Kasih seorang ibu tidak semestinya terjalin melalui hubungan darah semata-mata.

Ada juga cinta yang hadir melalui pengorbanan, didikan dan keikhlasan menjaga seorang anak seperti darah daging sendiri.

Begitulah yang terpahat dalam hati pelakon dan pelawak veteran, Zaliha Hamid, yang sehingga hari ini masih mengenang jasa ibu angkatnya, Allahyarhamha Tijah Ghani.

Mengimbas kembali perjalanan hidupnya, Zaliha, 80 tahun, mengakui beliau telah melalui pelbagai ujian sebelum berada di tahap kehidupan sekarang.

“Dalam hidup ini, semua pahit maung kehidupan sudah Nek Leha (panggilan buat dirinya) lalui.

“Nek Leha dibesarkan oleh ibu angkat sejak kecil. Sampailah umur 12 tahun, barulah ibu angkat saya beritahu dia sebenarnya bukan ibu kandung saya.

“Kebenaran itu disampaikan supaya saya tidak terkahwin dengan adik-beradik kandung sendiri.

“Apapun, saya tetap hormat dan bersyukur kepadanya sebab menjaga dan menyekolahkan saya, termasuk menghantar saya ke sekolah agama sebelum masuk sekolah Inggeris.

“Saya juga tidak pernah menyalahkan ibu kandung saya. Mungkin ketika itu, dia mempunyai masalah tertentu dan tidak mampu menjaga saya.

“Sebagai anak angkat, saya cuba memahami keadaan itu, dan melihat setiap perkara pasti ada sebabnya,” kata Zaliha, ketika dihubungi Berita Minggu (BM) menerusi panggilan telefon, pada 6 Mei.

Walaupun kini meniti usia senja, Zaliha masih lagi kekal aktif dalam bidang lakonan, baik dalam menjayakan naskhah drama mahupun iklan, dan enggan masa dibuang begitu sahaja.

Apa yang menjadi kekuatan dirinya untuk terus mewarnai dunia seni ialah minat mendalam yang tidak pernah pudar dan seakan tiada titik noktahnya.

“Minat Nek Leha terhadap lakonan memang tak pernah hilang.

“Selagi Allah masih beri kesihatan, boleh berjalan dan ingat dialog, Nek Leha anggap itu semua rezeki dan tanda Tuhan masih sayang.

“Selepas jatuh di pusat makanan, Fork and Spoon, sekitar Toa Payoh pada 2024, Nek Leha pernah terfikir untuk berhenti berlakon.

“Ketika itu, Nek Leha alami keretakan tulang rusuk dan bahu sebelah kanan. Akibat jatuh itu juga, kaki saya sudah tidak kuat lagi.

“Tapi akhirnya, rasa cinta terhadap dunia seni itu membuatkan Nek Leha kembali semula,” ujar Zaliha.

Sejauh ini, beliau yang menetap di flat HDB sekitar Potong Pasir itu, tidak berdepan sebarang kesukaran untuk menghafal skrip.

“Apabila Nek Leha dapat skrip, Nek Leha akan buka dan tengok dua tiga kali.

“Biasanya, Nek Leha jadikan skrip itu sebagai panduan saja.

“Alhamdulillah, Allah masih beri kemampuan untuk menghafal, walaupun bukan semua orang mempunyai kelebihan itu di usia ini,” ujarnya, yang turut menjayakan telefilem khas Hari Raya Aidilfitri, Mimpi Raya, baru-baru ini.

Sempena Hari Ibu pula, Zaliha turut terlibat dalam menjayakan telefilem, Rindu Yang Teramat, terbitan Echo Entertainments dan diarahkan pengarah setempat, Shaiful Reezal Tajri.

Zaliha Hamid membawakan watak Habsah, seorang ibu tunggal yang penyayang dan cekal, selain sanggup berkorban demi memastikan anak-anaknya terus bersatu dalam telefilem khas Hari Ibu, ‘Rindu Yang Teramat’.
Zaliha Hamid membawakan watak Habsah, seorang ibu tunggal yang penyayang dan cekal, selain sanggup berkorban demi memastikan anak-anaknya terus bersatu dalam telefilem khas Hari Ibu, ‘Rindu Yang Teramat’. - Foto ECHO ENTERTAINMENTS

Ia mengisahkan tentang tiga beradik iaitu, Rini (lakonan Suhaillah Salam), Adli (Rizal Aiman) dan Lutfi (MK K-Clique), yang kembali dipertemukan di rumah pusaka demi menunaikan hajat terakhir ibu mereka selepas sekian lama terpisah akibat konflik keluarga.

