Topic followed successfully
Go to BHkuPengalaman Hady ‘Sekejap Dah Raya’ jadi inspirasi lagu baru
Pengalaman Hady ‘Sekejap Dah Raya’ jadi inspirasi lagu baru
Juara GV6 dan Naib Juara ASGV perbaharui arah seni, kini lebih berani beri sentuhan peribadi
Pengalaman Hady ‘Sekejap Dah Raya’ jadi inspirasi lagu baru
Kematangan usia telah mengubah pandangan penyanyi yang juga ejen hartanah, Hady Mirza, terhadap sambutan Lebaran.
Kini, Hady, atau nama sebenarnya Muhammad Mirzahady Amir, lebih menekankan kesederhanaan serta keikhlasan dalam mempererat silaturahim bersama keluarga.
Malah, beliau tidak lagi rasa terhimpit apabila berdepan soalan klise sewaktu Hari Raya berkaitan zuriat atau perkembangan kerjaya, sebaliknya menjawab setiap pertanyaan dengan penuh kejujuran.
“Makna Aidilfitri berubah selepas saya berumah tangga dan keluarga semakin berkembang.
“Ia bukan lagi seperti dahulu ketika zaman muda, lebih santai.
“Kini, ia lebih serius kerana tanggungjawab terhadap keluarga ramai. Jadi, kita perlu lebih peka dalam menjaga hati sesama ahli keluarga.
“Bagi saya, Aidilfitri adalah tentang memahami dan menerima. Ada perkara di mana kita mungkin tidak sependapat antara satu sama lain.
“Daripada menyimpan perasaan sakit hati atau dendam, lebih baik kita memahami dan menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing.
“Dengan itu, Aidilfitri akan menjadi lebih damai dan bermakna.
“Apabila ditanya soal zuriat dan kerjaya pula, saya juga tidak terlalu memikirkannya dan hanya menjawab dengan jujur sahaja,” kata Hady, 46 tahun, dalam satu sesi wawancara bersama Berita Harian (BH) di pejabat SPH Media, pada 2 Mac.
Setelah sekian lama tidak mengeluarkan video muzik bagi lagu Raya, pada 2026, Hady menghadiahkan peminat dengan lagu terbaharu berjudul, Sekejap Dah Raya.
Hady menampilkan gaya dan persembahan yang mencuit hati, apatah lagi dengan gelagatnya yang candi yang bikin penonton terhibur.
Ini kerana beliau ingin mengetengahkan kelainan yang selari dengan jalan cerita dalam lagu Lebaran itu, menggambarkan betapa dalam sekelip mata Hari Raya kembali menjelma.
“Dalam video muzik kali ini, saya memang mahu membawa sesuatu yang berbeza dengan menyuntik elemen keseronokan, baik dari segi jalan cerita, jenis muzik yang dipilih mahupun liriknya.
“Lirik lagu ini pula tercetus daripada pemerhatian bahawa setiap tahun, masa seakan-akan berlalu begitu pantas.
“Lebih-lebih lagi ketika Ramadan, apabila kita terlalu sibuk dengan kerja dan urusan lain, tiba-tiba sahaja sudah menyambut Hari Raya.
“Semakin meningkat usia, saya rasa seolah-olah Hari Raya itu datang dengan begitu cepat,” katanya.
Bagaimanapun, Hady akur mengambil masa untuk memilih genre dan susunan muzik yang sesuai agar lagu yang didendangkan itu dapat mencerminkan semangat dan sambutan Aidilfitri.
“Penerbit muzik lagu ini yang juga seorang Muslim berbangsa Cina, memberi sentuhan unik apabila lagu tersebut mempunyai sedikit nuansa Tahun Baharu Cina.
“Ini juga mungkin kerana sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya pada tahun ini berdekatan.
“Walau bagaimanapun, kami tetap ingin mengekalkan kelainan dengan menggabungkan pelbagai elemen seperti penggunaan dram berentak Latin namun tetap ada sentuhan kemelayuannya.
“Saya percaya setiap artis mesti ingin lagu Raya mereka melekat dalam ingatan pendengar… begitu juga saya.
“Tak mudah untuk keluarkan lagu Raya selepas 14 tahun ini, jadi saya harap ia dapat menambat hati pendengar,” kongsinya, yang telah merancangkan lagu Raya ini sejak Disember 2025.
