Topik diikuti
Pergi ke BHkuBukan Tak Sayang... Naqiu rela anak autisme pergi dulu
Bukan Tak Sayang... Naqiu rela anak autisme pergi dulu
Vokalis Boboy enggan anak keempat hidup tersisih kalau dirinya dan isteri tiada
Bukan Tak Sayang... Naqiu rela anak autisme pergi dulu
Membesarkan anak yang mengalami autisme menuntut pengorbanan besar, baik dari segi emosi, mental mahupun fizikal, dan bukan perjalanan mudah untuk ditempuh mana-mana ibu atau bapa.
Justeru, tersemat satu harapan dalam hati penyanyi Malaysia, Naqiu, atau nama sebenarnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib, agar anak keempatnya, Wan Alexander Putra, mampu menguruskan diri dengan baik andai ditakdirkan pemergiannya terlebih dahulu suatu hari nanti.
Tidak dinafikan anak jati Johor Bahru yang berusia 39 tahun itu sering dibelenggu kebimbangan memikirkan bagaimana Alexander, 12 tahun, yang mengalami autisme, akan meneruskan kehidupan tanpa dirinya di sisi.
Menerusi podcast Kita Kita Aje, kendalian pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi, baru-baru ini, penyanyi lagu, Episod Cinta, itu turut meluahkan betapa beliau lebih rela menanggung kesakitan kehilangan anaknya terlebih dahulu, daripada membiarkan Alexander menghadapi liku kehidupan tanpa kasih sayang dan perlindungan seorang bapa.
Menjelaskan hal itu kepada Berita Minggu (BM) di Mediacorp Campus, Naqiu berkata:
“Bukannya tidak sayang. Saya faham, ramai mungkin menganggap kenyataan itu kejam.
“Namun begitu, sebagai ibu bapa kepada anak autisme, ketakutan terbesar kami adalah memikirkan bagaimana Alexander akan menjalani kehidupan tanpa kami di sisi.
“Hanya kami yang benar-benar memahami keperluan, emosi dan cara dia berkomunikasi.
“Sebab itu, kami takut dia akan dibuli, disisihkan atau tidak difahami orang lain apabila kami sudah tiada nanti.
“Sejujurnya, saya pendam perasaan itu lama. Tetapi, selepas podcast itu disiarkan di YouTube, rupa-rupanya isteri saya juga menyimpan ketakutan yang sama tentang masa depan anak kami.”
Naqiu berada di Singapura bagi menjayakan rakaman rancangan khas Mediacorp Suria, Rayakustika 2026, sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, yang jatuh pada 27 Mei lalu.
Dalam rancangan itu, Naqiu mendendangkan lagu, Kepulangan Yang Dinanti, nyanyian asal Allahyarham Aman Shah.
Beliau turut berduet dengan Ryan Sufiyan, dalam satu lagi lagu Raya, Hari Raya Bahagia, dendangan asal Jay Jay.
Ini juga merupakan kali pertama Naqiu menerima undangan ke Singapura bagi memeriahkan rancangan sambutan Aidiladha, terbitan Mediacorp Suria.
Hasil perkahwinan Naqiu dan isterinya, Hanisah Zuhari, 41 tahun, pada 18 Januari 2010, mereka dikurniakan lima lagi cahaya mata, yang berusia antara tiga dengan 14 tahun.
Berkongsi cabaran membesarkan anak autisme, antara perkara yang paling mencabar buat Juara Gegar Vaganza Musim Keenam (GV6) itu, adalah apabila membawa Alexander keluar ke tempat awam.
Apatah lagi jika ia dilakukan tanpa kehadiran isterinya, Hani.
Menurut Naqiu, Alexander hanya mendengar arahan ibunya.
“Alexander ni hanya dengar arahan dua orang sahaja iaitu, mama dia, dan sekarang ini, abang dia, iaitu anak kedua saya, Wan Daniel Iman, 13 tahun.
“Bahkan, kalau dengan papa dia pun, kadang-kadang dia tak dengar,” ujar Naqiu.
Pelantun lagu, Demi Masa dan Dalam Benci Ada Rindu, itu turut berkongsi peristiwa yang pernah berlaku sehingga memerlukan dirinya serta isteri, memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai keadaan anak mereka.
Antaranya, Alexander pernah secara tiba-tiba mengambil makanan di meja pelanggan lain.
“Apabila isteri saya cuba menjelaskan keadaan anak kami yang tidak memahami situasi tersebut, ada yang boleh menerima dan ada juga sebaliknya.
“Mungkin masih kurang kesedaran mengenai autisme dalam kalangan masyarakat.
“Saya juga tidak menyalahkan mereka kerana mungkin ketika itu, saya sendiri terlepas pandang untuk memantau Alexander,” kongsi Naqiu.
Selain itu, Alexander juga pernah membuka pintu kenderaan orang lain ketika berada di persimpangan lampu isyarat.
Menurut Naqiu, kejadian tersebut berlaku secara spontan.
Ini sekali gus menuntut tahap perhatian serta kesabaran yang tinggi sebagai ibu bapa kepada anak dengan keperluan khas.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana kebanyakan masyarakat hari ini semakin memahami dan menerima keadaan anak istimewa seperti Alexander, meskipun masih terdapat segelintir yang kurang peka terhadap isu tersebut.
Di samping itu, Naqiu juga kini lebih memilih untuk mengurangkan perkongsian mengenai anak-anaknya di media sosial sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai langkah menjaga privasi serta memberi ruang buat mereka membesar jauh daripada perhatian umum.
Ini juga kerana beliau mahu keenam-enam anaknya merasai nikmat zaman remaja sepenuhnya, sesuatu yang tidak sempat dilaluinya sendiri dek sibuk mengejar kerjaya seni bersama kumpulan Boboy, yang popular pada awal era 2000-an.
“Sekarang saya dah semakin kurang berkongsi tentang anak-anak di media sosial.
“Kalau dulu, setiap kali sambutan hari jadi mereka, memang saya akan muat naik gambar dan kongsi dengan peminat atau pengikut di Instagram.
“Namun kini, saya rasa lebih baik untuk mereka menikmati kehidupan sendiri tanpa terlalu didedahkan kepada umum.
“Dahulu, saya tak pernah melalui zaman remaja seperti orang lain. Hujung minggu pun saya jarang dapat keluar bersama kawan sebaya.
“Dulu orang ‘lepak’ di kafe siber, tapi saya tak pernah rasa semua tu.
“Sejak umur 14 tahun, saya dah berada dalam industri muzik. Setahun selepas itu pula, saya sudah mula mengecapi populariti bersama kumpulan Boboy,” kongsinya.
Sebelum mengakhiri bicara, Naqiu turut memberi bayangan mengenai lagu terbaharunya, yang bakal mengimbau semula era lagu ‘jiwang’, atau ‘tangkap leleh’ yang dekat dengan jiwanya ketika memulakan langkah dalam bidang seni sekitar 25 tahun lalu.
Rancangan Rayakustika 2026 boleh ditonton semula di aplikasi mewatch.
“
Bukannya tidak sayang. Saya faham, ramai mungkin menganggap kenyataan itu kejam. Namun begitu, sebagai ibu bapa kepada anak autisme, ketakutan terbesar kami adalah memikirkan bagaimana Alexander akan menjalani kehidupan tanpa kami di sisi. Hanya kami yang benar-benar memahami keperluan, emosi dan cara dia berkomunikasi. Sebab itu, kami takut dia akan dibuli, disisihkan atau tidak difahami orang lain apabila kami sudah tiada nanti.