Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelakon M’sia Daniel Fong tidak sangka tembusi industri hiburan Melayu
Pelakon M’sia Daniel Fong tidak sangka tembusi industri hiburan Melayu
Selami budaya Melayu agar dapat jayakan watak dengan lebih berkesan
Pelakon M’sia Daniel Fong tidak sangka tembusi industri hiburan Melayu
Bukan mudah bagi seorang pelakon yang baru menceburi bidang seni untuk menghayati dan menjiwai watak yang mencabar.
Apatah lagi, jika pelakon itu perlu menghafal dialog dalam bahasa yang beliau kurang fasih.
Namun, cabaran tersebut berjaya diatasi pelakon berbangsa Cina asal Malaysia, Daniel Fong, yang kini telah menempa nama dalam industri hiburan Melayu di negara itu.
Bermula dengan berjinak-jinak sebagai peragawan pada 2016, Fong atau nama sebenarnya, Daniel Fong Weng Chuan, 31 tahun, tidak menyangka beliau bakal menerima tawaran bagi watak utama dalam drama Melayu.
“Selepas pulang dari Melbourne, Australia pada 2016, saya mula menerima tawaran menjadi seorang peragawan dan menjayakan beberapa iklan produk.
“Ia merupakan cara saya meraih pendapatan sampingan ketika masih bekerja dalam dunia korporat,” kongsi Fong kepada Berita Harian (BH) dalam satu temu bual melalui Zoom.
Setelah meraih ijazah Ekonomi dari Universiti Monash, Australia, Fong bekerja dalam syarikat insurans antarabangsa selama hampir dua tahun.
Selain terlibat dalam iklan televisyen, beliau turut diberikan peluang berlakon dalam beberapa drama bahasa Mandarin di Malaysia.
Namun, Fong tidak menyangka bakal menerima satu tawaran berlakon dalam drama bahasa Melayu melalui pesanan ringkas di wadah media sosial, Instagram.
“Pada mulanya, saya agak ragu-ragu membaca pesanan tersebut kerana tidak mengenali individu itu.
“Saya tidak menyangka, rakan selebriti saya, Idris Khan, yang mencadangkan nama saya kepada pihak penerbitan.
“Saya mula rapat dengan Idris selepas kami menyertai satu pertandingan realiti, Paskal 24 Jam, di mana setiap peserta harus melalui latihan tentera laut selama 24 jam,” jelasnya.
Mengakui bukan mudah menghafal dialog dalam bahasa Melayu, Fong berkata beliau mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada pengarah dan pelakon lain di set penggambaran.
“Sejujurnya, saya pernah mendengar ada individu yang mempersoalkan mengapa saya diberi peluang sedangkan bahasa Melayu saya tidak begitu fasih.
“Namun, saya bekerja keras untuk memahami inti pati skrip yang diberikan supaya lakonan saya sampai kepada penonton,” cerita Fong yang bermula dengan watak sampingan dalam drama Nafas pada 2018.
Semangat tidak pernah menyerah yang ditanam dalam dirinya membuahkan hasil apabila Fong berjaya menerima tawaran bagi beberapa watak utama pada 2023.
Ia termasuk drama Bintang (bergandingan bersama Ruhainies); Legenda Puteri Qaseh (bersama Qasrina Karim); dan Beautiful Love Revenge (bersama Harissa Adlynn); yang meraih sambutan hebat daripada penonton dan turut dipuji netizen di media sosial.
Mengakui dirinya masih mempunyai ruang memperbaiki bakat lakonannya, Fong turut bersyukur diberi kesempatan mendalami budaya dan adat resam orang Melayu/Islam menerusi watak yang dilakonkan.
“Dalam Beautiful Love Revenge, watak saya sebagai Noah Faeq merupakan kacukan Melayu dan Cina. Dia dilahirkan sebagai individu beragama Islam. Watak Noah turut mendirikan rumah tangga dalam drama itu.
“Terdapat perkara yang saya perlu pelajari mengenai peranan suami dalam agama Islam, selain adanya babak di mana saya harus solat, berdoa dan memberi salam,” kongsinya yang meminati lakonan pelakon mapan, Datuk Remy Ishak, dan pelakon berbangsa Cina, Daniella Sya.
Dalam pada itu, Fong gembira melihat lebih ramai pelakon bukan Melayu menceburi industri hiburan Melayu.
“Saya sering menggalak rakan selebriti agar menceburi bidang seni Melayu.
“Walaupun ada yang gementar kerana tidak fasih dalam bahasa Melayu, ia merupakan satu pengalaman yang baik kerana dapat meraih ilmu baharu selepas bekerjasama dengan kru penerbitan berbeza,” tambahnya.
Pada 2025, beliau terlibat dalam drama mengenai sekolah sukan, Generasi: Perfect 10, yang bersiaran di saluran Astro.
Selain itu, Fong turut membintangi drama Melayu 40 episod, Kerana Seorang Lelaki, yang mengisahkan mengenai konflik antara keluarga berbangsa Cina dengan Melayu.
Selain Fong, drama arahan Michael Ang itu turut dibintangi barisan pelakon berbakat seperti Soo Wincci, Kahoe Hon, Steve Yap, Arena Wan, Marissa Yasmin dan Nabil Aqil.
“Saya menghargai setiap peluang yang hadir serta sokongan penonton.
“Saya berharap dapat terus berlakon dalam lebih banyak penerbitan Melayu agar saya dapat mengasah bakat saya,” katanya, yang kini sibuk dengan penggambaran drama muzikal, Rasa Sayang Hey, dan drama adaptasi novel, Yes Captain Zul Aaryan.
