Topik diikuti
Pergi ke BHkuNaik bas ke KL selepas kerja, SHO nekad uji bakat ‘Big Stage 2026’
Naik bas ke KL selepas kerja, SHO nekad uji bakat ‘Big Stage 2026’
Kematangan usia tidak patah semangat bakat S’pura terus kejar impian seni
Naik bas ke KL selepas kerja, SHO nekad uji bakat ‘Big Stage 2026’
Ketika jarum jam menunjukkan 11 malam pada 1 Mei, penyanyi tempatan, SHO, tidak terus pulang sebaik persembahan malamnya berakhir.
Sebaliknya, SHO, atau nama sebenarnya, Nur Shahirah Othman, 30 tahun, yang sebelum ini bekerja sebagai penyanyi kelab malam, bergegas ke stesen MRT Lavender untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur (KL), demi menghadiri sesi uji bakat bagi program realiti popular Malaysia, Big Stage 2026, terbitan Astro.
“Sebenarnya, ini kerja ‘gila’!
“Saya dan kawan saya, Fizzy, yang juga seorang pemuzik, habis kerja terus ke stesen bas dan merancang ke KL pada tengah malam untuk menghadiri sesi uji bakat Big Stage pada keesokan harinya (2 Mei).
“Rancangannya nak tidur dalam perjalanan supaya segar untuk uji bakat. Malangnya, bas yang kami tunggu tiba lewat kira-kira dua jam.
“Setibanya di KL, kami tidak mempunyai banyak masa untuk berehat kerana perlu terus bersiap ke tempat uji bakat,” katanya, ketika dihubungi Berita Minggu (BM) menerusi panggilan telefon, baru-baru ini.
Sesi uji bakat Big Stage 2026 diadakan pada 2 dan 3 Mei, dari 8 pagi hingga 11 malam, di Hotel Moxy, sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur.
Sepanjang perjalanan, SHO, yang sebelum ini dikenali dengan nama pentas, Shai Othman, memberitahu BM beliau sukar melelapkan mata.
Sedang penumpang lain lena dalam perjalanan, Naib Juara Suara 2.0, pertandingan anjuran Wisma Geylang Serai (WGS) itu pula tekun menghafal lagu Gundah, nyanyian asal Ernie Zakri, sebagai persiapan.
Bagaimanapun, rancangan itu berubah pada saat-saat akhir apabila beliau memilih menyampaikan lagu Inggeris, I Want To Dance With Somebody, nyanyian asal Whitney Houston, yang dianggapnya sebagai ‘lagu pembawa tuah’.
Sebenarnya, menyertai peraduan di peringkat antarabangsa bukan sesuatu yang asing buat SHO, yang pernah menjadi juara iSing Singapore 2018 dan mewakili negara ke Perancis bagi iSing World.
Kali ini pula, beliau bertemu dengan barisan penilai bagi sesi uji bakat Big Stage 2026 termasuk, penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini, 38 tahun, serta guru vokal, Syafizawati Sharif, 49 tahun, yang lebih mesra disapa, Cikgu Shafi.
Perjalanan yang memakan masa sekitar lima jam itu akhirnya membawa Shai ke lokasi uji bakat sekitar 9 pagi.
Beliau juga disertai dua lagi bakat muda tempatan iaitu, Faiz Zikry, 26 tahun, dan Syaz Smooth, 20 tahun.
Bagi sesetengah orang, pengorbanan itu mungkin dianggap terlalu nekad.
Namun begitu, bagi SHO, yang genap berusia 30 tahun pada 4 Jun, cabaran tersebut dilihat sebagai sebahagian perjalanan untuk mengembangkan lagi kerjaya seninya.
Bahkan, beliau juga sanggup meninggalkan kerjaya sebagai penyanyi kelab malam untuk mengejar impian yang lebih besar dalam dunia seni.
“Saya pernah meninggalkan pekerjaan sepenuh masa sebagai pegawai khidmat pelanggan untuk menjadi penyanyi kelab malam selama dua tahun.
“Banyak pengalaman yang saya pelajari, tetapi akhirnya saya sedar kehidupan bekerja pada waktu malam bukan lagi untuk saya.
“Saya mahu mencabar diri dan mencari peluang baharu untuk berkembang sebagai penyanyi,” ujar SHO, yang berhasil mengadakan persembahan sendiri di pusat seni, Esplanade, pada 2025 dan 2026.
Keputusan menyertai Big Stage 2026 juga didorong kejayaan beberapa penyanyi wanita Singapura yang pernah mencipta nama di Malaysia seperti Aisyah Aziz dan Rahila Rashun.
Kededuanya pernah menyertai program realiti, Akademi Fantasia (AF), pada 2013 (Aisyah) dan 2016 (Rahila).
Baginya, sudah tiba masa untuk ada wakil penyanyi wanita asal Kota Singa di seberang Tambak lagi.
Namun di sebalik keberanian itu, SHO mengakui beliau masih bergelut dengan rasa kurang yakin terhadap penampilannya.
“Penampilan memang antara perkara yang selalu membuatkan saya berasa tidak yakin.
“Walaupun industri hiburan semakin terbuka, stigma terhadap individu berbadan besar masih ada.
“Ada kalanya, saya rasa orang lebih cenderung melihat bentuk fizikal seseorang terlebih dahulu sebelum menghargai bakat yang ada.
“Mungkin kerana itu juga saya memilih untuk tampil lebih berani dan berbeza supaya mudah diingati orang ramai.
“Saya melihat bagaimana Aina Abdul berjaya mencipta identiti tersendiri. Orang bukan sahaja mengenalinya kerana vokal yang hebat, malah kerana gaya dan imej yang unik,” kongsinya.
Kini berada dalam kelompok 100 peserta terbaik yang berjaya melepasi peringkat awal Big Stage 2026, SHO masih menanti sama ada namanya bakal disenarai dalam kalangan peserta yang bakal berentap di pentas televisyen.
Sekiranya peluang itu tidak berpihak kepadanya, SHO menerimanya dengan hati terbuka kerana masih ada rakan senegara lain yang berpeluang membawa nama Singapura ke pentas lebih besar.
“Pada usia 30 tahun, saya sedar saya sudah mencapai banyak perkara yang dahulu hanya saya impikan.
“Kalau tidak terpilih sekali pun, saya akan memberi tumpuan menghasilkan album dan lagu, sekali gus membina nama saya sendiri.
“Saya cuma mahu orang tahu saya wujud, dan bakat saya cukup besar untuk dikenali,” kata SHO.
