Topic followed successfully
Go to BHkuDayang ikut arus semasa, fahami cita rasa pendengar
Dayang ikut arus semasa, fahami cita rasa pendengar
Penyanyi lagu ‘Tak Pernah Menyerah’ terap penggunaan teknologi, kekalkan identiti tersendiri
Dayang ikut arus semasa, fahami cita rasa pendengar
Sebagai anak seni yang pernah menghasilkan album lagu dalam bentuk kaset, penyanyi Malaysia, Dayang Nurfaizah, 44 tahun, melihat sendiri bagaimana teknologi telah membawa perubahan besar dalam industri muzik Nusantara.
Justeru, penyanyi yang dikenali dengan lagu, Seandainya Masih Ada Cinta, itu terbuka untuk terus memperbaiki diri dengan menerapkan kegunaan teknologi dalam karyanya sambil mengikut cara bekerja pemuzik masa kini.
“Kita harus bersikap terbuka untuk mempelajari sesuatu yang baru daripada pemuzik muda.
“Dengan adanya teknologi, cara seorang penyanyi memilih lagu yang sesuai juga berbeza.
“Dahulu, kita hanya dapat mendengar lagu yang ditawarkan melalui demo tape (pita ragaan) dan kita terus ke studio untuk membuat rakaman.
“Kini, penyanyi mempunyai kelebihan untuk meminta keizinan daripada penggubah lagu bagi merakam satu rangkap daripada lagu yang ditawarkan jika mereka belum pasti ia sesuai bagi suara mereka,” kongsi Dayang yang dikenali dengan lagu balada dan R&B kontemporari kepada Berita Harian (BH).
Beliau yang terbuka untuk bekerjasama dengan pemuzik baru dan mapan turut cuba memahami cita rasa pendengar masa kini.
“Kita tidak perlu lagi mengeluarkan album yang memuatkan hingga 13 atau 14 lagu.
“Sekarang kita boleh keluarkan EP (extended play) atau album mini dengan enam lagu yang dilancarkan dalam talian.
“Setiap lagu mempunyai kekuatan tersendiri dan tiada lagu tambahan sekadar ‘pengisi’ album.
“Ia turut menjimatkan perbelanjaan kerana tidak ada banyak tempat yang masih menghasilkan CD (cakera padat) fizikal,” cerita Dayang yang mengeluarkan album, Janji, pada November 2024.
Dalam satu video promosi bagi album, Janji, di akaun Instagram miliknya, Dayang berkata kepada peminatnya bahawa ia mungkin album terakhirnya yang dikeluarkan dalam bentuk CD kerana ia semakin sukar untuk menghasilkan CD fizikal.
Mengakui kegunaan kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang dalam industri seni, Dayang berkata dirinya tidak menolak alat teknologi itu.
Namun, beliau menggalak orang ramai supaya menghormati hak milik cipta penggiat seni yang telah bertungkus lumus menghasilkan karya seni menggunakan kreativiti sendiri.
“Sejujurnya, AI ada kebaikannya. Saya rasa tidak ada masalah untuk menjana idea dengan menggunakan AI.
“Namun, sesebuah karya seni tetap memerlukan sentuhan manusia untuk membuatnya lebih bermutu, autentik dan diingati pendengar buat jangka masa yang lama,” ujarnya yang telah bekerjasama dengan bakat muda, Aisha Retno dan Radi Saipulijan, bagi lagu, Mungkin Ke?.
Dayang turut berkongsi lagu pertamanya, Hakikat Cinta (1999), hasil ciptaan Allahyarham Adnan Abu Hassan, dan seni kata tulisan, Hani MJ, merupakan antara lagu yang dekat di hatinya dan seperti ‘cinta pertama’ buat dirinya.
“Alhamdulillah lagu itu masih mendapat sambutan hingga kini dan dikenali generasi muda.
“Saya rakam lagu itu ketika berusia 17 tahun dan saya masih mengingati detik kali pertama saya menjejakkan kaki ke studio rakaman.
“Ia satu pengalaman yang tidak dapat saya melupakan apabila saya menerima kaset itu daripada pihak penerbitan,” ceritanya yang turut merakamkan semula lagu itu pada 2024.
Menyentuh mengenai fesyen pakaiannya yang elegan dan sering mendapat maklum balas positif daripada netizen, Dayang berkata dirinya bersyukur mempunyai pasukan pereka fesyen dan tatarias yang memahami personalitinya.
“Dahulu, saya telah cuba pelbagai gaya fesyen yang berbeza. Lama-kelamaan, saya ketahui apa yang sesuai untuk diri saya.
“Pasukan saya sering memberi idea menarik. Saya hanya perlu katakan ia untuk acara tertentu seperti konsert, majlis penganugerahan dan sebagainya,” cerita Dayang yang sering dilihat menggayakan busana dalam rona warna hitam, putih, merah dan emas.
Beliau sering bekerjasama dengan jenama, Datuk Rizalman Ibrahim, yang kini diuruskan oleh pereka fesyen, Faizul Surani.
Ditanya mengenai nasihat buat anak muda yang ingin berkecimpung dalam bidang muzik, Dayang berkata mereka harus mempunyai semangat yang kuat selain percaya dengan kebolehan sendiri.
“Saya mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang penyanyi sejak usia 12 tahun. Alhamdulillah, saya masih berkarya hingga kini.
“Kita perlu kuat kerana pasti ada komen dan teguran yang mungkin menggores hati. Tetapi, satu ayat atau perkataan negatif itu tidak menentukan masa depan kita.
“Kita hanya boleh pandang ke hadapan dan terus berusaha,” tambah Dayang yang pernah dinobatkan sebagai Vokal Terbaik di pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) selama tiga tahun berturut-turut dari 2014 hingga 2016.

