Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Janji manis’ jerat Izzan Adlan tertipu dalam industri muzik
Penyertaan dalam ‘Anugerah 2026’, jadi buah tangan penyanyi ‘MehSini’ buat ibu tercinta
‘Janji manis’ jerat Izzan Adlan tertipu dalam industri muzik
Pengalaman diperdaya oleh seorang individu berpengaruh dalam industri muzik tempatan menjadi titik perubahan buat penyanyi muda, Izzan Adlan.
Ketika itu, pada usia 17 tahun, beliau masih hijau dan belum sepenuhnya memahami selok-belok dunia seni.
Mengakui dirinya mudah percaya kerana kurang pengalaman, Izzan, 24 tahun, akur kejadian tersebut akhirnya menjadi pengajaran paling berharga sepanjang bergelar penyanyi, sekali gus mematangkan dirinya dalam mengharungi cabaran industri.
“Pada peringkat awal, segala-galanya kedengaran begitu indah.
“Yang diceritakan hanyalah perkara yang baik, manakala syarat atau perkara merugikan pula diketahui kemudian.
“Pada saat itu, saya fikir peluang mencipta lagu sendiri umpama datang sekali seumur hidup.
“Disebabkan terlalu teruja, saya langsung tidak terfikir untuk bertanya tentang perkara penting yang mungkin memberi kesan kepada saya.
“Sepatutnya, kita perlu mendapatkan penjelasan lebih awal mengenai soal royalti, hak cipta, hak komposer dan penulis lirik, serta pemilikan karya.
“Sebenarnya, saya tulis dan gubah lagu sendiri, namun pihak berkenaan yang mahu meletakkan namanya sebagai komposer dan penulis lirik.
“Mengenang kembali perkara itu, ia tidak seharusnya berlaku seperti itu. Makanya, bakat baharu perlu meneliti setiap tawaran yang diterima.
“Jangan mudah terpedaya dengan janji manis dan jangan takut untuk bertanya demi mempertahankan hak sendiri,” katanya kepada Berita Minggu (BM) ketika ditemui di Mediacorp Campus, sempena pusingan saringan, Anugerah 2026: Top 40 Showcase – The Cut, baru-baru ini.
Dalam persembahan itu, Izzan membawakan lagu, Mangu, nyanyian kumpulan asal Indonesia, Fourtwnty.
Kini, Izzan, yang bakal bertanding dalam program realiti, Anugerah 2026, terbitan Mediacorp Suria, bersyukur kerana berpeluang mendapat bimbingan daripada penyanyi, guru vokal, usahawan muzik dan penggubah lagu tempatan, Nana Karia.
Sejak 2024, bakat nyanyian Izzan terus diasah menerusi penglibatannya dalam kumpulan yang diurus Nana, TNT Live Band, dan sering membuat persembahan di kelab malam Warehouse Clarke Quay, Changi Sailing Club dan Le Noir Marina Bay Sands.
Izzan menggalas peranan sebagai vokalis dan pemain gitar kedua, manakala Nana mengetuai persembahan selaku penyanyi utama dan pengacara.
Turut membarisi kumpulan itu ialah, Kirk Haiqel (penerbit, pemain gitar utama dan penyanyi latar), dan Adly (pemain dram).
Sepanjang bergelar anak didik Nana, Izzan mengakui banyak perubahan berlaku dalam dirinya.
Selain mengasah bakat nyanyian, beliau turut dididik untuk lebih berdisiplin dan menghargai masa.
“Pada awalnya, kelemahan terbesar saya ialah sikap tidak menepati masa. Saya memang sering lewat ke mana-mana.
“Apabila mula bekerja dengan Kak Nana (panggilan buat Nana), saya pernah datang lewat sehingga satu jam!
“Ketika saya tiba, semua orang dah sampai, makan dan selesai membuat persiapan.
“Itulah antara waktu saya melihat Kak Nana betul-betul marah pada saya. Beliau menegur saya dengan tegas, dan sejujurnya, saya agak takut.
“Kak Nana tidak pernah meninggikan suara, tetapi kata-kata yang diucapkan cukup membuatkan saya berasa gerun kerana semuanya benar dan memberi kesan yang mendalam kepada saya.
“Daripada situ saya sedar jika mahu bertahan dalam industri ini, disiplin amat penting.
“Bakat dan suara yang baik sahaja tidak mencukupi. Kita juga perlu menghormati masa dan menunjukkan komitmen terhadap kerja,” katanya lagi.
Menurut Izzan, penyertaan dalam Anugerah 2026 menjadi langkah penting untuk merealisasikan impian yang dipendam sejak kecil, selain mencontohi perjalanan seni idolanya, Aliff Aziz, yang banyak memberi inspirasi kepadanya.
“Penyertaan dalam Anugerah 2026 bukan kerana saya mahu keluar daripada bayang-bayang Kak Nana atau TNT Live Band.
“Sebaliknya, ia memang impian yang saya simpan sejak dahulu lagi.
“Sejak kecil, saya mengagumi perjalanan seni Aliff Aziz. Bukan dari sudut kehidupan peribadinya, tetapi kerjayanya sebagai artis.
“Pada pandangan saya, beliau seorang pemuzik dan penyanyi yang sangat berbakat.
“Perjalanan seninya juga cukup memberi inspirasi apabila bermula menerusi Anugerah, kemudian berjaya menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman, Sony Music, menghasilkan lagu hit dan mengembangkan bakat dalam bidang lakonan.
“Itulah perjalanan seni yang saya impikan. Saya berharap dapat membina kerjaya muzik yang berjaya seperti beliau,” ungkap penyanyi lagu, MehSini, Antara Kau Dan Aku dan Lemas, itu.
Izzan akur setiap langkah yang diambil dalam dunia seni bukan sekadar untuk dirinya, malah sebagai usaha membanggakan insan yang paling banyak berkorban buatnya, terutama ibunya yang kini sedang menghidap angin ahmar.
“Harapan terbesar saya adalah untuk membanggakan ibu.
“Saya sedar saya bukanlah seorang yang cemerlang dalam akademik, tetapi muzik ialah satu-satunya bidang yang saya mahir.
“Kejayaan dalam bidang ini menjadi cara saya membalas segala pengorbanan ibu.
“Lebih-lebih lagi sekarang, apabila keadaan kesihatannya tidak begitu baik.
“Selagi masih diberi peluang bersama beliau, saya mahu memberikan sesuatu yang boleh membuatnya bangga,” kata Izzan.
Sementara itu, persembahan Izzan dalam Anugerah 2026: Top 40 Showcase – The Cut, boleh ditonton di aplikasi mewatch, atau laman YouTube Mediacorp Entertainment.
Anugerah akan mula bersiaran pada 25 Ogos menerusi saluran Mediacorp Suria, dan aplikasi mewatch, setiap Selasa, pada 8.30 malam.
