Dalam kalangan artis, kecantikan hari ini bukan lagi sekadar tentang menjaga penampilan, tetapi ia menjadi satu tuntutan sosial yang sukar dipenuhi.

Saya rasa perubahan fizikal kini kian jadi kelaziman sehingga perubahan wajah dan tubuh badan dilihat sebagai sebahagian perjalanan seorang selebriti.

Antara prosedur yang menjadi kebiasaan termasuk, pembedahan mengecilkan perut (bariatrik); rawatan gigi kosmetik menggunakan lapisan seramik (veneer); suntikan melambatkan penuaan (botoks); rawatan mengencangkan wajah atau thread lifts; suntikan pengisi wajah (filler) dan prosedur membentuk semula hidung.

Jika dahulu prosedur kecantikan lebih dikaitkan dengan usaha melambatkan proses penuaan, kini ia semakin berkembang menjadi budaya perubahan secara menyeluruh – daripada bentuk tubuh hingga struktur wajah.

Antaranya wajah yang terlalu sempurna, kulit licin tanpa cela, hidung mancung dan tubuh yang terlalu langsing semakin diketengahkan sebagai acuan kecantikan yang ideal.

Kadangkala, senyuman veneer sesetengah selebriti pun boleh jadi putih melepak sehingga lampu studio pun kalah menyerlah!

Sedikit demi sedikit, ukuran kecantikan kian berlebihan sehingga netizen mula lupa bagaimana rupa wajah dan tubuh yang biasa.

Akibatnya, keunikan paras rupa semakin hilang apabila masyarakat mula melihat wajah tertentu sebagai satu-satunya bentuk kecantikan yang menjadi kayu ukur.

Selain itu, media sosial turut menjadi antara faktor besar yang menyumbang kepada perubahan ini.

Hampir setiap hari, masyarakat disajikan dengan imej ‘sempurna’ di wadah Instagram, dan TikTok.

Pada masa sama, penapis kamera atau ‘filter’ dan suntingan digital melahirkan apa yang sering disebut sebagai Instagram face.

Instagram face ialah istilah yang mula diperkenalkan sekitar 2019 bagi menggambarkan piawaian kecantikan yang semakin seragam hasil pengaruh media sosial.

Ia merujuk kepada wajah ideal yang sering dikaitkan dengan tulang pipi tinggi, mata tajam ala ‘cat-eye’, hidung kecil dan mancung serta bibir tebal.

Dalam industri hiburan Malaysia dan Indonesia, perubahan fizikal artis kerap menjadi perhatian umum.

Tetapi, tidak semua yang melakukannya atas sebab kecantikan.

Misalnya, pada 2023, penyanyi lagu, Pulanglah, Datuk Wan Aishah Wan Ariffin, kini 61 tahun, pernah berkongsi secara terbuka mengenai prosedur pembedahan bariatrik yang dilakukannya atas faktor kesihatan.

Juara Gegar Vaganza 4 (GV4) itu melakukan pembedahan itu pada 2018.

Hasil pembedahan itu, di samping gaya hidup sihat, Aishah berhasil menurunkan berat badan sehingga 52 kilogram.

Sebelumnya, beliau juga pernah menegur kenyataan pengacara, Sherry Alhadad, 41 tahun, yang menganggap pembedahan bariatrik sebagai jalan pintas untuk kurus.

Menurut Aishah, prosedur itu dilakukan atas nasihat doktor dan setiap individu mempunyai perjalanan kesihatan yang berbeza.

Walaupun mengakui gembira melihat kejayaan Sherry menurunkan berat badan melalui penggunaan produk tertentu, Aishah berpendapat seseorang tidak seharusnya cepat menghakimi pilihan rawatan orang lain, khususnya apabila ia melibatkan faktor kesihatan dan kesejahteraan diri.

Sementara itu, di Indonesia, penyanyi terkenal, Krisdayanti, 51 tahun, pernah mengakui menjalani beberapa prosedur kecantikan dan pembedahan kosmetik demi menjaga penampilannya sebagai selebriti.

Pengakuan tersebut dikongsi menerusi program temu bual Ngopi Dara, yang dimuat naik di wadah YouTube Trans TV Official, pada 2019.

Antara prosedur yang dilakukannya termasuk rawatan membuang lemak menggunakan laser, menegangkan kulit wajah, membentuk semula beberapa bahagian tubuh serta rawatan melambatkan penuaan.

Krisdayanti turut bercerita sanggup berbelanja besar dan mendapatkan rawatan di luar negara bagi mengekalkan imej yang dianggap ideal dalam dunia hiburan.

Meskipun ada artis melakukan perubahan fizikal secara drastik atas faktor kesihatan, hakikatnya dalam industri hiburan, paras rupa sering menjadi perkara utama yang dinilai, di samping bakat.

Dalam era media sosial, semakin seseorang memenuhi acuan kecantikan semasa, semakin mudah mereka mendapat perhatian, pujian dan penerimaan di ruang digital.

Bagaimanapun, artis pada umumnya, berdepan tekanan yang lebih berat apabila setiap perubahan tubuh badan, kulit wajah atau tanda penuaan menjadi bahan kritikan ramai.

Berat badan yang naik sedikit mudah dipersoalkan, manakala wajah yang kelihatan penat pula dianggap sudah hilang kecantikan.

Jika terlalu kurus, dikatakan tidak sihat.

Jika banyak melakukan prosedur kecantikan, dituduh ‘plastik’.

Namun, apabila tampil seadanya, ada pula yang menganggap mereka tidak menjaga penampilan.

Dalam masa sama, artis turut menjadi cerminan kepada masyarakat dalam membentuk persepsi terhadap kecantikan dan imej diri.

Di sebalik imej sempurna yang dipaparkan di media sosial, ada risiko kesihatan dan tekanan mental yang jarang dibincangkan secara terbuka.

Sebagai contoh, pembedahan bariatrik bukan sekadar jalan pintas untuk kurus, malah melibatkan risiko kesihatan seperti kekurangan khasiat, komplikasi penghadaman dan perubahan emosi.

Manakala, suntikan botoks yang digunakan untuk mengurangkan kedutan dengan melumpuhkan otot tertentu buat sementara waktu, boleh menyebabkan bengkak, lebam, pening serta gangguan pada bahagian kening dan kelopak mata.

Rawatan mengetatkan wajah menggunakan benang pula berisiko menyebabkan wajah tidak seimbang, jangkitan dan kulit menjadi longgar.

Suntikan filler yang popular untuk membentuk wajah dan mengurangkan kedutan juga boleh mengakibatkan bengkak, lebam, keradangan serta risiko saluran darah tersumbat jika prosedur dilakukan secara tidak selamat.

Tidak salah jika seseorang mahu tampil lebih yakin dengan tubuh dan wajah sendiri.

Setiap individu mempunyai hak terhadap pilihan mereka.

Namun, masyarakat juga perlu mula mempersoalkan sama ada budaya kecantikan hari ini benar-benar memberi ruang kepada kebebasan individu, atau sebenarnya sedang membentuk rasa tidak puas hati terhadap wajah dan tubuh semula jadi manusia.

Mungkin perkara yang paling sukar hari ini bukan untuk menjadi cantik, tetapi untuk menerima wajah sendiri seadanya.