Di sebalik persembahan yang menghiburkan, kerjaya sebagai penyanyi kelab malam sering dibayangi pelbagai tanggapan dan stigma masyarakat.

Ada yang menganggap pekerjaan itu tidak mempunyai masa depan, malah ada juga yang memandang serong terhadap individu yang memilih mencari rezeki di pentas hiburan malam.

Hakikatnya, bagi sebahagian penyanyi tempatan, kerjaya itu menjadi antara sumber pendapatan yang membolehkan mereka terus berkarya dalam industri muzik Singapura yang serba mencabar.

Ikuti wawancara Berita Minggu (BM) bersama penyanyi, Izzan Adlan, 24 tahun, dan SHO, 30 tahun, yang pernah berpengalaman menyanyi di kelab malam tempatan, mengenai realiti sebenar pekerjaan itu.

Soalan (S): Apakah antara cabaran paling besar sepanjang menyanyi di kelab malam?

Izzan Adlan: Antara cabaran terbesar ialah berdepan dengan pelanggan yang bersikap kasar.

Ada yang sengaja mencari gaduh, dan sebagai pekerja saya perlu menahan diri daripada membalas.

Saya juga pernah menerima komen yang menyakitkan hati, seperti mengatakan suara saya tidak sedap atau rupa saya tidak menarik.

Sebagai penyanyi kelab malam, kami perlu belajar menerima pelbagai ragam pelanggan dan kekal profesional ketika membuat persembahan.

SHO: Ramai tidak tahu kerjaya kami bergantung kepada setiap persembahan.

Jika gagal memuaskan hati pelanggan, kami berisiko kehilangan pekerjaan dalam sekelip mata.

Ada yang tanpa segan silu mengkritik kami di hadapan orang ramai, sehingga membuatkan kami berasa malu dan dipandang rendah.

S: Pada pandangan anda, adakah stigma terhadap penyanyi kelab malam masih wujud?

SHO: Saya rasa stigma itu masih ada. Semasa saya menyanyi di kelab malam dahulu, antara tanggapan yang sering saya terima ialah saya perlu membuka tudung kerana kononnya itulah yang penonton mahu lihat.

Ada juga yang berkata lelaki akan lebih seronok jika saya tidak bertudung.

Bagi saya, itu bukan sebab saya berada di situ. Saya menyanyi kerana minat dan kerjaya.

Jika seseorang memilih saya kerana bakat, saya tidak perlu mengubah prinsip atau penampilan semata-mata untuk memenuhi kehendak orang lain.

Saya tidak pernah mengejar wang dengan cara itu. Tujuan saya hanyalah untuk menyanyi.

S: Bagaimana anda berdepan dengan tanggapan masyarakat terhadap kerjaya sebagai penyanyi kelab malam?

Izzan Adlan: Ramai menganggap penyanyi kelab malam tidak mempunyai kerjaya yang serius, sekadar bermain-main dan tidak memperoleh pendapatan yang baik.

Tanggapan itu bukan sahaja datang daripada orang luar, malah ada juga dalam kalangan ahli keluarga saya sendiri.

Pada mulanya, komen seperti itu memang memberi kesan kepada saya kerana saya berasa kerja kami dipandang rendah.

Hakikatnya, kami juga bekerja keras, berlatih dan membuat persiapan rapi untuk memberikan persembahan terbaik seperti mana-mana pekerjaan lain.

Namun, lama-kelamaan saya belajar untuk mengetepikan pandangan negatif itu.

Saya sedar saya tidak mampu mengubah persepsi semua orang, jadi lebih baik saya terus memberi tumpuan kepada kerja dan membuktikan kemampuan melalui usaha sendiri.

SHO: Dalam konteks Singapura, saya memahami mengapa ramai memilih untuk menyanyi di kelab malam.

Bagi sesetengah penyanyi tempatan, ia merupakan antara sumber pendapatan yang lebih stabil memandangkan peluang dalam industri muzik tempatan agak terhad.

Sebab itu, saya percaya kerjaya ini juga wajar dihormati seperti pekerjaan lain.