Topik diikuti
Pergi ke BHkuSusuri jalan kenangan bersama ‘Beatlemania On Tour’
Susuri jalan kenangan bersama ‘Beatlemania On Tour’
Susuri jalan kenangan bersama ‘Beatlemania On Tour’
Ketika band empat sekawan dari Liverpool, The Beatles, merupakan satu fenomena besar di merata dunia, antara 1960 dengan 1970, saya belum dilahirkan.
Bagaimanapun, lagu terkenal mereka yang menjadi siulan anak muda ketika itu seperti All My Loving, All You Need Is Love, Can’t Buy Me Love, Hey Jude, dan Here Comes The Sun, terpahat dalam ingatan kerana bapa saya sering memutar piring hitam The Beatles.
Saya dan abang pun sering menonton animasi The Beatles yang disiarkan di televisyen sebagai santapan hiburan kami setiap petang sambil makan cemilan.
Justeru, setiap kali ada band sanjungan The Beatles dari Australia, Britain atau Amerika, yang singgah ke Kota Singa, saya pasti akan menempah tiket untuk membawa bapa saya dan beberapa teman sebaya untuk mengimbau nostalgia.
Pada 16 Mei lalu, band asal Australia, Beatlemania On Tour, mendarat di Teater Sands, Marina Bay Sands, untuk membawa penonton Singapura menyusuri jalan kenangan.
Pemuzik Australia, Zac Coombs, dengan gurau sendanya yang bersahaja, membawa peranan sebagai penyanyi utama, John Lennon.
Ben Harper pula tampil di sebalik dram sebagai Sir Ringo Starr.
Miles Green menghidupkan watak, George Harrison, yang pemalu tetapi berbakat mencipta lagu dan menyanyi, manakala Thomas Drake, yang comel dan tampan (persis penyanyi Donny Osmond) sehingga mendapat tepukan gemuruh penonton sebagai Sir Paul McCartney.
Dalam alam nyata, hanya Starr dan McCartney sahaja yang masih hidup, manakala Lennon meninggal dunia kerana ditembak seorang peminat gila pada 1980.
Harrison pula tewas dengan pertarungan barah tekak yang merebak ke paru-paru dan otaknya pada 2001.
Apa yang menarik tentang persembahan Beatlemania On Tour adalah ia ibarat satu penceritaan perjalanan muzik kumpulan yang diuruskan usahawan kedai muzik, Brian Epstein, insan yang bertanggungjawab membawa kerjaya The Beatles ke puncak jaya.
Saya lihat semangat setiakawan, disiplin dan kesungguhan mencipta nama.
Penerbit, George Martin, pula membantu mengembangkan lagu The Beatles hingga mereka menandatangani kontrak bersama label rakaman EMI.
Lagu pertama yang memasuki carta adalah Love Me Do, yang McCartney cipta tentang temanitanya ketika itu, Iris Caldwell.
Lagu itu adalah satu-satunya lagu ciptaan The Beatles ketika baru-baru membuat persembahan ‘gig’ di kelab sekitar Hamburg, Jerman.
Kebiasaannya mereka menyanyi lagu saduran daripada Ray Charles dan Little Richard.
The Beatles mencetus kegilaan peminat yang dipanggil ‘Beatlemania’, dan digelar ‘The Fab Four’.
Menjelang 1964, mereka sudah bergelar bintang antarabangsa yang berjaya dan mencetuskan kebangkitan budaya pop British yang menimbulkan saingan sengit pada pasaran muzik pop Amerika Syarikat.
Sepanjang persembahan Beatlemania On Tour, saya dapat lihat peredaran zaman dan fesyen The Beatles yang bertukar daripada setakat sut hitam dan kemeja putih kepada kostum lebih terang benderang.
Alat muzik mereka seperti gitar, papan nada dan dram pun dipelbagaikan, lantas memperkukuh jenama, The Beatles, sebagai band yang mampu memenuhi cita rasa ramai, baik muda ataupun tua.
Di Teater Sands, saya terdengar seorang nenek yang berkerdipan matanya bagaikan kembali ke zaman muda, menceritakan kepada cucunya yang berusia belasan tahun tentang kehebatan muzik The Beatles.
Pasangan suami isteri berusia sekitar 70-an tahun berpimpinan tangan, mungkin teringat zaman muda remaja jatuh cinta dan keluar dating bersama.
Saya pula teringat kenangan menghadiri orientasi pengajian prauniversiti di dewan Maktab Rendah Jurong (JJC), di mana lagu Twist and Shout dan Rock and Roll Music, berkumandang.
Teman saya yang terkesima dengan persembahan hari itu, menyatakan rasa terharunya tentang legasi muzik The Beatles yang diteruskan anak muda.
Beliau mengharapkan ada anak muda Melayu di Nusantara yang masih memperjuangkan muzik ‘orang lama’ seperti Tan Sri P. Ramlee, artis pop yeh yeh mahupun Carefree, Datuk Sharifah Aini dan Broery Marantika, dalam konsert sanjungan seperti Beatlemania On Tour.
A Hard Day’s Night, Ob-Ladi-Ob-Lada, Yesterday, Get Back dan Yellow Submarine, menggambarkan pelbagai era penglibatan The Beatles yang bertukar silih berganti.
Yang pasti, lagu terakhir bagi persembahan Beatlemania On Tour, Hey Jude, membawa kesan sedih menyelinap dalam jiwa saya – betapa masa pantas berlalu.
Bagi McCartney sebagai pencipta lagu ini, ia diinspirasikan daripada melihat dilema anak Lennon, Julian, yang ketika itu berusia lima tahun, sewaktu melihat ibu bapanya berpisah kerana bapanya mempunyai ‘orang baru’ dalam hidup.
Setiap lagu The Beatles ada cerita cinta – bahagia atau kecewa menyelubungi jiwa.
