Selepas menjalani Perkhidmatan Negara (NS), penyanyi muda Singapura, Syaz Smooth, tidak mempunyai hasrat mencuba nasib dalam sebarang pertandingan nyanyian lagi.

Namun, keyakinan yang diberikan kedua ibu bapanya, yang sentiasa berada di sisi sejak beliau menyertai pertandingan realiti, Asia’s Got Talent, pada 2017, mendorong Syaz, atau nama sebenarnya, Syah Riszuan Huslan, 20 tahun, untuk cuba menyerlahkan bakat dalam program terbitan Astro, Big Stage 2026.

Kenangan terhadap arwah abangnya, Allahyarham Mohammad Shahfiq Irman, yang juga Juara Anugerah 2017, turut menjadi pembakar semangat buat Syaz.

Mereka pernah sama-sama menonton Big Stage di kaca televisyen dan berangan-angan untuk melihat salah seorang daripada mereka beraksi di pentas tersebut.

Impian itu, bagaimanapun, tidak kesampaian apabila Allahyarham Shahfiq meninggal dunia akibat satu kemalangan jalan raya di Pagoh, Malaysia, pada 2024.

“Kenangan bersama arwah abang banyak mempengaruhi keputusan saya untuk menyertai Big Stage kali ini.

“Kami pernah sama-sama menonton program itu dan berangan-angan untuk melihat salah seorang daripada kami berada di sana.

“Sebab itu saya memberanikan diri untuk mencuba. Walaupun perasaan gementar sentiasa ada, saya percaya pada usaha dan latihan yang telah dilakukan.

“Saya bukanlah seseorang yang gemar menyertai banyak pertandingan, tetapi saya suka mencabar diri dengan pengalaman yang boleh membantu saya berkembang.

“Saya percaya Big Stage dapat memberi banyak pelajaran, terutama dari segi disiplin dan komitmen sebagai penghibur,” katanya kepada Berita Minggu (BM), ketika dihubungi melalui WhatsApp, baru-baru ini.

Sesi uji bakat Big Stage 2026 diadakan pada 2 dan 3 Mei, dari 8 pagi hingga 11 malam, di Hotel Moxy, sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur, Malaysia.

Syaz merupakan peserta Singapura pertama yang menghadiri sesi uji bakat itu, pada 2 Mei, seawal 8 pagi, ditemani ibu bapanya.

Beliau turut melihat penyertaannya dalam program itu sebagai peluang untuk menguji kemampuan diri sambil menimba pengalaman dalam industri hiburan, yang disifatkan sebagai menawarkan ruang lebih luas kepada bakat baharu untuk berkembang.

“Saya rasa antara perkara paling menarik adalah peluang dan sokongan yang diberikan kepada artis. Suasananya agak berbeza berbanding di Singapura.

“Di sana, peluang untuk berkarya dan mengembangkan bakat lebih luas, manakala sokongan daripada industri dan penonton juga sangat menggalakkan.

“Sebagai artis muda, ia memberi semangat bagi saya untuk terus mencuba dan melangkah lebih jauh,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berpandangan Singapura tidak ketandusan bakat, namun ramai artis muda masih bergelut untuk mendapatkan ruang dan pendedahan yang mampu membantu mereka menyerlah.

Bagi Faiz Zikry pula, peluang menghadiri sesi uji bakat Big Stage 2026, hadir bersama satu ujian yang tidak dijangka.

Penyanyi berusia 26 tahun itu terpaksa mengharungi perjalanan yang memakan masa hampir 12 jam dari Singapura ke Kuala Lumpur, akibat kesesakan luar biasa sempena cuti umum Hari Pekerja, yang jatuh pada 1 Mei.

Kejayaan penyanyi Singapura seperti Izat Ibrahim dan Farhan Shah, yang sebelum ini pernah menyertai program Big Stage, pada 2023 (Farhan) dan 2025 (Izat), sememangnya menjadi antara sumber inspirasi untuk beliau mencuba nasib dalam pertandingan berkenaan.

