Topic followed successfully
Go to BHkuNabila Razali tak ambil pusing kritikan, bangkit dengan semangat terus menghibur
Nabila Razali tak ambil pusing kritikan, bangkit dengan semangat terus menghibur
‘Tak Sabar Nak Raya’ buka peluang kerjasama dengan pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad, sambil pupuk semangat Lebaran dalam arus lagu Raya moden
Nabila Razali tak ambil pusing kritikan, bangkit dengan semangat terus menghibur
Dari awal, perjalanan seni penyanyi dan pelakon Malaysia, Nabila Razali, tidak pernah sunyi daripada kritikan netizen, terutama mengenai kemampuan vokalnya.
Bagaimanapun, beliau tidak membiarkan perkara itu menjejas semangatnya dalam berkarya.
Selepas berehat seketika bagi menumpukan perhatian pada rumah tangga dan keluarga, Nabila, atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali, kini kembali dengan persiapan rapi dan keyakinan lebih mantap.
Menurut penyanyi lagu Pematah Hati itu, tempoh berehat sekitar setahun turut menjadi peluang untuknya memperkasakan diri, sebelum kembali dengan beberapa lagu terkini, menandakan lembaran baharu dalam perjalanan seninya.
“Ada satu tempoh di mana saya tidak menghasilkan lagu kerana baru berkahwin, selain memberi tumpuan kepada keluarga selepas kelahiran anak.
“Saya rasa bila sudah berkahwin, ada tanggungjawab yang lebih berat yang perlu saya galas. Saya akur pada masa itu, saya perlahankan kegiatan dalam bidang seni.
“Tetapi selepas anak saya menginjak usia setahun, saya kembali aktif dengan mengeluarkan lagu baharu.
“Sebelum melancarkan lagu #Balas Baik pada Oktober 2025, saya turut menghadiri kelas vokal dan tarian untuk mempersiapkan diri dengan baik.
“Sebenarnya, enam bulan sebelum itu, saya serta pasukan saya sudah rancang apa yang ingin dilakukan bagi masa akan datang,” kata Nabila, 33 tahun, dalam satu sesi wawancara bersama Berita Minggu (BM), di pejabat SPH Media pada 2 Mac.
Nabila, yang berkahwin dengan ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani, 41 tahun, pada 18 November 2023, dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Nik Muhammad Nik Iruwan, setahun.
Tidak lama selepas melancarkan #Balas Baik, Nabila tampil dengan lagu pop balada, Sampai Jumpa, sekali gus menjadi runut bunyi bagi drama penstriman Viu, Sesaat Lebih, yang mana beliau turut berlakon sebagai wanita berkerjaya yang kehilangan suami, Adelia.
Menerusi lagu itu juga, Nabila bergandingan dengan penyanyi dan pelakon, Alvin Chong, selain pengacara serta penyiar radio, Haziq Hussni.
Ditanya BM tentang pandangannya terhadap perkembangan diri setelah kembali aktif dalam industri seni, Nabila berkata:
“Sejujurnya, saya juga tidak mahu berehat terlalu lama kerana tidak mahu orang ramai menyangka saya sudah tidak lagi aktif dalam seni hiburan.
“Dalam masa sama, saya sering menerima mesej daripada peminat di Instagram yang bertanya, ‘Bila Nabila akan tampil dengan lagu atau drama baharu?’
“Justeru itu, saya amat bersyukur melihat perkembangan diri saya ketika ini apabila berpeluang kembali menghasilkan beberapa lagu baharu seperti #Balas Baik dan Sampai Jumpa, selain lagu Raya, Tak Sabar Nak Raya,” katanya lagi.
Seperti judul lagu Rayanya, apakah detik yang paling dinantikan oleh penyanyi Peluang Kedua itu sehingga membuatkannya begitu tidak sabar menyambut Syawal?
“Bagi saya, setiap kali tibanya Hari Raya, perasaan teruja itu memang ada.
