SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Haru-biru lagu Lebaran era baharu: Nak ‘pok pek’ pun tiada jiwa Raya

Haru-biru lagu Lebaran era baharu: Nak ‘pok pek’ pun tiada jiwa Raya

Puasa baru mula, banyak lagu Raya 2026 rebut masuk pasaran awal Ramadan
Mar 2, 2026 | 5:30 AM

Haru-biru lagu Lebaran era baharu: Nak ‘pok pek’ pun tiada jiwa Raya

Hael Husaini, Lagu Raya Untukmu, Lebaran
Hael Husaini dikenali sebagai pencipta generasi baharu yang sentiasa muncul dengan lagu Hari Raya tular tetapi ada juga yang menyifatkan ‘Lagu Raya Untukmu!’ bagi 2026 kurang semangat berlebaran. - Foto ROCKETFUEL

Kenangan duduk di tepi jendela pada malam dingin sebelum Hari Raya diraikan sambil mendengar aplikasi Spotify mengalunkan irama syahdu, Sepasang Kurung Biru, masih terpahat di ingatan.

Saya amati bait-bait liriknya yang penuh emosi, menyapa syahdu hati yang merindui ibu yang sudah tiada sejak Syawal 2023.

“Tiada salam atau ucapan
Tiada pesan tanda ingatan
Suasana penuh keriangan
Ku teringat pada seseorang,
Di hari yang berbahagia ini
Hatiku kosong dan sepi sekali
Betapa manis kenangan lalu
Menyambut Raya bersama denganmu...”

Satu lagi irama Lebaran yang pastinya mewujudkan kesan sayu yang menebal dalam diri saya adalah Pulanglah oleh Datuk Aishah (Wan Aishah Wan Ariffin).

Kisah seorang wanita yang sebak mengenang nasib jejaka yang dicintai tergamak menggantikan dirinya dengan kehadiran wanita lain memang tak ada kena-mengena langsung dengan kehidupan peribadi saya di alam nyata tetapi lagu ini tetap menjentik ‘hati tisu’ saya dengan bisikan hati: “Alahai, kasihannya wanita ini!”

Nak sambut Raya pun boleh dicurangi.

Bagaimanapun, kesan emosi seperti dua lagu ini dan beberapa lagu Raya lain yang kaya penceritaan dan didendangkan legenda seni suara seperti S. Jibeng (Musafir Di Aidilfitri) dan Sanisah Huri (Bersabarlah Sayang), nampaknya jarang wujud lagi dalam lagu Raya 2026.

Dahlah lagu Raya sekarang diterbitkan siang di wadah digital, seawal 2 Ramadan lalu, sampai ada teman kata terjejas mood nak menghayati nilai dan nikmat Ramadan.

Hakikatnya, yang banyak muncul di pasaran kini adalah lagu rancak dengan lirik yang setakat nak ‘happy-happy’ menjelang Hari Raya.

Memang ia mengikut cita rasa Generasi Z yang suka menyahut cabaran dansa bersama lagu Raya yang pelik-pelik tetapi kadangkala melucukan.

Jangan katakan Generasi Z sahaja yang kemaruk dengan cabaran dansa sebegini. Mereka turut tarik ibu bapa dan datuk nenek mereka juga untuk jadi ‘mabuk TikTok’ melalui pelbagai video ringkas yang dimuatnaikkan untuk sajian hiburan orang ramai.

Saya mendengar satu per satu lagu Raya 2026 yang sudah awal-awal lagi berada di pasaran, tatkala ramai masih lagi baru nak menyesuaikan kembali dengan jadual makan minum, tidur dan kegiatan seharian sepanjang Ramadan.

Terus terang, belum ada satu pun lagu Raya baharu yang benar-benar ‘melekat’ di hati saya walaupun netizen rata-rata orang muda memuji mutu, susunan irama dan juga mood yang dibawakan lagu berkenaan.

“Abang Hael Husaini ni kalau bikin lagu Raya baguslah... ada semacam semangat kita nak beraya.

Lagu Raya Untukmu! ada irama macam orang berbaris. Hebat ni!” jelas seorang netizen yang menggunakan nama ‘rosesblue’ di YouTube.