Apatah lagi setelah Izat, 35 tahun – yang juga merupakan sahabatnya – memenangi tempat keenam dalam Big Stage Alpha: Gelombang Dominasi, dan menjadi salah seorang anggota boyband terbaharu, Alpha, yang diuruskan syarikat pengurusan, Rocketfuel Entertainment.

“Kalau diberi peluang melangkah lebih jauh dalam pertandingan ini, saya juga mahu membawa nama Singapura seperti mereka (Izat dan Farhan).

“Pada masa sama, saya memang sudah mengikuti Big Stage sejak musim pertama (2018) lagi.

“Saya sentiasa melihat program ini sebagai wadah yang baik untuk bakat baharu memperkenalkan diri kepada masyarakat lebih luas.

“Selain itu, pertandingan seperti ini juga membuka ruang kepada pencipta kandungan dan personaliti media sosial untuk menceburi industri muzik secara lebih serius,” katanya, yang mula menghasilkan video nyanyian di wadah media sosial, TikTok secara aktif sejak 2020.

Baru-baru ini, beliau juga dilamar label rakaman, Universal Music (UM), untuk mengeluarkan lagu sulungnya, Cinta Bukan Mainan.

Faiz, yang turut mendapat sokongan daripada UM, merupakan antara 100 peserta terbaik yang berjaya melepasi peringkat awal Big Stage 2026.

Kini, beliau hanya menanti pengumuman sama ada akan terpilih sebagai antara peserta yang bakal bersaing di pentas utama program tersebut.

Turut berada dalam kelompok sama ialah dua lagi wakil Singapura, iaitu Syaz dan SHO.

Selain Syaz dan Faiz, penyanyi berbadan kecil molek, Sarah Syazlina, 21 tahun, juga antara bakat muda Singapura yang mencuba nasib dalam Big Stage 2026, menerusi sesi uji bakat pada 3 Mei.

Beliau, yang bakatnya dikesan melalui peraduan adu bakat kanak-kanak, Juara Mic Junior, di Mediacorp Suria, pada 2018, menganggap penyertaan dalam Big Stage 2026 menjadi peluang mencabar dirinya di luar zon selesa.

Meskipun tidak tersenarai dalam 100 peserta terbaik, Sarah akur berdepan rasa ragu terhadap kemampuan diri sendiri semasa uji bakat, terutama apabila berada dalam kalangan peserta berbakat dari pelbagai negara.

Namun begitu, pengalaman itu mengajarnya untuk melihat pertandingan dari sudut berbeza.

“Saya sedar tahap persaingan dan jangkaan dalam pertandingan ini sangat tinggi.

“Apa pun, saya sentiasa mengingatkan diri untuk kekal berpijak di bumi nyata dan memberi tumpuan kepada perkembangan diri sendiri daripada membandingkan diri dengan peserta lain,” ujarnya.

Selain itu, Sarah melihat peningkatan jumlah artis Singapura yang cuba menembusi pasaran Malaysia sebagai perkembangan yang positif buat industri muzik serantau.

Menurutnya, persaingan sihat bukan sahaja mendorong artis terus memperbaiki diri, malah membantu meningkatkan mutu dan tahap seni secara keseluruhan.

“Saya melihat perkara ini sebagai sesuatu yang positif. Persaingan yang sihat menggalakkan semua orang untuk terus berkembang dan meningkatkan mutu seni masing-masing.

“Walaupun persaingan di Malaysia cukup sengit, saya yakin masih ada ruang untuk artis muda yang benar-benar serius untuk membina nama di sana.

“Lebih penting lagi, ia membuka peluang kepada kerjasama dan pertukaran budaya yang lebih erat antara Singapura dan Malaysia, sekali gus membuka ruang untuk saling belajar dan memberi inspirasi antara satu sama lain,” kata Sarah.