“Tahun lalu (2025) merupakan Hari Raya pertama saya sambut dengan kehadiran Muhammad. Masa itu pun, dia masih enam bulan dan tidak tahu apa-apa.
“Kini, dia dah ‘dapat kaki’ (boleh berjalan), dan macam-macam bunyi boleh dilakukan.
“Saya makin tidak sabar untuknya bertemu dengan sepupu dan saudara mara yang jauh serta melihat Muhammad berlari-lari di kampung halaman,” kata Nabila, yang bakal pulang kampung suaminya di Kelantan, Aidilfitri ini.
Melalui lagu Lebaran ini, Nabila ingin menyemarakkan semula semangat sambutan Aidilfitri dalam kalangan pendengar.
Baginya, sambutan Hari Raya bukan sekadar untuk berseronok, malah sebagai tanda meraikan kemenangan selepas sebulan menunaikan ibadah puasa.
“Saya menghasilkan lagu ini sebagai usaha menyemarakkan kembali semangat menyambut Hari Raya kerana saya rasa semangat itu kini semakin berkurangan, dan perkara itu agak merisaukan saya.
“Ramai yang dilihat kurang teruja membeli baju Raya atau kuih Raya.
“Ada yang seolah-olah menyambutnya secara ringkas sebelum kembali semula kepada rutin kerja,” kongsi Nabila, yang dicungkil bakat nyanyiannya melalui program, Akademi Fantasia 10, pada 2013, seangkatan Amira Othman dan Aisyah Aziz.
Bagi menyuntik kelainan pada lagu Raya kali ini, Nabila menghadirkan pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad, bagi memeriahkan bahagian penceritaan dalam lagu Tak Sabar Nak Raya.
“Ketika saya mendengar demo lagu ini, saya terus tertarik. Tahun lalu, saya tampil dengan lagu Raya yang rancak berjudul, Raya Mana?
“Jadi, kali ini saya fikir ingin membawa ‘vibes’ (suasana) yang hampir sama, kerana jika bawa lagu berentak tradisional pula, ia terlalu berlainan.
“Apabila masuk bahagian lelaki, ia seolah-olah ada elemen penceritaan Tok Dalang.
“Jadi saya merasakan bahagian itu tidak boleh dibawakan oleh sebarangan penyanyi.
“Ia memerlukan seseorang yang mempunyai perwatakan yang kuat. Sebab itu saya memilih Nabil, kerana saya rasa ia cukup serasi dengan jiwanya,” ujarnya.
Kebelakangan ini, penyanyi Peluang Kedua itu akur melihat trend lagu Raya masa kini yang lebih rancak dan mudah dijadikan cabaran tarian di laman TikTok.
Bagi Nabila, perubahan itu sesuatu yang wajar kerana dunia muzik sentiasa berkembang mengikut selera pendengar masa kini.
“Kalau kata rindu pada lagu lama, sebenarnya masih ada artis masa kini yang menghasilkan lagu Raya berunsur tradisional atau melankolik.
“Baru-baru ini, Dayang Nurfaizah misalnya tampil dengan lagu Raya bernada melankolik, manakala Ernie Zakri juga pernah menghasilkan lagu Raya berkonsepkan tradisional.
“Jadi bukan bermakna sekarang sudah tiada lagu Raya seperti dahulu. Ia sebenarnya bergantung kepada pilihan pendengar. Lagu Raya yang rancak selalunya lebih mudah diingati.
“Bukan juga bermaksud lagu Raya masa kini tidak mempunyai makna. Lagu yang bermakna masih ada, cuma mungkin berbeza dari segi penggunaan bahasa.
“Jika dahulu bahasanya lebih puitis, kini lirik lebih singkat dan ringkas kerana Generasi Z dan Generasi Alpha lebih cenderung kepada bahasa yang padat dan mudah difahami.
“Kita perlu bergerak seiring peredaran zaman, tetapi itu tidak bermakna penyanyi hari ini melupakan karya serta legasi yang telah dihasilkan oleh penyanyi terdahulu,” ujar Nabila.

