Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Naqiu buktikan karya bermutu tak akan ‘basi’ ditelan masa

Lagu duet bersama Vanessa Reynauld, ‘Rindu Separuh Nyawa’, tular di S’pura selepas empat tahun diterbitkan
Dec 28, 2025 | 5:30 AM
naqiu boboy, vanessa reynauld, rindu separuh nyawa
Penyanyi dan vokalis kumpulan Boboy, Naqiu, tidak sangka lagu duet, ‘Rindu Separuh Nyawa’ bersama Vanessa Reynauld, yang diterbitkan pada 2021, menjadi tular semula di Singapura. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Gandingan dua penyanyi Malaysia, Naqiu dan Vanessa Reynauld, menerusi lagu Rindu Separuh Nyawa, ternyata masih ‘berbisa’ apabila karya yang dilancarkan pada 2021 itu, kini mendapat tempat di hati peminat di Singapura.

Mengulas pencapaian tersebut, Naqiu, atau nama sebenarnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib, 39 tahun, anak jati Johor Bahru, mengakui beliau tidak pernah menjangka karya berkenaan akan mencipta kesan sedemikian rupa di seberang.

“Sejujurnya, saya tidak sangka lagu Rindu Separuh Nyawa akan ‘hit’ di Singapura, selepas empat tahun ia diterbitkan (2021).

“Sepanjang 24 tahun berkecimpung dalam dunia seni, saya tidak jangka ada karya saya yang diterima dengan begitu baik, sehingga mencecah hampir 100 juta penstriman.

“Sebagai penyanyi yang kini berusia 39 tahun, pencapaian ini membuat saya terkejut dan bersyukur.

“Memulakan kerjaya seni sejak 2001, tentunya ia tidak mudah untuk mendapatkan sambutan semeriah ini,” kata Naqiu kepada Berita Minggu (BM), ketika ditemui di Restoran Permata, sekitar Kampung Gelam, baru-baru ini.

Wawancara itu diadakan apabila Naqiu berada di Singapura bersama penyanyi asal Klang, Vanessa, 25 tahun, bagi mempromosikan lagu Rindu Separuh Nyawa.

Lagu bergenre pop balada itu merupakan runut bunyi (OST) bagi drama bersiri, Rindu Awak Separuh Nyawa (2021), arahan Along Kamaluddin dan dibintangi oleh Uqasha Senrose, Shukri Yahaya, Marsha Milan dan Norreen Iman.

Selain itu, lagu ‘Rindu Separuh Nyawa’ ditulis oleh Siti Rosmizah, dan mendapat sentuhan gubahan oleh Naqiu sendiri, bersama Wit dan Mohsen. Lebih manis, lagu itu turut mendapat status platinum dan emas di pasaran Singapura.

Juara Gegar Vaganza Musim Keenam (GV6) itu turut akur ini kali pertama beliau digandingkan bersama Vanessa, yang memulakan kerjaya muzik ketika menyertai program realiti hiburan terbitan Astro, Ceria Popstar 3, pada 2015.

“Ketika saya merakamkan lagu ini bersama Vanessa, ramai yang belum mengenalinya.

“Ia merupakan satu langkah berani yang saya ambil, untuk berduet dengan bakat baru.

“Namun, pencapaian ‘viral’ (tular) ini menunjukkan mutu karya akan mengatasi apa pun cabaran atau halangan dalam industri muzik.

“Biarpun karya itu berusia empat tahun sekali pun, ia boleh viral semula. Itulah kuasa media sosial,” ujar Naqiu, yang memulakan kembara seni bersama kumpulan Boboy sebagai vokalis, antara 2001 dengan 2005.

Sehingga akhbar ini diterbitkan, video muzik bagi lagu Rindu Separuh Nyawa telah mencapai sebanyak 7.7 juta tontonan di laman YouTube, dan sekitar 2.9 juta penstriman di wadah penstriman digital, Spotify.

Watch on YouTube

Ditanya BM mengenai ciri-ciri penyanyi wanita yang menarik minatnya untuk bekerjasama, Naqiu berkata penyanyi tersebut perlu mempunyai identiti yang kukuh dan tersendiri.

“Saya mengutamakan ciri khas yang ada pada penyanyi tersebut.

