SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Anak Asnida Daud, Syurga Jeffrey kian menyerlah dalam bidang seni

Anak Asnida Daud, Syurga Jeffrey kian menyerlah dalam bidang seni

Ingin martabat warisan Orang Laut, seiring usaha ibu yang juga penggiat seni
Mar 30, 2026 | 5:30 AM

Anak Asnida Daud, Syurga Jeffrey kian menyerlah dalam bidang seni

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?

Setelah dewasa dalam sekitaran ibu bapanya yang merupakan penggiat seni dan pencinta muzik, Syurga Jeffrey, 22 tahun, rasa bertuah dapat melibatkan diri dalam program kanak-kanak semasa kecil, sebagai titik tolak dirinya mendalami bidang seni.

“Rancangan televisyen pertama yang saya jayakan merupakan Raya Oh Yeah! pada 2017. Ketika itu, saya kurang yakin dengan kebolehan saya.

“Ibu yang menggalak saya agar melakukan yang terbaik. Saya pernah terfikir jika beliau ingin memaksa saya mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.

“Semasa kecil, saya sering menemani ibu ke pementasan, persembahan atau sesi deklamasi sajak yang disertainya. Saya tertanya-tanya kenapa saya perlu ikut ibu ‘bekerja’?

“Namun, beliau membuat saya sedar tentang bakat nyanyian yang saya miliki. Dari situ, minat pada bidang muzik mula mekar,” kongsi Syurga.

Beliau merupakan anak kedua dalam keluarga empat beradik.

Ibunya ialah pendidik Bahasa Melayu dan aktivis seni mapan, Asnida Daud, 53 tahun.

Bapanya pula ialah pensyarah politeknik dan pemuzik, Jeffrey Zauhari, 52 tahun.

Melalui nyanyian, Syurga mengakui dirinya tertarik mendalami pelbagai aspek seni persembahan termasuk bidang lakonan sehingga beliau meraih Diploma dalam Persembahan dari Maktab Seni Lasalle pada 2025.

Beliau yang juga penerima Anugerah Mendaki 2025 bagi pencapaian cemerlang dalam bidang persembahan di Lasalle, kemudian meneruskan pengajian peringkat ijazah dalam bidang teater muzikal di Universiti Seni Singapura (UAS), dengan kerjasama Maktab Seni Lasalle.

“Pada mulanya, saya mahu mempelajari seni muzik di Lasalle, namun ibu memberi cadangan agar saya mendalami seni teater kerana saya sudah ada asas dalam bidang muzik.

“Apabila saya mula mengikuti kursus itu, saya sedar ia bukan sekadar lakonan sahaja.

“Kini, saya kerap meneroka teknik pergerakan badan bagi menyampaikan cerita dalam sesebuah karya seni,” jelasnya.

Syurga mengakui galakan daripada kededua ibu bapanya yang menyokong minatnya terhadap seni merupakan kekuatan utama untuk beliau terus berkecimpung dalam dunia hiburan dan kesenian.

Menghargai setiap peluang membuat persembahan, Syurga bersyukur dapat terlibat dalam beberapa rancangan televisyen baru-baru ini termasuk rancangan kanak-kanak sempena Aidilfitri 2026, JMJ Magika Raya, di mana beliau menyanyikan lagu Hari Raya Raya Raya (nyanyian asal Iman Fandi).

Rancangan itu turut menampilkan bakat cilik seperti Adrianna Putri, Danish Aswad, Aidan Asri, Eliya Izara serta alumni pertandingan Juara Mic Junior (JMJ).

Selain JMJ Magika Raya, Syurga turut berkesempatan berduet dengan penyanyi tempatan, Fauzie Laily, bagi rancangan hiburan, Singapura LIVE 4.0, pada Disember 2025.

“Saya akan terima setiap tawaran untuk membuat persembahan di kaca televisyen kerana ia peluang yang baik untuk mengasah bakat nyanyian.

“Ia juga satu pengalaman menarik dapat menyanyi di hadapan penonton secara langsung,” tambahnya, yang pernah mengeluarkan lagu bahasa Melayu, telefon dari bulan, pada 2024.

Beliau yang meminati penyanyi pop asal Amerika Syarikat, Olivia Rodrigo, dan penyanyi indie tempatan, Shye, berkata dirinya terbuka untuk berekpserimen dengan genre muzik berbeza dan tidak mahu terikat dengan satu genre.

Ditanya jika diberi kesempatan untuk bekerjasama dengan bakat tempatan, Syurga berkata beliau amat meminati penyanyi dan penggubah lagu, Shazza, kerana bangga melihat pencapaiannya sebagai karyawan muzik yang kini lebih dikenali dalam arena hiburan Melayu.

Berkongsi mengenai impiannya selepas tamat pengajian pada 2028 kelak, Syurga berkata dirinya tertarik untuk melibatkan diri dalam lebih banyak kegiatan seni yang melestarikan warisan Orang Laut.

“Saya berkesempatan membuat persembahan yang dinamakan Suara Pulau bersama ibu pada Januari lalu di Muzium Tamadun Asia (ACM).

“Saya melihat bagaimana ibu memperjuangkan warisan Orang Laut sejak saya kecil dan ia membuat saya berasa bangga dengan asal usul saya.

“Saya tertarik menggabungkan seni dengan sejarah dalam satu persembahan,” ceritanya, yang bangga dengan warisan keluarga sebelah ibunya, yang berasal dari Pulau Sudong.

Rancangan ‘JMJ Magika Raya’ boleh ditonton di mewatch dan YouTube Mediacorp Entertainment.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg