Bak kata pepatah, ‘patah tumbuh, hilang berganti’, ia bermaksud setiap yang hilang pasti ada gantinya.

Namun begitu, dalam perjalanan hidup ini, tiada sesiapa mampu mengisi kekosongan insan tersayang yang sudah berada di negeri abadi.

Begitulah yang dirasakan penyanyi tempatan, Sarah Aqilah, apabila diuji dengan pemergian adik serta ibu tercinta – satu kehilangan yang sukar diterima dan meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.

Sarah, atau nama sebenarnya, Nur Sarah Aqilah Sumathi, 42 tahun, bagaimanapun, menganggap dugaan itu sebagai sebahagian perjalanan hidup yang perlu ditempuhi dengan tabah.

Pemergian ibu tercinta, Allahyarhamha Yusriati Yusoff, 56 tahun, akibat barah usus besar pada 2023, meninggalkan sekelumit penyesalan buat Sarah kerana hanya sempat meluangkan masa yang singkat bersama arwah sebelum pemergiannya.

Menurutnya lagi, Allahyarhamha turut menghidap barah rahim dan buah dada, antara 2015 dengan 2023.

“Antara perkara yang paling saya kesali adalah apabila arwah ibu menghembuskan nafas terakhir ketika saya berada di luar negara atas urusan kerja.

“Ketika itu, saya berada di Paris, Perancis dan sepatutnya berada di sana selama 10 hari.

“Namun, sebaik menerima khabar ibu berada dalam keadaan tenat, saya terus cepat-cepat pulang hingga perjalanan itu akhirnya hanya berlangsung selama tiga hari sahaja.

“Sayang seribu kali sayang, saya hanya ada sisa lima minit bersama ibu sebelum beliau pergi buat selama-lamanya,” kata Sarah sambil menahan sebak ketika dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom, baru-baru ini.

Wawancara ini diadakan sempena penglibatan Sarah dalam rancangan khas Mediacorp Suria, Rayakustika 2026, pada Hari Raya Aidiladha ini, yang jatuh pada 27 Mei.

Menamatkan tempoh tujuh tahun berehat daripada dunia nyanyian, Juara Anugerah 2009 itu, mendendangkan lagu, Senyum Gugur Di Penghujung Doa, nyanyian asal Dayang Nurfaizah.

Beliau juga berduet dengan Herna Sabrina, dalam satu lagi lagu Raya, Sesuci Lebaran, dendangan asal Biduanita Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Selain Sarah, rancangan tersebut turut dimeriahkan dengan penampilan artis lain seperti Nurul Aini, Khairudin Samsudin, Rahimah Rahim, Ryan Sufiyan, dan Naqiu Boboy.

Selepas tujuh tahun berehat daripada bidang nyanyian, Sarah Aqilah, akur gembira dapat memeriahkan acara ‘Rayakustika 2026’, dengan membawakan lagu, ‘Senyum Gugur Di Penghujung Doa’, nyanyian asal penyanyi Malaysia, Dayang Nurfaizah.
Selepas tujuh tahun berehat daripada bidang nyanyian, Sarah Aqilah, akur gembira dapat memeriahkan acara ‘Rayakustika 2026’, dengan membawakan lagu, ‘Senyum Gugur Di Penghujung Doa’, nyanyian asal penyanyi Malaysia, Dayang Nurfaizah. - Foto MEDIACORP

Sebelum ini, Sarah turut diuji dengan kehilangan dua adiknya, Allahyarhamha Shaffadina Jamil, dan Allahyarham Muhammad Hambali Sumathi.

Tatkala bercerita tentang adik perempuan seibunya, Allahyarhamha Shaffadina, Sarah tidak dapat menahan sebak mengenangkan arwah antara insan yang paling kuat menyokongnya ketika menyertai pertandingan nyanyian tempatan anjuran Mediacorp Suria, Anugerah 2009.

Allahyarhamha, 20 tahun, pulang ke rahmatullah pada 2009, setelah diserang demam secara mendadak akibat satu jangkitan kuman.