“Yang selebihnya seperti nilai komersial atau populariti, saya serahkan kepada pasukan saya. Merekalah yang lebih arif dalam perkara ini.

“Fokus saya hanyalah untuk mengekalkan dan memastikan mutu karya yang disampaikan bersama pasangan duet saya. 

“Duet ini bukan untuk bersaing, tetapi untuk saling melengkapkan dan menyerlahkan kelebihan masing-masing,” kata Naqiu, sekali gus menyifatkan Vanessa sebagai penyanyi muda yang memiliki penguasaan teknikal serta mutu vokal yang cukup ampuh.

Dikenali sebagai penyanyi ‘leman’ (lagu balada cinta yang mendayu-dayu), Naqiu menekankan kepentingan penyampaian emosi dalam lagu dengan menghayati setiap bait lirik bagi memastikan lagu yang dibawakan sentiasa kedengaran segar.

“Apabila ingin mengeluarkan lagu baru, saya sentiasa menitikberatkan seni kata supaya saya benar-benar memahami apa yang dinyanyikan. 

“Saya tidak hanya menilai lagu dari segi mesej utama, sebaliknya menghayati setiap bait lirik, baris demi baris. 

“Contohnya, dalam lagu bertemakan cinta, walaupun kisahnya boleh pelbagai, saya pastikan pendengar dapat memahami dan merasai apa yang cuba disampaikan dari awal hingga penghujung lagu,” ceritanya yang popular dengan lagu Episod Cinta.

Dengan ramai kumpulan yang popular antara 1990-an dan 2000-an, kini aktif membuat kemunculan semula menerusi konsert berskala mega, bagaimanapun Naqiu tidak tergesa-gesa untuk melakukan hal yang sama bersama Boboy.

Sebaliknya, beliau berkata lebih baik mengenang zaman kegemilangan Boboy semasa kumpulan itu aktif, antara 2001 dengan 2005.

“Apa yang boleh saya kongsikan ialah, Boboy masih ada tetapi tidak aktif. 

“Ini disebabkan komitmen dan tanggungjawab kerja masing-masing. Saya juga tidak suka memaksa orang lain untuk mempunyai komitmen (dalam seni) seperti saya.

“Saya juga faham, masing-masing sudah berkeluarga. Bagi menjayakan konsert, ia memerlukan komitmen yang sangat tinggi.

“Kami perlu mengorbankan banyak masa dan tenaga. Saya pula tidak ingin membebankan anggota Boboy lain dengan komitmen seberat itu.

“Saya lebih memilih persahabatan kami kekal seperti ini,” ujar Naqiu, yang turut dinobatkan sebagai naib juara bagi pertandingan realiti komedi, Muzikal Lawak Superstar Musim Kelima (MLS5) bersama Sharif Zero dan Fad Bocey, baru-baru ini.

Kumpulan mereka yang dinamakan Roda, berhasil membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 75,000 ($23,760) beserta piala.

Menyentuh pula tentang prestasi penyanyi Singapura, Iskandar Ismail atau lebih mesra disapa, Eiss, dalam program realiti terbitan Astro, Gegar Vaganza Musim Ke-12 (GV12), Naqiu melihat Eiss sebagai peserta yang mempunyai potensi juara.

“Sebenarnya, perjalanan saya dan Abang Eiss, dalam seni lebih kurang sama. Apabila saya mendengar suaranya, saya sudah tahu Abang Eiss mempunyai kualiti juara.

“Sebagai peserta berpengalaman dalam GV, saya tahu apa yang juri dan penonton suka. 

“Di sini, saya hanya berperanan membantu membentuk Abang Eiss serta memberikan pandangan sebagai sesama anak seni agar persembahannya lebih menonjol setiap minggu.

“Sama seperti saya, Abang Eiss ialah seorang yang tidak akan berhenti berusaha selagi tidak mendapatkan apa yang beliau mahu.

“Misalnya, sehabis latihan di studio, beliau akan sambung latihan sendiri di rumah. Dalam setiap persembahannya, beliau sentiasa memberikan usaha yang melangkaui jangkaan kami.

“Itulah yang membuatkan saya senang bekerjasama dengan beliau,” kata Naqiu, yang turut bernaung di bawah syarikat pengurusan, MindOrder, bersama Eiss.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg