Topic followed successfully
Go to BHkuMungkinkah artis AI mampu semarak industri hiburan Melayu?
Mungkinkah artis AI mampu semarak industri hiburan Melayu?
Teknologi baharu dalam ciptaan karya tetap perlu sentuhan kreativiti manusia dek belum cukup peka pada budaya
Mungkinkah artis AI mampu semarak industri hiburan Melayu?
Selepas tersiarnya pandangan saya tentang kehilangan ‘jiwa’ sebilangan besar lagu Hari Raya baharu dalam ruangan Spektra Seni dua minggu lalu, beberapa teman turut berkongsi pengamatan serupa tentang semangat Raya yang tidak terkesan pada irama masa kini.
“Susah betul nak cari lagu Hari Raya yang memiliki ‘feel’ seperti lagu lama, Sepasang Kurung Biru, Pulanglah, Dendang Perantau dan Musafir di Aidilfitri.
“Yang ada kini lebih untuk budak-budak buat kandungan TikTok dengan cabaran menari mengikut irama,” jelas teman saya, Aini, yang memang gemar mendengar lagu Hari Raya untuk ‘up’-kan mood Lebaran ketika mengemas rumah atau membakar kek lapis.
Saya tahu tidak semudah mana mencipta lagu musiman dan mengarang liriknya yang dapat menyentuh jiwa ramai yang dambakan nostalgia berlebaran, bagi mengimbau kenangan beraya dengan orang tersayang, khususnya mereka yang tiada lagi bersama kita.
Saya juga terasa sesetengah lagu Raya pula bagaikan dihasilkan sekelip mata, jenis ‘pasang siap’ atau asal boleh sahaja dirakam untuk memenuhi tuntutan nak ‘join the party’ bikin lagu Raya seperti artis lain.
Jadi apa kata bikin lagu Raya sendiri yang lebih berisi dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI)? Seiringan dengan itu, berdetik di hati: “Apakah suatu hari kita juga akan ada penyanyi Melayu yang dihasilkan dengan bantuan AI seperti industri muzik di Barat?”
Saya tertarik dengan kewujudan artis AI, Xania Monet, yang telah menandatangani kontrak bernilai AS$3 juta ($3.84 juta) dengan Hallwood Media pada September 2025.
Beliau lahir daripada ilham seorang penyair dan usahawan dari Missisippi, Amerika Syarikat, Telia Nikki Jones, yang gigih menulis lirik daripada puisi yang ditulis dan memuatnaikkannya dalam aplikasi penjanaan muzik AI, Suno.
Hasilnya cukup menggalakkan. Nama Monet, yang wajahnya kelihatan seperti manusia biasa dalam video muziknya, mula disebut-sebut. Artis AI ini benar-benar bersinar sebagai bintang.
Lagunya, How Was I Supposed to Know?, adalah lagu AI pertama yang menembusi carta Billboard dalam kategori R&B, di tangga ke-30.
Label rakaman Warner Music Central Europe pula menandatangani kontrak rakaman dengan avatar digital, Noonoouri, sekali gus memberi gambaran label besar tidak melihat ciptaan AI sebagai ancaman kreativiti malah, aset digital yang boleh diuruskan tanpa kerenah manusia.
Maklumlah, kalau berurusan dengan manusia, bermacam isu komunikasi akan timbul. Artis cepat penatlah, kurang disiplinlah.
Saya kurang pasti apakah reaksi masyarakat Melayu kita pada kewujudan artis AI dalam pasaran muzik sebab rata-rata orang kita suka menonton acara ‘live’ dengan bintang itu hadir di depan mata dan membuai rasa dengan lagu menyentuh jiwa.
Sebagai satu usaha bereksperimen, sewaktu bercuti panjang pada Februari lalu, saya tidak melancong ke mana-mana.
Sebaliknya, selepas bersemangat menghadiri beberapa kursus asas AI, saya bersengkang mata di depan komputer untuk mencipta lagu dengan menggunakan aplikasi Songer dan menghasilkan beberapa artis AI dengan menggunakan aplikasi Gemini.
