Topic followed successfully
Go to BHkuFaiz Zikry rela genggam bara api buru impian seni
Faiz Zikry rela genggam bara api buru impian seni
Bakat tular di TikTok hargai peluang rakam lagu pertama ‘Cinta Bukan Mainan’ di bawah label Universal Music
Faiz Zikry rela genggam bara api buru impian seni
Impian menjadi seorang penyanyi berjaya tidak akan menjadi kenyataan hanya dengan bakat kurniaan Yang Maha Esa.
Ia turut memerlukan dedikasi, kerja keras dan usaha gigih mencapai kejayaan dalam industri hiburan yang mencabar.
Bak kata pepatah, genggam bara api, biar sampai jadi arang.
Itulah semangat yang diterapkan penyanyi Singapura, Faiz Zikry, 26 tahun, dalam perjalanan seninya.
Bermula dengan menghasilkan video nyanyian di wadah media sosial, TikTok secara aktif pada 2020, Faiz atau nama sebenarnya, Faiz Zikry Abdul Fattah, bersyukur akhirnya dilamar label rakaman, Universal Music, untuk mengeluarkan lagu pertamanya.
Sebelum ini, video ‘cover’ beliau bagi lagu, Dawai, oleh Fadhilah Intan, pada Oktober 2023 pernah tular dan menerima sehingga 2.7 juta tontonan di TikTok.
“Ia merupakan impian saya untuk mengeluarkan lagu sendiri sejak menceburi bidang muzik secara serius.
“Alhamdulillah, bakat saya telah dicungkil oleh pihak Universal Music dan mereka menawarkan saya peluang untuk merakam lagu pertama saya, Cinta Bukan Mainan.
“Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan dua pemuzik dari Malaysia, iaitu Amsyar Razqa dan Emeer Bakri,” kongsi Faiz kepada Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Namun, peluang keemasan itu turut datang dengan cabaran tersendiri.
Disebabkan beliau bekerjasama dengan pihak penerbitan dari seberang Tambak, Faiz terpaksa berulang-alik antara Singapura dengan Kuala Lumpur (KL), Malaysia, dari Januari hingga Mei 2025.
“Pada mulanya, saya ke KL untuk mendengar lagunya dahulu dan jika ia sesuai dengan suara saya.
“Selepas itu, saya membuat rakaman di studio pada Mac.
“Ia merupakan pengalaman yang mencabar untuk menjaga suara kerana ketika itu merupakan bulan Ramadan.
“Saya kembali ke KL sekali lagi pada Mei untuk merakamkan video muzik.
“Proses menghasilkan lagu itu satu pengalaman yang memenatkan, namun setelah melihat hasilnya, saya berasa amat berpuas hati,” kongsi Faiz yang bekerja dalam bidang perkhidmatan pelanggan secara sambilan.
Lagu, Cinta Bukan Mainan, yang dikeluarkan pada 16 Januari lalu telah mencatat prestasi membanggakan di wadah penstriman Spotify dengan meraih 45,396 penstriman sejauh ini, dengan ramai pendengar dari Malaysia dan Indonesia.
Ia turut diputarkan di stesen radio popular Malaysia, Era FM, dan berjaya memasuki senarai undian bagi carta, ‘Lagu Baru Nak Up’, di stesen radio tersebut.
Faiz mengakui irama dan lirik lagu yang mudah difahami turut menjadi antara faktor ia berjaya memikat hati pendengar.
“Maklum balas yang diterima setakat ini sangat positif dan pendengar di Malaysia turut menerima baik lagunya.
“Ramai yang berkata kepada saya mereka suka dengan irama di bahagian korus dan bridge (sebelum korus) kerana ia mudah diingati.
“Ada yang berkongsi video mereka menyanyikan bait lirik lagu itu yang menyentuh hati di media sosial,” jelasnya, yang pernah menyertai pertandingan nyanyian tempatan, Kaki Nyanyi, pada 2024.
Baru-baru ini, Faiz turut menjadi salah seorang selebriti yang terlibat dalam program Raya, Sinar Lebaran 2026, oleh Mediacorp Suria.
Beliau berduet dengan penyanyi Singapura, SHO, bagi lagu Raya terkenal, Meriah Lain Macam (nyanyian asal Hael Husaini dan Nadeera).
Mengulas mengenai penglibatannya dalam program tersebut, Faiz berkata dirinya teruja dapat berkongsi pentas dengan penyanyi mapan seperti Iskandar Ismail, Taufik Batisah, Othman Hamzah dan maestro muzik, Datuk M Nasir.
“Ia seperti satu impian saya untuk berkongsi pentas dengan penyanyi mapan seperti mereka. Saya amat berbesar hati diberi peluang ini dan dapat juga berduet dengan rakan baik saya, SHO.
“Kami berdua pernah menyanyi dalam koir kanak-kanak bersama ketika berusia 10 tahun, jadi persembahan kali ini membangkitkan rasa nostalgia,” ceritanya, yang turut membuat persembahan bagi program amal, Projek Kasih, pada Januari lalu (2026).
Ditanya mengenai perjalanan seninya setakat ini, Faiz berkata beliau bersyukur dengan setiap peluang yang diterima untuk berkongsi bakatnya.
“Mungkin ada yang berpendapat pada usia 26 tahun, ia agak lewat untuk menempa nama dalam industri muzik. Namun, saya percaya dengan rezeki yang sudah diatur.
“Saya sangat beruntung diberikan peluang ini dan saya tidak akan sia-siakannya.
“Alhamdulillah, dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya mahu melakukan yang terbaik.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan lebih ramai pemuzik dari luar negara dan pastinya, antara impian saya adalah berduet dengan penyanyi dari Malaysia atau Indonesia,” ujarnya, yang kini dalam perbincangan dengan pihak penerbitan bagi lagu keduanya. – HAKIM NORMAN HASSAN
‘Sinar Lebaran 2026’ boleh ditonton di mewatch dan YouTube Mediacorp Entertainment.