Manakala, adik lelaki sebapanya, Allahyarham Hambali, 13 tahun, yang disifatkan sebagai seorang yang mudah mesra dan disenangi ramai, meninggal dunia pada 2017, selepas terbabit dalam satu kemalangan tragik di sekolah apabila palang gol menghempap kepalanya.

Dalam kesedihan itu, Sarah menganggap kasih terhadap empat anaknya, Nur Ayra Eiliyah Muhd Sahri, 14 tahun; Muhammad Aqil Mateen Mohd Jabbaar, 10 tahun; Anas Abdul Mateen Mohd Jabbaar, lapan tahun; dan Alayna Sofea Mohd Jabbaar, lapan bulan – menjadi sumber kekuatan buat Sarah melangkah ke depan.

Ayra, anak sulung Sarah, merupakan anak hasil perkahwinan kedua dengan Muhd Sahri Jumaat.

Sementara itu, ketiga-tiga anaknya yang lain merupakan anak hasil perkahwinan ketiga dengan ejen hartanah, Mohammad Jabbaar Kamsani, 44 tahun.

“Setiap yang hidup pasti akan pergi. Selepas melalui kehilangan insan tersayang, saya banyak menghadiri ceramah dan mendengar pelbagai perkongsian.

“Sedikit sebanyak, ilmu yang saya peroleh itulah yang membantu membangkitkan semangat untuk saya terus kuat.

“Hidup perlu diteruskan. Pada akhirnya, masih ada insan lain yang memerlukan kita.

“Saya perlu kuat demi anak-anak saya,” ujar Sarah, yang kini menguruskan perniagaan dalam bidang khidmat pembelian peribadi bagi barangan berjenama di laman Instagram, Fashlux Avenue.

Selain itu, penyanyi lagu, Ku Ingin Kamu dan Bukan Persinggahan, itu percaya setiap pengorbanan yang ditempuh dalam kehidupan sedikit sebanyak memberi makna dan kemanisan di sebalik perjalanan hidup seseorang.

Selepas dinobatkan sebagai Juara Anugerah 2009, Sarah memeterai kontrak bersama syarikat rakaman, Suria Records, dan sempat mengembangkan kerjaya nyanyiannya di Malaysia selama dua tahun.

Beliau juga menyanyikan lagu, Biar Hati Mencintaimu, yang turut dijadikan runut bunyi rasmi (OST) bagi drama popular, Nora Elena.

“Saya baru berusia 25 tahun ketika menjuarai Anugerah 2009 dan sejak itu kerjaya nyanyian saya terus berkembang.

“Jadual saya mula padat dengan persembahan serta sesi rakaman di Malaysia.

“Dalam apa jua kerjaya yang dilakukan, pasti ada pengorbanan yang perlu dibuat. Kalau tiada pengorbanan, hidup ini tak ‘sweet’.

“Saya masih ingat bagaimana saya perlu berulang-alik antara Singapura dengan Malaysia.

“Namun, pada waktu itu saya rasakan masyarakat di Malaysia masih belum terbuka menerima artis dari Singapura, berbanding sekarang.

“Saya pernah menghadiri sesi temu bual bersama media di sana sempena pelancaran album pertama, dan ada yang bertanya, ‘Kenapa datang Malaysia? Di Singapura tak laku ke?’,” ceritanya.

Sarah turut mengenang kata-kata Siti Nurhaliza, 47 tahun, yang pernah menyifatkan dirinya sebagai penyanyi yang memiliki ‘aura diva’ ketika bernyanyi di atas pentas.

“Semasa Anugerah Planet Muzik 2011, Siti pernah berkata ‘Siapa budak itu? Dia nyanyi macam diva.’

“Beliau turut memuji suara saya dan mengatakan saya mempunyai potensi melangkah lebih jauh dalam industri muzik.

“Itulah, kalau saya dapat memutar kembali waktu, saya ingin kembali ke fasa di mana saya boleh memberi perhatian sepenuhnya kepada bidang nyanyian,” singkap Sarah.

Rancangan khas sempena Hari Raya Aidiladha, Rayakustika 2026, boleh ditonton di saluran Mediacorp Suria, pada 27 Mei ini, mulai 8.30 malam. Ia juga boleh disaksikan di aplikasi mewatch.