Topik diikuti
Pergi ke BHkuKegagalan bukan noktah, SHO terus berjuang dalam bidang seni
Yakin identiti pentas kunci kekal diingati
Kegagalan bukan noktah, SHO terus berjuang dalam bidang seni
Tiada istilah putus asa dalam kamus kehidupan penyanyi tempatan, SHO.
Kegagalan melangkah lebih jauh dalam program realiti Astro, Big Stage X Rocketfuel, tidak mematahkan semangat penyanyi SHO, yang sebelum ini dikenali dengan nama pentas, Shai Othman.
Sebaliknya, beliau kembali mempertaruhkan bakat menerusi pertandingan nyanyian tempatan, Anugerah 2026, terbitan Mediacorp Suria.
Pada mulanya, SHO mengakui beliau tidak pernah merancang untuk menyertai Anugerah 2026, apatah lagi apabila usianya sudah mencecah 30 tahun.
Baginya, pertandingan itu lebih sesuai disertai ketika usia masih muda.
Bagaimanapun, pengalaman yang dikumpul sepanjang bergelar penyanyi membuatkan beliau yakin dengan kemampuan sendiri.
“Saya sebenarnya tidak pernah meletakkan sasaran untuk masuk pertandingan, Anugerah.
“Dalam fikiran saya, apabila sudah berusia 30 tahun, saya sudah mempunyai pengalaman (bertanding dalam peraduan muzik) yang cukup.
“Kalau umur saya masih 28 tahun, mungkin saya masih akan fikir untuk mencuba.
“Tetapi, ramai kawan saya yang memberi semangat.
“Mereka kata, ‘Masuklah, kau memang layak untuk Anugerah’,” kata Juara iSing Singapore 2018, dan Naib Juara Suara 2.0 (pertandingan anjuran Wisma Geylang Serai), itu kepada Berita Minggu (BM), baru-baru ini.
Wawancara ini diadakan sempena penyertaan SHO dalam pusingan saringan, Anugerah 2026: Top 40 Showcase – The Cut.
Lebih mengejutkan bagi SHO, ibu bapanya yang sebelum ini berharap beliau memberi tumpuan kepada kerjaya tetap akhirnya menggalakkan penyertaannya dalam pertandingan itu.
“Sebelum ini, ibu memang tidak menggalakkan saya menyertai Big Stage kerana tidak sanggup berjauhan dengan saya.
“Tetapi apabila ada Anugerah, dialah, termasuk ayah juga, yang paling memberi semangat dan menggalakkan saya menyertai pertandingan ini,” katanya lagi.
Namun begitu, rezeki tidak berpihak kepada SHO apabila beliau tidak tersenarai sebagai antara 14 peserta terbaik Anugerah 2026, yang bakal tampil di kaca televisyen menerusi Mediacorp Suria, mulai 25 Ogos.
Selepas lebih sedekad menggunakan nama pentas Shai Othman, SHO mengambil keputusan melakukan penjenamaan semula sebagai usaha membina identiti yang lebih kukuh dalam industri muzik.
Menurutnya, nama itu tidak lagi menggambarkan dirinya sebagai artis, selain terdapat ramai individu lain dalam industri yang turut menggunakan nama ‘Shai’.
Beliau kemudian meneliti bagaimana artis antarabangsa seperti SZA dan Kehlani, berjaya membina jenama menerusi nama pentas yang ringkas tetapi kuat, sehingga mudah dikenali peminat di seluruh dunia.
Pada masa sama, SHO mengakui beliau sedar setiap penghibur mempunyai kelebihan tersendiri.
Bagi dirinya, kekuatan itu bukan hanya terletak pada vokal, sebaliknya turut melibatkan karisma dan kehadiran di atas pentas yang mampu memikat perhatian penonton sejak detik pertama berkecimpung dalam bidang seni.
“Saya banyak memerhati artis-artis antarabangsa seperti SZA dan Kehlani.
“Saya sedar mereka bukan sekadar menghasilkan lagu, tetapi membina identiti yang kuat sehingga orang terus mengenali mereka.
“Saya juga mahukan identiti yang tersendiri.
“Bagi saya, menjadi penghibur bukan hanya tentang nyanyian, tetapi juga kehadiran di atas pentas dan cara membawa diri.
“Setiap kali ingin memulakan persembahan, saya akan berkata, ‘Sit back, relax and enjoy the SHO (show)’,” kata SHO.
Seterusnya, SHO akan membuat dua set persembahan sempena Hari Kebangsaan, SHO & The SHOBiz: CelebRED!, di Teater Luar DBS Foundation, Esplanade, pada 9 Ogos bermula 4.15 petang dan 8 malam.
Persembahan itu akan turut menampilkan penyanyi tempatan, Faiz Zikry.
