Topic followed successfully
Go to BHkuLagu ‘Lebaran Bersinar’ Rudy Djoe sentuhan irama bosa nova
Lagu ‘Lebaran Bersinar’ Rudy Djoe sentuhan irama bosa nova
Lagu ‘Lebaran Bersinar’ Rudy Djoe sentuhan irama bosa nova
Sambil menghirup kopi ‘ireng’ atau hitam, anak seni Singapura, Rudy Djoe, membiarkan jiwanya ‘tenggelam’ dalam lagu berentak bosa nova klasik yang mengasyikkan, No More Blues, ciptaan komposer Brazil, Antonio Carlos Jobim.
Namun, hatinya terdetik ingin bereksperimen dengan irama bosa nova bagi sebuah lagu Hari Raya, Lebaran Bersinar, pada Disember 2025.
Rudy Djoe, 46 tahun, atau nama sebenarnya, Rudy Djoharnaen Mohamed Hussain, menyifatkan itulah masa untuknya keluar daripada kebiasaan mencipta lagu Raya berirama tradisional.
Beliau yang turut meminati irama jaz ketika dihubungi Berita Harian (BH), berkata:
“Saya rasakan irama bosa nova sangat sesuai kerana ia lembut, santai tetapi tetap indah.
“Ia memberi satu warna yang berbeza kepada lagu Raya, namun masih membawa rasa hangat dan nostalgia yang sinonim dengan suasana Syawal.”
Rudy yang mencipta nama sebagai juara Anugerah 1999 pada usia muda 19 tahun, membayangkan suasana pagi Syawal, cahaya matahari yang lembut, rumah yang dipenuhi kaum keluarga dan sanak saudara, juadah enak dan detik saling bermaafan demi meraih ketenangan dan kemenangan pada hari mulia.
“Seperti bait lirik lagu yang saya tulis: “Hari Lebaran hari yang mulia, Insan bersama penuh gembira, maaf dipinta kasih terbina, Syawal tiba, rahmat melimpah...”, saya mahu lagu ini membawa perasaan yang menenangkan, bukan sekadar meriah.
“Ada unsur kegembiraan, tetapi juga rasa syukur dan kedamaian setelah membersihkan jiwa lewat ibadah di bulan Ramadan.
“Gaya vokal saya juga tenang dan santai sesuai dengan irama bosa nova,” ceritanya.
Sehingga akhbar ini diterbitkan, video muzik, Lebaran Bersinar, sudah ditonton hampir 24,000 kali di YouTube sejak dimuatnaikkan dua minggu lalu.
Ia juga boleh didengar di wadah penstriman Spotify.
Sebelum ini, bapa dua anak berusia lapan dan lima tahun itu telah mencipta empat lagu Raya berentak inang dan joget.
Lagu tersebut ialah Syawal Nan Mulia (kerjasama dengan kumpulan vokal Melayu dari Indonesia, Rampai Harmoni); Mak Inang Lebaran (bersama Rampai Harmoni); Juadah Lebaran (Rampai Harmoni); serta Joget Juadah Lebaran (duet bersama Rahimah Rahim).
Ditanya apakah yang dititikberatkan ketika menghasilkan lagu Raya mahupun iramanya, Rudy menjelaskan beliau menekankan kejujuran emosi.
“Lagu Raya yang baik bukan sekadar ceria atau syahdu, bahkan juga harus mempunyai jiwa, rasa syukur, kasih sayang dan juga keinsafan.
“Saya juga cuba menulis seni kata yang mudah difahami dan mudah dinyanyikan supaya pendengar boleh benar-benar rasai maksudnya.
“Dari segi melodi pula, saya suka sesuatu yang mudah diingati tetapi tetap elok dan kemas, supaya lagu itu boleh kekal segar didengar walaupun selepas bertahun lamanya.
“Bagi saya, seni kata ialah jalan cerita, manakala melodi pula ialah warna kepada cerita tersebut.
“Apabila kedua-duanya bersatu dengan baik, barulah sebuah lagu itu benar-benar hidup,” tambahnya.
Beliau akur dirinya bukan pencipta lagu yang hebat, tetapi niatnya hanya meluahkan apa yang dirasakan secara jujur dengan penuh keyakinan.
“Bagi saya, keikhlasan itu paling penting dalam sesebuah karya.
“Yang seronok tentang lagu Raya yang saya cipta ini adalah ia mampu membawa kembali kenangan manis dan nostalgia.
“Bila lagu Raya dimainkan, suasana serta-merta berubah. Orang tersenyum, terkenang keluarga, orang tersayang dan rasakan kehangatan suasana Syawal,” katanya.
Dalam Lebaran Bersinar, Rudy juga cuba memberi sedikit kelainan melalui sentuhan muzik yang lembut dan santai dengan ‘groove’ (kesinambungan melodi yang sedap didengar) yang menyenangkan.
“Lagu ini juga tidak terlalu panjang supaya tidak terasa meleret,
“Saya harap apabila orang mendengarnya, mereka boleh menyanyi bersama dan secara spontan mengikut rentak muziknya, mungkin sambil menggoyangkan badan sedikit mengikut ‘groove’ dan ‘vibe’ lagu ini,” jelasnya.