Sementara itu, Zaliha menggalas watak sebagai ibu tunggal, Habsah, yang penyayang dan cekal, selain sanggup berkorban demi memastikan anak-anaknya terus bersatu.

“Dalam cerita ini, saya mempunyai tiga anak – dua lelaki dan seorang perempuan.

“Kebetulan dalam kehidupan sebenar pun, saya mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki.

“Bila bawakan watak ini, saya membayangkan anak perempuan biasanya lebih dekat dan akan menjaga kita apabila tua nanti.

“Anak lelaki juga boleh menjaga ibu bapa kalau benar-benar menyayangi mereka, tetapi kebiasaannya anak perempuan lebih banyak memainkan peranan itu.

“Sebab itu, apabila saya melakonkan babak dalam drama ini, saya sendiri rasa sedih.

“Dalam cerita ini pula, anak lelaki lebih sibuk dengan kerja dan perniagaan, tetapi si ibu tetap sayang dan mahu membantunya.

“Walaupun simpanannya tidak banyak, si ibu masih memikirkan tentang anak-anaknya, terutama anak perempuan yang mempunyai masalah sendiri. Jadi fikirannya menjadi bercelaru.

“Mungkin sebab keadaan dalam drama ini dekat dengan kehidupan sebenar saya, jadi lebih mudah untuk saya menghayati watak itu,” kongsi Zaliha, yang memiliki tiga anak berusia 41, 53, dan 54 tahun.

Beliau juga mempunyai empat orang cucu.

Sebagai ibu, Zaliha akur beliau seorang yang tegas dalam mendidik anak.

Namun, apabila merenung kembali, beliau anggap bukan semua tindakan ibu bapa sentiasa betul, sebaliknya ada pengajaran yang boleh dijadikan teladan untuk memperbaiki diri.

“Dulu, mak-mak memang garang sebab tak mahu anak tersalah jalan dalam hidup.

“Kita takutkan mereka demi kebaikan. Tak macam sekarang, ramai ibu bapa terlalu lembut sampai ada anak yang kurang hormat orang tua.

“Saya pun memang garang dengan anak-anak. Saya fikir ketegasan itu boleh membantu mereka berjaya dalam hidup.

“Namun, bila mereka dah besar, mereka pernah cakap saya selalu rasa diri betul.

“Tapi saya jawab, kalau saya tidak bertegas dulu, mungkin mereka tidak akan menikmati kejayaan kini.

“Dalam masa sama, saya juga sedar bukan semua yang saya lakukan itu betul.

“Jadi sebagai ibu, kita belajar dan cuba perbaiki diri selagi boleh,” katanya lagi, yang bersuamikan pelakon, Selamat Sunani, 81 tahun.

Yang pasti, kasih sayang Zaliha terhadap anak-anak tidak pernah pudar, malah ingatannya sentiasa terpaut pada setiap perkara kegemaran mereka, termasuk makanan yang disukai.

“Dalam hidup seorang ibu, fikirannya tetap akan sentiasa tertumpu kepada anak-anak, termasuk perkara kecil seperti makanan kegemaran mereka.

“Sampai sekarang pun, kalau Nek Leha pergi mana-mana majlis atau undangan dan nampak makanan yang anak-anak suka, hati Nek Leha mesti teringat mereka.

“Kadang-kadang Nek Leha terfikir juga kalau boleh minta bungkus sedikit untuk bawa balik buat mereka,” kata Zaliha lagi.

Telefilem, Rindu Yang Teramat, telah disiarkan pada 8 Mei, 9.30 malam, menerusi saluran Mediacorp Suria. Namun, ia boleh ditonton semula melalui aplikasi mewatch, atau menerusi laman YouTube Mediacorp Drama.