Sesuatu yang tidak saya duga dapat dilakukan sendiri tanpa bantuan sesiapa iaitu mencipta video muzik yang kelihatan profesional dengan menggunakan kemudahan laman aivideo.com.
Ramadan menjadi pembakar semangat bagi saya mengusahakan projek nyala rasa atau ‘passion project’ yang saya panggil #ProjekMakCikAI.
Selepas siap menghasilkan ‘jingle’ (iklan promosi) yang mengetengahkan diri saya sebagai wanita ‘50 sen’ yang mulanya ragu-ragu untuk teroka AI dan akhirnya jadi ‘mabuk AI’, saya mula menghasilkan video muzik saya, Satu Ramadan.
Lirik dan papan cerita hasil ilham sendiri merupakan singkapan nostalgia saya tentang sambutan Ramadan sewaktu kanak-kanak, tatkala waktu bersahur menjadi tempoh paling dinantikan kerana masakan pembuka selera ibu saudara saya.
Tanpa saya duga, video itu menarik 1,000 tontonan dalam masa dua minggu selepas dimuatnaikkan ke Facebook dan Instagram.
Beberapa kenalan memuji mutu kerja seni video itu dan liriknya yang mampu menyentuh jiwa mereka, khususnya mengenai nostalgia Ramadan dan juga memberi kemaafan.
Ada yang mengusulkan agar saya perluaskan usaha kecil-kecilan saya itu ke wadah YouTube dan TikTok mahupun Spotify.
Sambutan tersebut menunjukkan ada ruang bagi artis AI menembusi pasaran muzik Melayu kita meskipun sesetengah penggubah lagu dan penulis lirik kita menganggap AI masih belum boleh menandingi kepintaran minda manusia dan ketulusan anak seni ketika mencipta lagu.
Dalam perbualan saya bersama nama-nama besar industri seperti Ajai dan Datuk Sheila Majid, memang terasa mereka tidak begitu cenderung menggunakan AI dalam karya yang dijana.
“Adik, suaranya nanti macam robot. Tak ada jiwalah. Kalau manusia tu ‘kan, boleh sahaja diubah suai lenggok suaranya. Jika nyanyian datang dari hati, pastinya lebih ‘menjadi’,” jelas Sheila kepada saya.
Ajai juga pula menyatakan muzik AI tandus unsur kreativiti yang hanya manusia sahaja dapat cipta.
Soalnya, bolehkah AI ‘tangkap mood’ kerinduan pada ibu atau ayah yang sudah tiada?
Percubaan saya menghasilkan lebih 10 video muzik AI menunjukkan kebergantungan 100 peratus pada AI tidak seharusnya menjadi sandaran kalau kita ingin hasilkan karya yang mampu mengusik jiwa.
Ilham dan kreativiti tetap bergantung pada manusia yang menggunakannya. Mesin AI masih perlu dilatih secara gigih untuk menyuntik ‘nyawa’ pada watak atau karya yang dijana.
Saya beri contoh pengalaman menghasilkan video muzik Raya, semasa saya mengetengahkan watak dua insan bertemu dan kemudian jatuh cinta dalam suasana meriah perjumpaan Raya pada 1 Syawal.
Pada percubaan pertama, saya terkejut apabila perjumpaan Raya itu berlatarbelakangkan hiasan dan sajian Tahun Baru Cina.
Ini kerana saya tidak memberi arahan atau prom (’prompt’) tepat dan jelas perlu ada hiasan ketupat dan sajian kuih tart. Jadi manalah AI tahu dan peka tentang budaya Melayu?
Evolusi AI memang mengagumkan tetapi kadangkala menakutkan jika ia disalah guna.
Namun, bagi saya, kita juga tidak mampu ketinggalan dalam mendakap teknologi ini bagi menghasilkan kerja seni dengan sentuhan AI yang lebih menjimat tenaga dan kos.