Namun, tidak seperti lagu tular Hael dan Nadeera, Meriah Lain Macam, yang dihasilkan bagi Syawal 2025, lagu kali ini bagi saya kurang ‘vibes’ atau suasana menyambut Raya.

Lagu ciptaan bersama Hael dan Iqie Hugh memang ada ‘feel’ retro (persis lagu era 1970-an) tetapi liriknya berulang sehingga terasa membosankan.

Secara peribadi bagi saya, nak tangkap mood Raya pun sukar sebab ia pada dasarnya hanya menjurus ke arah tema mengucapkan “Selamat Hari Raya” kepada teman rapat seisi keluarga dan permohonan agar sengketa lama dilupakan.

Rindu Raya oleh kumpulan yang sedang ‘naik daun’ sekarang ini, iaitu Alpha, yang turut dianggotai anak Singapura, Izat Ibrahim, mungkin tampak lebih menarik dengan mereka membawa kita ke alam boyband K-Pop yang menyanyi secara beramai sambil menari rancak irama Lebaran.

Ini meskipun wujud emosi sedih tentang kerinduan ibu bapa, orang tersayang dan kampung halaman, yang pastinya singgah di hati pada musim perayaan.

Cuma penceritaannya masih kurang memberi kesan pada jiwa ‘orang lama’ dan naluri wartawan yang biasanya mahukan penceritaan yang lebih mendalam dan mampu ‘tangkap mood’ Raya meskipun lagu tersebut hanya sepanjang tiga minit sahaja.

Saya hanya tidak sabar menantikan lagu Raya Dayang Nurfaizah yang video ringkasnya sudah dimuatnaikkan ke Instagram dan TikTok bintang bersuara merdu itu.

Selain kesyahduan Raya dapat dipaparkan, ia pastinya mampu membuatkan mereka yang kehilangan ibu, bapa, suami, isteri atau anak, tersentuh dek Lebaran yang terasa kosong tanpa individu bermakna ini.

De Fam yang ‘meletup’ dengan lagu Alamak Raya Lagi pula kembali dengan Pok Pek Raya beberapa hari lalu.

Di sebalik irama rancaknya dan sisipan lirik ‘rap’ yang dilontar anggota De Fam, Sophia Liana, saya rasa ketenangan dan keseronokan luar biasa lagu ini yang mengisahkan tentang suasana kunjung-mengunjung yang penuh dengan ‘pok pek’ (orang berbual sana sini... termasuk gosip dan umpatan atau bertanya soalan sensitif tentang kahwin dan bila nak ada anak).

Lagu sebegini dapat menggambarkan keadaan beraya yang kadangkala bukan menyeronokkan tetapi memeritkan bagi mata melihat, telinga mendengar serta mulut menjawab!

Soalan yang bermain di minda saya: “Apakah artis berebut-rebut nak keluarkan lagu Raya pada awal Ramadan agar dapat merebut gelaran ‘Lagu Raya 2026 Paling Tular’?”

Kadang naik bingung sebab banyak sangat judul lagu Raya yang hampir serupa – daripada Pok Pek Raya kepada Raya Pung Pang Lagi. Macam-macam frasa kekecohan nak beraya yang kita pelajari bagi menambah kosa kata kita.

Apa yang saya harapkan pada awal Ramadan adalah lagu yang boleh sahaja menyentuh tentang ragam manusia mahupun kesyahduan solat tarawih, sahur, iftar, bazar Ramadan dan bermacam lagi perihal bulan puasa dan mengamati nilai ketika berpuasa yang boleh disajikan.

Sebaliknya, kegembiraan nak sambut Lebaran yang masih jauh lebih ketara dan diuar-uarkan menerusi lagu Raya ini.

Kesan lagu sebagai penggerak kesedaran, seperti dalam lagu Lebaran lama dahulu, bagaikan dah tak wujud langsung dan hilang ditelan zaman.

Macam nak cipta sahaja lagu Haru-Biru Lagu Raya bagi merakam kekecewaan di hati.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg