SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Trend lagu ‘Jodoh Lebaran’: Antara tepis soalan mak cik ‘bawang’ atau tangani beban mental si bujang

Trend lagu ‘Jodoh Lebaran’: Antara tepis soalan mak cik ‘bawang’ atau tangani beban mental si bujang

Aisha Retno, Dayang Nurfaizah dan De Fam guna pendekatan beza ketengah topik kahwin ketika berkunjungan
Apr 6, 2026 | 5:30 AM

Trend lagu ‘Jodoh Lebaran’: Antara tepis soalan mak cik ‘bawang’ atau tangani beban mental si bujang

Fenomena lagu Lebaran artis muda, Aisha Retno, Jodoh Lebaran, memang merecup-recup.

Di mana-mana sahaja berkumandang lagu ini, baik ketika membeli keperluan Hari Raya di pasar raya, berjalan di Geylang Serai atau Arab Street mahupun ketika menatap skrin telefon bimbit.

Buka TikTok atau Instagram, dapat dikatakan inilah lagu paling tular sehingga hampir mencecah penstriman wadah digital Spotify sebanyak empat juta kali!

Bagi saya, jika diamati kandungan liriknya baris demi baris, akan terkesanlah bahasa beralas untuk menjawab pertanyaan mak cik ‘kepo’ kepada wanita bujang setiap Lebaran: “Bila nak kahwin?”

Kemungkinan juga, Aisha, 25 tahun, sebagai pencipta dan penyanyi lagu tular itu, kerap diajukan dengan pertanyaan jodoh oleh orang sekelilingnya ketika berjalan Raya.

Sebagaimana lirik Jodoh Lebaran berbunyi: “Jodoh di Hari Raya dah dapat ke, sayang? Hei, ucapkan “Selamat Hari Raya” dulu... Kemudian nanti datanglah jodohku... Bersalaman, bermaafan pada dunia
Ikhlas, jodoh Lebaran kan datang jua...”

Ini nampaknya cara untuk menepis soalan peribadi secara beradab dengan lirik susulan yang menekankan kalau ada jodoh, tak ke mana atau jika tiada jodoh, tiada apa yang boleh diperdebatkan lagi.

Sejajar dengan itu, setiap datangnya Hari Raya, saya pastinya tertarik nak tahu lagu Raya manakah yang bakal menduduki carta muzik di tangga teratas?

Saya bahkan teruja nak selongkar evolusi lagu Raya dari zaman ke zaman.

Memang orang dahulu lebih beralas.

Kebanyakan lagu Raya 1950-an, 1960-an, 1970-an dan 1980-an lebih berlegar di sekitar anak rantauan beraya jauh daripada keluarga, kuih-muih Raya yang disajikan, memohon kemaafan dan kerinduan pada orang yang tiada.

Apabila Datuk Awie dan Ziana Zain muncul dengan lagu cinta, Halaman Asmara, tentang sepasang kasih yang gembira bertemu pada musim Lebaran, ia menawarkan kelainan.

Sama juga tatkala Sweet Charity tampil dengan lagu tentang gadis ayu berbaju biru, Seri Hari Raya, saya anggap lagu ni pun memang lain daripada lain.

Bagi saya, “Eh mengapa nak ada lagu cinta yang dah melambak-lambak di pasaran pada musim Lebaran?”

Lagu Aisha yang seronok didengar dan dijadikan lagu latar untuk menari mempunyai pengertian berbeza daripada lagu Raya Dayang Nurfaizah, Jodoh Hari Raya, yang diterbitkan pada 2025.

Antara bait lirik lagu Dayang berbunyi: “Alahai, indah suasana... Kalau terjumpa jodohku di Hari Raya...
Sudah sekian lama... Menanti hati yang tulus setia... Kekasih yang bakal menyempurnakan... Hari yang mulia...”

Ia bagai memberi harapan seorang wanita yang mungkin sudah lama membujang dan teringin ada ‘plus-one’ (pasangan) untuk dibawa kunjung-mengunjung pada Hari Raya ke rumah keluarga dan teman-teman.

Dengan golongan bujang yang rasa tertekan dan bingit dengan soalan, “Bila nak kahwin?”, kita disajikan dengan lagu Raya rancak dan moden masa kini yang mengupas topik kahwin, bagaikan ia satu realiti yang perlu dihadapi di ruang tamu sambil makan tart nanas, kuih makmur, suji atau kek lapis!

Pok Pek Raya oleh trio De Fam pula secara santai bak memberi pesanan tegas kepada mereka yang suka jadi mak cik ‘bawang’ agar hentikan soalan, “Bila nak kahwin?” atau “BIla nak dapat anak?” yang boleh menyinggung perasaan tetamu.

Bagi saya, lagu-lagu Raya yang menyisipkan isu jodoh seakan-akan memberi gambaran Raya tidak sempurna atau kurang lengkap, jika tiada ‘plus-one’ atau pasangan yang memantapkan jiwa dan menggembirakan suasana.

Padahal, kalau ditanya sebilangan wanita atau lelaki yang kekal ‘single’ (membujang), mereka okey sahaja beraya tanpa pasangan.

Sebab mereka ada ibu bapa mahupun teman-teman gila-gila yang menceriakan.

Dalam aspek kesejahteraan minda, lagu-lagu jodoh pada musim Raya ini menggambarkan realiti kunjung-mengunjung yang boleh mengundang bebanan rasa dan tekanan, apabila kerap diajukan soalan musiman yang sama, seperti tahun lalu, dua tahun lalu, lima mahupun 10 tahun lalu.

Teman saya pula berkata dengan semakin banyak lagu Raya yang menjadikan isu kahwin atau jodoh sebagai tumpuan, berbanding dengan lagu nostalgia lama tentang kerinduan pada orang yang tiada dan erti kemaafan, apakah ia menggambarkan tentang keprihatinan generasi muda yang sebahagiannya dianggap ‘Mat Kahwin-Kahwin’ atau ‘Minah Kahwin-Kahwin’, yang tak sabar-sabar mencari jodoh walau masih bersekolah?

Lagu Pok Pek Raya pula menggunakan humor sebagai mekanisme mempertahankan diri bagi yang memilih untuk terus membujang.

Memang, kalau dah malas nak jawab soalan mak cik ‘bawang’ yang berulang, kita gunakan sahaja senda gurau sebagai ‘benteng pertahanan’, agar mereka takkan bertanya lagi dan beralih tumpuan pada isu lain.

Hari Raya untuk semua bergembira selepas sebulan berpuasa. Cukup-cukuplah nak jaga tepi kain orang.

Jodoh pertemuan di tangan Tuhan biar mungkin lambat menjengah di muka pintu.

Bagi saya, lagu-lagu Raya yang menyisipkan isu jodoh ini seakan-akan memberi gambaran Raya tidak sempurna atau kurang lengkap, jika tiada ‘plus-one’ atau pasangan yang memantapkan jiwa dan menggembirakan suasana. Padahal, kalau ditanya sebilangan wanita atau lelaki yang kekal ‘single’ (membujang), mereka okey sahaja beraya tanpa pasangan.
Penulis.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg