya yang diminati ramai, Dayang berkata dirinya amat menitikberatkan irama sesebuah lagu sebelum membuat keputusan untuk mengambil lagu itu untuk dimuatkan dalam albumnya.
“Ia agak sukar untuk saya katakan apakah resipi ‘rahsia’ untuk membuat lagu itu diminati ramai.
“Bagi saya sendiri, perkara pertama saya akan lalukan adalah meneliti lirik dan iramanya.
“Jika saya rasa saya boleh menjiwai cerita yang ingin disampaikan, saya akan memilih lagu itu.
“Saya terbuka untuk bekerjasama dengan semua penggubah lagu asalkan karyanya bersesuaian,” tambah beliau.
“
“Saya amat bersyukur kerana ibu bapa saya tinggal bersama saya... Tidak dapat dinafikan, ada ketika saya terlepas pandang dengan perkara harian yang mereka (ibu bapa) lakukan untuk saya. Ibu kadangkala masak dan mengajak saya untuk makan masakannya, namun, saya menolak kerana terlalu penat selepas seharian bekerja. Perkara kecil seperti itulah yang perlu dihargai kerana mereka tidak akan bersama saya selamanya.”
