Ramai pasti sudah terbiasa bergelak tawa dengan sosok Elly Mazlein, atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom, yang terkenal dengan personaliti ‘gila-gila’ dan gelagat bersahajanya di atas pentas.

Pesona inilah yang sering membuatkan penonton terpaku setiap kali melihat beliau mengacarakan rancangan hiburan di kaca televisyen, sekali gus menjadi daya tarikan utama beliau.

Namun, di sebalik tenaga yang meluap-luap dan ‘kekecohan’ yang mencuit hati, penyanyi dan pelakon ini mendedahkan beliau sebenarnya seorang yang pendiam, malah menyifatkan dirinya sebagai ‘introvert’ (jarang bergaul).

Elly, atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 46 tahun, berkata:

“Kak Lina (panggilan buat dirinya) memang dari sekolah pun pendiam, orang tahu Kak Lina pendiam. Tapi bila Kak Lina tahu Kak Lina bekerja dalam bidang hiburan, Kak Lina tak boleh jadi Sharifah. Kak Lina kena tukar (karakter) supaya menjadi orang lain.

“Tapi lepas dah huru-hara, bila balik, masuk bilik, Kak Lina akan terdiam. Diam, dan orang sekeliling Kak Lina faham.”

Akui bahawa beliau dikaitkan dengan bermacam nama pentas dan gelaran, Elly berkata ia berubah-ubah berdasarkan watak yang ditonjolkan.

“Ketika Kak Lina atas pentas, bila bekerja, saya memang watak lain sebab saya pun pelakon, boleh mainkan pelbagai watak.

“Saya bekerja mengikut kemahuan penerbit, dan perlu fikir secara logik. Kalau program hiburan memerlukan saya untuk bersemangat, untuk beri semua peserta semangat, itu yang saya berikan.

“Itu juga rezeki dan juga tanggungjawab Kak Lina. Jadi Kak Lina perlu buat yang terbaik, supaya semua orang puas hati,” katanya yang menambah penting bagi artis sepertinya mencari keunikan sendiri dalam bidang pengacaraan.

Oleh itu, beliau enggan memberikan persembahan yang ‘ala kadar’, bahkan sering mencurahkan tenaga sepenuhnya demi memberikan hasil yang terbaik.

Elly berkongsi demikian kepada Berita Minggu (BM) dalam satu wawancara sewaktu acara ‘Cruise Healing’ anjuran Berita Harian (BH) dalam kapal persiaran Genting Dream, di mana beliau berpeluang beramah mesra dengan lebih 250 pembaca BH yang mengikuti pelayaran tersebut.

Kak Lina Pom Pom berinteraksi bersama peminat sewaktu ‘Cruise Healing’ anjuran BH.
Kak Lina Pom Pom berinteraksi bersama peminat sewaktu ‘Cruise Healing’ anjuran BH. - Foto BM oleh KHALID BABA

Bintang Malaysia itu meluahkan kesyukuran dapat bertemu dengan peminat di Singapura kerana menghargai hakikat beliau masih “diterima” mereka.

“Kak Lina gembira sebab dapat jumpa peminat yang selama ini tengok Kak Lina di TV, dengar suara Kak Lina di radio, dan akhirnya, bila mereka jumpa Kak Lina, mereka kata, ‘Akhirnya dapat jumpa’!

“Mereka kata, ‘Saya minat sangat dengan awak.’ Jadi Kak Lina rasa macam, ‘Eh, best-nya,’ sebab ada orang minat dengan saya. Jadi Kak Lina rasa teruja,” katanya lagi.

Baginya, inilah antara rezeki yang tidak putus-putus sejak beliau membuat keputusan untuk berhijrah.

Akui bahawa ada beberapa penaja yang menarik diri setelah beliau memutuskan untuk bertukar imej dan memakai hijab, Elly berpegang teguh kepada kepercayaan tatkala satu pintu rezeki tertutup, yang lain akan terbuka.

Kepercayaannya itu terbukti benar apabila tawaran kerja terus mencurah.

Kini, beliau sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Astro, Jutawan Ekspres, selain terlibat dalam program televisyen bersama TV3 untuk Shopee.

Beliau juga meneruskan kerjasama sebagai duta kepada syarikat tekstil, Jakel, serta jenama pakaian Merchant9.

Menggambarkan jadualnya yang agak padat, beliau enggan membandingkan diri dengan artis lain, malah percaya persaingan yang sebenar hanyalah dengan diri sendiri.

Yang pasti, ibu dua anak itu menegaskan masih Kak Lina Pom Pom yang sama seperti dahulu.

Anaknya, Puteri Sara Sefhia, berusia 10 tahun, manakala Haider Mateen pula berumur lima tahun.

“Semasa Kak Lina tidak bertudung dulu pun, Kak Lina jaga batas, jaga pergaulan, jaga pemakaian.

“Kak Lina tak pernah pun pakai yang bukan-bukan. Jadi Kak Lina masih yang sama sebab tanggungjawab Kak Lina adalah mengacara. Jadi pengacara majlis kena bertenaga selagi kita tak melakukan perkara yang bukan-bukan, yang melanggar batas,” ujarnya.