Menyemarakkan lagi suasana sepanjang rakaman video muzik tersebut, Hady meluahkan rasa gembira projeknya itu dimeriahkan dengan kehadiran teman dan keluarga terdekat.
Antaranya termasuk pelakon, Haizad Imran, berserta isterinya yang juga penyanyi, Alia Demelda Sharma, dan isteri Hady, Nurjannah Nur Wahid.
Melihat lambakan lagu Raya yang muncul bak cendawan selepas hujan di seberang, Hady tetap teguh dengan prinsipnya bahawa lagu Aidilfitri seharusnya sarat dengan nilai murni yang mengingatkan masyarakat tentang makna kemenangan selepas sebulan berpuasa.
“Di Malaysia, lagu Raya kini dihasilkan macam ‘factory’ (dikeluarkan dalam satu masa secara berturut-turut)... asalkan ada, dan pasti berlaku setiap tahun.
“Sama ada lagu itu baik atau tidak, itu sesuatu yang subjektif.
“Bagi saya, keistimewaan sesebuah lagu Aidilfitri terletak pada bagaimana ia memberi kesan kepada diri saya.
“Pada akhirnya, saya akan menyanyikan lagu tersebut setiap tahun.
“Saya akur memang ada juga lagu Raya yang pernah saya keluarkan sebelum ini, namun tidak begitu mendapat sambutan.
“Jadi, bagi saya, penting untuk menghasilkan lagu Raya yang sentiasa dinanti-nantikan orang ramai setiap kali tibanya musim perayaan,” ujarnya, yang kini artis baharu di bawah naungan label rakaman, Universal Music Singapore.
Apabila ditanya lebih lanjut tentang semangat Hari Raya dalam industri hiburan tempatan dan perbezaannya dengan Malaysia yang begitu rancak mengeluarkan lagu Raya setiap tahun, Hady melihat kekangan tersebut mungkin berpunca daripada tahap sokongan yang diberikan oleh masyarakat.
“Mungkin, apa yang kurang di sini adalah tahap sokongan yang kita (sebagai artis) peroleh.
“Contohnya, jika sebuah karya dimuat naik di laman YouTube, jumlah tontonan di Malaysia mungkin boleh mencecah lebih sejuta.
“Berbeza dengan Singapura, di mana tontonan hanya mampu mencecah beberapa ribu sahaja. Namun begitu, itulah hakikatnya.
“Ramai mungkin beranggapan apabila artis tempatan sudah berada di Malaysia, mereka sudah ‘berjaya’.
“Ini disebabkan tahap sokongan yang diterima menjadi lebih besar. Bagaimanapun, bagi saya, periuk nasi saya tetap di Singapura.
“Walaupun sebelum ini saya pernah menyertai program Gegar Vaganza 6 (GV6) dan All Stars Gegar Vaganza (ASGV), rezeki saya masih di Singapura, Alhamdulillah.
“Buat masa ini, saya tidak lagi terlalu memikirkan tentang saiz pasaran. Apa yang penting bagi saya adalah karya saya sendiri dan peminat saya, yang kebanyakannya dari Singapura,” kongsi Juara GV6 dan Naib Juara ASGV itu.
Selepas bergelar artis baharu diterbitkan Universal Music Singapore, kini Hady tampil dengan semangat baharu untuk menghasilkan karya yang benar-benar mencerminkan jiwanya.
“Saya amat bersyukur atas sokongan yang diberikan oleh Universal Music Singapore.
“Dalam pada itu, dari segi penerbitan dan pengarahan muzik, ia masih diuruskan oleh saya bersama pasukan, termasuk penerbit muzik berbakat yang kini bersama kami.
“Sudah lebih enam bulan kami bekerjasama dengan penerbit kami, Danial Elias Teo, dan sepanjang tempoh itu kami banyak menimba ilmu daripadanya.
“Saya bersyukur atas kerjasama ini kerana tidak lagi perlu bergerak sendiri dalam menghasilkan muzik.
“Banyak yang sudah saya lalui dalam bidang muzik dan di usia sekarang, ditambah pula dengan kerjaya saya dalam bidang hartanah, saya rasakan sudah tiba masanya untuk bekerjasama dengan seorang penerbit yang boleh bertukar pandangan dan mengembangkan idea bersama,” ujar Hady.
Lagu Sekejap Dah Raya kini boleh didengar di seluruh penstriman digital.

